
Antara murid terdekat dan terkanan bagi Habib 'Umar bin 'Abdur Rahman al-'Attas, penyusun Ratib al-'Attas yang masyhur, adalah Syaikh 'Ali bin 'Abdullah Baaraas. Rapatnya hubungan murid dan guru ini sehingga Habib 'Umar pernah berkata: "Sesiapa yang memisahkan aku dengan Syaikh 'Ali tidak akan mendapat kebahagiaan". Habib 'Umar juga berpesan agar jika dibacakan Fatihah kepadanya maka hendaklah dibacakan juga untuk Syaikh 'Ali dan sebab itu kita dapati dalam Ratib al-Attas, Fatihah kepada Habib 'Umar diganding dengan Fatihah kepada Syaikh 'Ali. Syaikh 'Ali Baaraas dilahirkan di Huraidhah pada tahun 1027H. Sewaktu beliau datang kepada Habib 'Umar untuk belajar, Habib 'Umar tidak mengajarnya seperti murid-murid lain tetapi beliau telah disuruh oleh Habib 'Umar untuk membuat kerja-kerja rumah seperti menyapu, menggembala kambing dan lain-lain sehingga beberapa lama. Setelah sekian lama berkhidmat untuk Habib 'Umar, pada satu masa ketika Syaikh 'Ali sedang menimba air perigi, Iblis datang kepadanya dalam bentuk manusia dan berkata:- "Ya 'Ali, Apa engkau buat membuang masa di sini. Bukan ada ilmu di sini. Pergilah engkau ke Tarim. Di sana tempat ilmu." Kata-kata Iblis tersebut mengganggu ketenteraman Syaikh Ali, lalu beliau pun pergi mengadap Habib 'Umar. Apabila bertemu dengan Habib 'Umar, belum pun sempat Syaikh Ali mengeluarkan isi hatinya, Habib 'Umar berkata: "Ya 'Ali, adakah engkau mahu dengar kata-kata Iblis dan tidak mahu lagi mendapat berkat di sini ?" Kemudian Habib 'Umar bertanya tentang kitab apa yang ada padanya, dan Syaikh 'Ali menjawab yang ada padanya adalah kitab Bidayatul Hidayah. Habib 'Umar menyuruhnya membaca permulaan kitab tersebut sehingga beberapa fasal, kemudian Habib 'Umar menyuruhnya berhenti lalu berkata: "Aku memberi ijazah kepada kamu dalam ilmu Syariat, ilmu Thoriqat dan ilmu Hakikat." Sesudah itu, sesiapa yang datang untuk bertanya apa-apa masalah kepada Habib Umar akan disuruhnya bertanya kepada Syaikh 'Ali dengan katanya: "Ana shunduuq wa qufli 'Ali Baaraas" (Aku peti dan kunciku 'Ali Baaraas). Maka yang bertanya kepada Habib 'Umar akan pergi kepada Syaikh 'Ali dengan pertanyaan mereka dan dijawab oleh beliau dengan tepat dan betul menurut ilmu yang sebenar.
- Begitulah keberkatan berkhidmat kepada guru. Pernah juga guruku bercerita bahawa hal yang sama berlaku kepada Syaikh 'Ali al-Khawwas yang merupakan guru Syaikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'raani. Berkhidmat bukan ertinya bermalas-malas untuk belajar ilmu, tetapi lebih kepada mempelajari ilmu secara praktikal dengan mendapat arahan terus daripada seorang guru yang betul-betul mursyid. Justru menadah kitab di hadapan guru kemudian balik tidur lebih mudah daripada memberikan khidmat kepada guru. Murid yang baik akan memberikan khidmatnya kepada gurunya dan guru yang mursyid tidak akan mengambil kesempatan atas khidmat dan ketaatan muridnya. Perlakuan murid kepada gurunya adalah mencari pelajaran dan perlakuan guru kepada muridnya adalah memberi pelajaran, apa pun bentuk perlakuan tersebut tidaklah terikat dengan membaca kitab atau di dalam halaqah sahaja. Oleh itu sebahagian ulama pernah berpesan: "Sesiapa yang tidak mahu berkhidmat (kepada gurunya), dia akan menyesal." Al-Fatihah ila ruuhi Sayyidina wa Habiibina wa Barakatina Shohibir Raatib, Quthubil Anfaas, al-Habib 'Umar bin 'Abdur Rahman al-'Attas, tsumma ila ruuhi asy-Syaikh 'Ali bin 'Abdillah Baaraas.........al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment