Pages

Showing posts with label Sholawat. Show all posts
Showing posts with label Sholawat. Show all posts

Thursday, September 21, 2006

Sholawat Ibrahimiyyah

Malam Jumaat akhir Sya'baan, Bulan Junjungan s.a.w. ini, elok jika kita memperkatakan serba sedikit mengenai sholawat yang paling agung yang diucapkan dalam sholat. Insya-Allah, untuk sholawat-sholawat lain sabar dahulu. Untuk tujuan ini aku nukilkan keterangan mengenainya daripada kitab "Afdhalush Sholawaat 'ala Sayyidis Saadaat" karangan panutan kita Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rhm. Beliau membicarakan berkenaan sholawat ini mulai mukasurat 56 sehingga mukasurat 58, dan antara katanya:-
Inilah shighah sholawat yang paling sempurna yang ma`tsur diriwayatkan daripada Junjungan Nabi s.a.w................... Dan telah berkata Syaikh Ahmad ash-Showi bahawa Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dalam kitab-kitab beliau yang Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang mengucapkan sholawat ini, aku menjadi saksinya pada hari kiamat dan pasti aku memberi syafaat baginya." Di mana hadits ini darjatnya hasan dan segala rijalnya adalah rijal yang shohih. Disebut juga oleh sebahagian ulama bahawasanya pembacaan sholawat ini 1,000 kali akan mempastikan untuk melihat Junjungan Nabi s.a.w. dalam mimpi. Dan sholawat ini dalam hadits diriwayatkan tanpa lafaz as-siyaadah, berkata al-Imam asy-Syam ar-Ramli dalam syarah "al-Minhaj" (yakni kitab "Nihayatul Muhtaj Syarah Minhaj") yang afdhalnya didatangkan lafaz as-siyaadah kerana pada mendatangkannya menyempurnakan atas apa yang kita diperintahkan (yakni telah datang firman Allah yang memerintahkan kita membesar dan menjaga kadar kemuliaan Junjungan s.a.w.) dan menambah perkhabaran atas keadaan sebenarnya (yakni keadaan bahawasanya Junjungan s.a.w. benar-benar sayyid bagi sekalian anak Adam sebagaimana dinyatakan dalam hadits) dan ianya adalah satu adab yang lebih afdhal dilaksanakan daripada ditinggal. Imam Ibnu Hajar pula berkata dalam "al-Jawharul Munadhzdhzam" bahawa penambahan lafaz sayyidina sebelum Muhammad tidaklah menjadi kesalahan bahkan ianya merupakan satu adab pada hak Junjungan Nabi s.a.w. walaupun penambahan tersebut dilakukan di dalam sholat yakni sholat fardhu. Imam al-Qastholani dalam "al-Mawaahib" (yakni "al-Mawahibul Laduniyyah" yang masyhur) menyatakan bahawa ulama telah menjadikan ajaran Junjungan Nabi s.a.w. kepada para sahabat baginda akan kaifiat sholawat ini setelah mereka menyoal baginda sebagai dalil bahawa sholawat ini adalah seafdhal-afdhal kaifiat sholawat untuk Junjungan Nabi s.a.w. kerana bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. tidak akan memilih bagi diri baginda melainkan yang paling mulia dan paling afdhal, dan rentetan daripada yang sedemikian maka apabila seseorang bersumpah untuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. dengan seafdhal-afdhal sholawat, maka jalan untuk menunaikan sumpahnya ialah dengan mengucapkan sholawat ini, dan inilah yang dibenarkan oleh Imam an-NAwawi dalam "ar-Raudhah"....
Begitulah martabat Sholawat Ibrahimiyyah yang kita baca selepas tasyahhud dalam setiap sholat fardhu dan sunnat. Bahkan di luar sholat pun sayogia diamalkan, menjadi antara wirid sholawat kita ke atas Junjungan s.a.w. Sebahagian ulama menganjurkan jika sholawat ini dibaca dalam sholat jenazah dan di luar sholat, maka hendak ditambah ucapan salam juga untuk mengeluarkan dari kemakruhan menunggalkan sholawat tanpa salam yang sama-sama diperintahkan oleh Allah dalam ayat 52 surah al-Ahzab tersebut. Apa yang kita perlu faham ialah kemakruhan yang dinyatakan ulama ialah pada perbuatan menunggalkan sholawat tanpa salam atau salam tanpa sholawat dan bukannya pada amalan mengucapkan sholawat tersebut semata-mata atau salam semata-mata tersebut. Untuk keluar dari kemakruhan penunggalan ini, maka sekurang-kurangnya sekali hendaklah diucapkan sholawat beserta salam, jika telah dilakukan sedemikian maka memadailah, walaupun ucapan-ucapan setelah itu hanya berisikan sholawat semata-mata atau salam semata-mata. Seperti dalam dalam sholat, ucapan salam kita dahulukan pembacaannya di dalam tahiyyat sebelum sholawat, maka tidaklah berlaku kemakruhan menunggalkan tersebut.

