Pages

Tuesday, February 28, 2006

Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 2


  • Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa ashabihi. (Amma ba'd), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).
  • Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya.
  • Usuluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
  • Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul 'Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin.
  • Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.

Ikhwah, di mana salah silapnya mazhab Syafi`i sehingga kita hendak gugah pegangan masyarakat kita terhadapnya. Jika mazhab Syafi`i mensunnatkan qunut dalam sembahyang Subuh kenapa kita nak tolak dengan mendatangkan pendapat mazhab lain ? Salahkah mazhab Syafi`i ? Bukankah ini hanya perkara khilafiyyah, yang pihak-pihak kena menghormati sesamanya. Masyarakat kita yang sudah sebati dengan qunut, dengan talaffuz bin niyyah, kenduri tahlil dan sebagainya, bukankah semua hal ini termasuk khilafiyyah yang sewajarnya ditangani dengan lapang dada, bukan dengan tuduhan bid`ah membid`ah, sesat menyesat dan sebagainya.

Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 1

Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah nama sahaja insan tempat berlaku khata` dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah, nasib baik ada sahabat yang mengingatkan aku berhubung dengan pesanan Syaikh Abdullah Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku "Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu (2)" dipetik antara pesanan beliau:-
  • Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
  • Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.
  • Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.
  • Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.

Syadid jugak Tok Wan Pak Lah ni. Dan saudara lihat juga bagaimana Tok Syaikh Abdullah Fahim mengisytihar Ibnu Qayyim sebagai seorang khawarij sebagaimana pernah dihukumkan oleh ulama-ulama sebelum beliau terhadap puak Wahhabi. Apa tidak khawarijnya, selain mereka semua tak betul, semua bid`ah, semua sesat, semua masuk neraka. Aku harap Pak Lah pegang dengan wasiat Tok Wan dia ni. Hadhari hadhari jugak, tapi carilah mana dia al-Ghazali, mana dia asy-Syafi`i. Imam asy-Syafi`i dan Hujjatul Islam al-Ghazali pergi meninggalkan warisan bernilai tinggi berupa kitab-kitab dan juga murid-murid yang berkesinambungan sehingga ke masa kita ini, alhamdulillah. Para ulama Syafi`i yang muktabar semuanya bersambung sanad dan silsilah keilmuan dengan mereka, jadi kalau nak cari mereka pergi kat ulama mazhab, bukan kepada ulama khawarij seperti kata Tok Wan tadi.

Yang aku pelik sekarang, kenapa masih ada ustaz bila orang awam bertanya mengenai sesuatu hukum, maka jawapan yang diberi bersandarkan kepada pendapat Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim, sedangkan yang bertanya tu umumnya bermazhab Syafi`i. Sejak bila Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim atau al-Qardhawi jadi ulama sandaran dalam Mazhab Syafi`i ? Bawalah keterangan ulama-ulama Syafi`i kita, Imam Ibnu Hajar ke, Syaikh Ramli ke atau sebagainya. Ini yang menyebabkan orang awam keliru dan pening kepala. Ini yang jadi punca qunut jadi bid`ah, talqin jadi bid`ah, talaffuz bin niyyah jadi bid`ah.

Aku rasa pihak Mufti Pulau Pinang dengan Jabatan Agamanya sekarang kena buat pemantauan terhadap perkembangan dakyah pencinta dan pentaksub Ibnu Qayyim yang berpusat di sana. Siap buat dewan pengajian atas nama Ibnu Qayyim. Besar sangat ke jasa Ibnu Qayyim kat bangsa Melayu Islam kat rantau ini ? Jagalah amanah Mufti pertama Pulau Pinang di atas.

Monday, February 27, 2006

Syaikh Abdullah Fahim - Murid Sidi Syatha


Syaikh Abdullah bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Syaikh Abdullah Fahim merupakan ulama terkenal Tanah Melayu dan mufti pertama Pulau Pinang yang berkhidmat dari 1951 - 1961. Beliau dilahirkan di Kampung Syib 'Ali, Makkah pada tahun 1286H dan dibesarkan di sana dalam suasana ilmu keagamaan. Beliau berdamping dan berguru dengan ramai ulama, menurut riwayatnya guru beliau di Makkah dan Madinah tidak kurang 42 orang. Di antara guru-gurunya ialah:-
  • Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
  • Syaikh Muhammad Sa`id BabShil;
  • Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
  • Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani;
  • Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani; dan
  • Syaikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.

