
Ikhwah, masih ada yang mempertikaikan penggunaan "subhah" atau lazim disebut di daerah kita sebagai "tasbih", iaitu satu alat yang digunakan untuk mengira bilangan-bilangan zikir. Sebahagian memandangnya sebagai bid`ah yang munkarah yang kononnya diceduk daripada agama-agama lain, menyebabkan mereka phobia dengannya. Sebenarnya, tidak ada ulama kita, Ahlus Sunnah wal Jama`ah, yang anti-tasbih. Kalaupun ada maka itu hanyalah "setengah" ulama.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya "Bidayatul Hidayah" pada fasal 'adab dukhul al-masjid', menganjurkan kita agar menghitung atau mengulang-ulang segala zikir, wirid dan tasbih kita dengan menggunakan subhah. Dan subhah yang tidak lain melainkan alat tasbih yang kita gunakan untuk berwirid dan berzikir. Guru kepada guru-guru kita, Sayyidul Ulama al-Hijaz, Syaikh Nawawi Banten dalam syarahnya terhadap kitab Imam al-Ghazali tersebut yang berjodol "Maraqil 'Ubudiyyah" mukasurat 29 menjelaskan bahawa subhah adalah butiran atau bijian berlubang yang disusun (kharazaatun mandhzumatun ) dan dinamakan juga sebagai mudzakkirah iaitu persis tasbih yang kita kenali dan guna.
Jadi sesiapa yang membid`ahsesatkan penggunaan tasbih untuk berzikir, maka jadilah dia membid`ahsesatkan Imam Hujjatul Islam al-Ghazali. Jadi kekawan, berhati-hatilah dalam menjatuhkan hukuman. Kalau tak nak guna, janganlah anti sangat. Sesiapa yang guna, teruskanlah sebab kan sudah ada anjuran daripada Hujjatul Islam kita al-Ghazali rhm.
No comments:
Post a Comment