Syaikh Abdullah Fahim selain alim dalam ilmu-ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf, juga mendalami ilmu falak. Keahliannya dalam ilmu falak menyebabkan nasihatnya diminta mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dan cadangannya untuk tarikh tersebut diterima. Jangan pula disalah anggap bahawa ilmu falak Syaikh Abdullah Fahim tu serupa dengan ramalan Tok Sami dan Tok Cha. Kalau nak tahu berkenaan ilmu falak kenalah belajar dengan ahlinya, cuma kena ingat bahawa falak ulama itu bukan setakat melihat anak bulan sahaja. Mudah-mudahan titihan zuriat beliau yang akhirnya menjadi Perdana Menteri ke-5 Malaysia dapat memartabatkan lagi Islam di persada dunia umumnya dan Nusantara khususnya.

ALLAHUMMA ASLIH MAN FI SHALAAHIHI SHALAAHUL MUSLIMIN;

WA AHLIK MAN FI HALAKIHI SHALAAHUL MUSLIMIN.

Sunday, February 26, 2006

Fitnah Albani

Di antara fitnah Albani ialah dia telah merobek ijmak apabila dia mendhaifkan beberapa hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Sedangkan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah sepakat dalam ertikata telah ada ijmak ulama sejak kurun ke-7 hijrah bahawa sesahih-sahih selepas al-Quran ialah kitab al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah ijmak ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnus Sholah dalam kitabnya "Muqaddimah fi 'Ulumil Hadits".

Contohnya dalam "Dha`if al-Jami' wa Ziyadatuhu", Albani dalam komentarnya bagi hadis:-
  • Allah s.w.t. berfirman: "Ada 3 orang yang akan menjadi lawanKu pada hari kiamat:- (i) orang yang diberi amanat keranaKu kemudian dia khianat; (ii) orang yang menjual orang lain yang merdeka, lalu makan harga jualannya itu; dan (iii) orang yang mengupah pekerja yang melakukan kerja tersebut dengan sempurna, tetapi tidak diberi upahnya."

mengatakan bahawa: "Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bukhari daripada Abu Hurairah, dhaif".

Begitu juga, Albani telah mendhaifkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim daripada Sayyidina Abu Hurairah :-

  • Apabila salah seorang di antara kamu bangun malam, maka bukalah shalatnya dengan dua rakaat yang ringan."

Ini antara contoh kecerobohan Albani terhadap Shahih Bukhari dan Muslim. Maka tidak hairanlah jika Syaikh Abdullah Al-Ghimari seorang ahli hadis terkemuka Maghribi dalam karangannya berjodol "Juz fihi ar-Radd 'ala al-Albani" menyatakan bahawa al-Albani tidak dapat dipertanggungjawab dalam menetapkan nilai hadis, baik shahih atau dhaif. Dan dinyatakan bahawa Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani, ulama besar hadis yang digelar musnid dunya yang tinggal di Makkah mengatakan bahawa "al-Albani adalah seorang yang sesat dan menyesatkan."

Malangnya kita orang awam di Malaysia, hidup-hidup ditipu oleh mereka-mereka yang ilmunya sekadar mengaji karangan al-Albani untuk menyanjung al-Albani sebagai muhadditsin ulung zaman ini, bahkan ada yang tergamak menobatkan Albani sebagai mujaddid. Aku yakin kalau mereka kaji betul-betul kitab-kitab ulama lain, pasti mereka akan tahu tembelang Albani dan akan kenal siapa sebenarnya Albani al-Mubtadi'.

Wednesday, February 22, 2006

Ratapan 10 Muharram - Fatwa Habib Salim



Lantaran Revolusi Syiah Iran yang menumbangkan kerajaan Syiah Pahlavi, maka ada orang kita yang terpengaruh dengan ajaran Syiah. Bahkan ada juga keturunan Saadah Ba 'Alawi yang terpengaruh kerana termakan dakyah Syiah yang kononnya mengasihi Ahlil Bait.

Habib Salim bin Ahmad BinJindan telah menulis sebuah kitab membongkar kesesatan Syiah yang diberinya jodol "Ar-Raa`atul Ghoomidhah fi Naqdhi Kalaamir Raafidhah". Berhubung dengan bid`ah ratapan pada hari 'Asyura, Habib Salim menulis, antaranya:-

  • Dan di antara seburuk-buruk adat mereka daripada bid`ah adalah puak Rawaafidh (Syiah) meratap dan menangis setiap tahun pada 10 Muharram hari terbunuhnya al-Husain. Maka ini adalah satu maksiat dari dosa-dosa besar yang mewajibkan azab bagi pelakunya dan tidak sewajarnya bagi orang yang berakal untuk meratap seperti anjing melolong dan menggerak-gerakkan badannya.
  • Junjungan Rasulullah s.a.w. telah menegah daripada perbuatan sedemikian (yakni meratap) dan Junjungan Rasulullah s.a.w. telah melaknat orang yang meratap. Dan di antara perkara awal yang diminta oleh Junjungan Rasulullah s.a.w. daripada wanita-wanita yang berbaiah adalah supaya mereka meninggalkan perbuatan meratap terhadap si mati, di mana Junjungan s.a.w. bersabda:- "Dan janganlah kalian merobek pakaian, mencabut-cabut rambut dan menyeru-nyeru dengan kecelakaan dan kehancuran".
  • Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Sayyidina Ibnu Mas`ud r.a. bahawa Junjungan s.a.w bersabda: "Bukanlah daripada kalangan kami orang yang memukul dada, mengoyak kain dan menyeru dengan seruan jahiliyyah (yakni meratap seperti ratapan kaum jahiliyyah)." Maka semua ini adalah perbuatan haram dan pelakunya terkeluar daripada umat Muhammad s.a.w. sebagaimana dinyatakan dalam hadis tadi.
  • Telah berkata asy-Syarif an-Nashir li Ahlis Sunnah wal Jama`ah 'Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur al-Hadhrami dalam fatwanya: "Perbuatan menyeru `Ya Husain' sebagaimana dilakukan di daerah India dan Jawa yang dilakukan pada hari 'Asyura, sebelum atau selepasnya, adalah bid`ah madzmumah yang sangat-sangat haram dan pelaku-pelakunya dihukumkan fasik dan sesat yang menyerupai kaum Rawaafidh (Syiah) yang dilaknat oleh Allah. Bahawasanya Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada kalangan mereka dan akan dihimpun bersama mereka pada hari kiamat."

Janganlah tertipu dengan dakyah Syiah. Pelajarilah betul-betul pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan berpegang teguh dengannya. Katakan tidak kepada selain Ahlus Sunnah wal Jama`ah, katakan tidak kepada Wahhabi, katakan tidak kepada Syiah.

Monday, February 20, 2006

Penyelewengan Syiah

Sebahagian penyelewengan Syiah yang disenaraikan dalam fatwa Mufti Pulau Pinang tahun 1993:-

  1. Khalifah diwasiatkan secara nas;
  2. Imam adalah maksum;
  3. Ilmu Allah berubah-ubah mengikut peristiwa yang berlaku kepada manusia (al-bada`);
  4. Kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan (ar-raj`iyyah);
  5. Berpura-pura (at-taqiyyah);
  6. Muhammad bin Hasan al-Askari ialah Imam Mahdi al-Muntazar;
  7. Sayyidina Ali disamatarafkan dengan Allah s.w.t.;
  8. Mengkafirkan para sahabat Rasulullah s.a.w.;
  9. Menghalalkan nikah mut`ah;
  10. Menolak ijmak ulama;
  11. Menolak qiyas;
  12. Mengamalkan nikah mut`ah;
  13. Menolak 'aul dan mendahulukan qarabah dari 'asobah dalam masalah pusaka;
  14. Menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Mu`awiyah sebagai 4 berhala Quraisy serta pengikut-pengikut mereka adalah musuh Allah;
  15. Hanya Ali menghimpun al-Quran dengan sempurna;
  16. Menambah Syahadah;
  17. Menolak hadith yang diriwayat oleh Ahli Sunnah wal Jama`ah;
  18. Menzirahi kubur Sayyidina Husain, ganjarannya syurga;
  19. Menyiksa tubuh badan sempena 10 Muharram;
  20. Menghina Abu BAkar dan Umar serta 2 orang isteri Nabi s.a.w. iaitu Aishah dan Hafsah;
  21. Menetap prinsip khumus sebagai kadar zakat;
  22. Imamah dan Khilafah daripada rukun Islam dan ianya berlaku melalui nas;
  23. Mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan;
  24. Sembahyang dhuha adalah bid`ah;
  25. Islam bukan syarat wajibnya haji;
  26. Wajib menyapu kedua-dua kaki dan tidak memadai basuh pada kedua-duanya.

Nak kira banyak lagi sesat dan karutnya ajaran ahli bid`ah bergelar syiah ini, sama ada Imamiyyah ke, Zaidiyyah ke, Ismailiyyah ke. Tak kira apa namanya, semuanya terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Katanya Ismailiyyah kat Malaysia ada 2 cabang, (1) Syiah Taiyibi Bohra atau dikenali sebagai golongan yang memilik Kedai Bombay; dan (2) Ismailiyyah Agha Khan yang dikenali sebagai Kedai Peerbhai. Kedai Peerbhai kat Jalan Masjid India tu Ismailiyyah ke ? Khabarnya puak Bohra ni ramai kat Klang.

Pengkhianatan Syiah Iraq


Dalam "Mukaatabaat al-Imam al-Ghauts al-Fard al-Jaami' Sayyidina 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad" juzuk 1 tercatat sepucuk surat Imam al-Haddad kepada Ahmad bin Muhammad al-Ghisyam az-Zaidi. Antara lain Imam al-Haddad menulis:
  • Sewaktu al-Hasan melepaskan kedudukannya sebagai khalifah (menggantikan ayahandanya dengan pembaitan ahlul halli wal 'aqdi) dan membaiat Mu`awiyah dengan beberapa syarat, antaranya: kekhalifahan akan diserahkan kembali kepadanya setelah Mu`awiyah meninggal dunia. Akan tetapi, al-Hasan r.a. wafat lebih dahulu daripada Mu`awiyah. Dengan wafatnya al-Hasan, Mu`awiyah menyerahkan kekhalifahan kepada anak lelakinya, Yazid. Kaum Muslimin mau tidak mau terpaksa membaiat Yazid. Tetapi al-Husain r.a. tidak mahu membaiat Yazid.
  • Kemudian penduduk Iraq mengirim sepucuk surat kepada al-Husain memintanya pergi ke Iraq untuk diangkat sebagai pemimpin mereka. Al-Husain menyambut baik undangan mereka itu lalu berangkatlah dia ke Iraq.
  • Mendengar berita tentang rencana kedatangan al-Husain ke Iraq, Yazid menulis surat kepada 'Ubaidillah bin Ziyad (gabenor Iraq) memerintahkan dia untuk memerangi al-Husain. Perintah ini dilaksanakan oleh Ibnu Ziyad. Maka, ahli Iraq yang pada mulanya membaiat al-Husain, tiba-tiba berubah fikiran dan menyetujui serangan bersenjata terhadap Imam al-Husain oleh Ibnu Ziyad. Bahkan mereka menyatakan kesetiaan kepada Ibnu Ziyad. Di sanalah al-Husain gugur sebagai syahid di tengah rombongan keluarganya r.'anhum.
  • Orang yang membunuh al-Husain, orang yang memerintahkan pembunuhannya, dan orang yang membantu perbuatan tersebut, kami pandang sebagai orang-orang fasik yang meninggalkan hukum agama. Allah akan memperlakukan mereka semua dengan keadilanNya.
  • Dalam pandangan kami, kedudukan Yazid tidak sama dengan kedudukan Mu`awiyah. Maka bahawasanya Mu`awiyah adalah seorang sahabat dan tidaklah pernah dia meninggalkan sesuatu yang difardhukan dan tidaklah dia melakukan perkara-perkara haram seperti Yazid. Maka Yazid adalah seorang fasik tanpa ragu, kerana dia meninggalkan sholat, membunuh manusia, berzina dan meminum arak. Perhitungan atas dirinya terserahlah kepada Allah.
My Ping in TotalPing.com

Total Pageviews