Selanjutnya para ulama kita menyebut ada 3 tempat di mana penunggalan tersebut tidak dimakruhkan. Syaikh Muhammad bin Saalim bin Sa`id BabShil asy-Syafi`i dalam kitabnya "Is`aadur Rafiiq" mukasurat 10 menyatakan bahawa tempat-tempat tersebut ialah:- (1) ucapan sholawat itu daripada kita, maka tidaklah makruh jika daripada para nabi atau para malaikat yang mengucapkannya kerana perintah ayat tersebut ditujukan kepada kita, orang beriman, dan adalah perintah untuk bersholawat dan mengucapkan salam yang sempurna (...shollu 'alaihi wa sallimu taslima); (2) Tidak makruh penunggalan pada bacaan-bacaan yang warid di mana penunggalan berlaku seperti dalam hadits yang menyebut sesiapa yang mengucapkan pada hari Jumaat 80 kali "Allahumma sholli 'ala Muhammadin 'abdika wa rasulikan nabiyyil ummiy" diampunkan baginya dosa 80 tahun", tidaklah berlaku makruh penunggalan tersebut; dan (3) Tatkala memasuki hujrah asy-syarifah yakni makam Junjungan yang mulia, maka tidaklah dimakruhkan seseorang hanya mengucapkan "as-salamu alaika, Ya Rasulallah", tanpa ucapan sholawat. Inilah 3 keadaan di mana penunggalan tidak menjadi makruh dalam mazhab kita Syafi`i.

Penambahan tersebut boleh dibuat dengan berbagai cara, antaranya dengan menyelitkan ucapan salam selepas sholawat seperti diucapkan:

...اللهم صل و سلم على سيدنا محمد

Atau, dibuat penambahan pada hujungnya, seperti:

إنك حميد مجيد و سلم تسليما.........

Atau, ikhwah boleh buat penambahan sebagaimana diajar oleh Syaikh Muhammad Ba'Asyin dalam "Busyral Karim" juzuk 1 halaman 86, di mana pada hujung ditambah seperti berikut:-

إنك حميد مجيد و سلم تسليما كثيرا طيبا مباركا فيه...
...innaka hamidu(m) majiid, wa sallim tasliiman katsiiran thoyyiban mubaarakan fih.

Mudah-mudahan dah manfaatnya buat diriku dan kalian serta sekalian muslimin. Aamiiin.




Sunday, September 17, 2006

Harakat Madani


Telah lama aku mencari-cari kaset nasyid sholawat kumpulan Harakat Madani. Sayang sehingga kini belum aku temui. Kumpulan tersebut pun sudah tak diketahui lagi ke mana perginya. Nasib ada lagi nasyid mereka kat alam siber. Nasyid yang aku gemari dalam kompilasi mereka ialah yang menganjurkan agar kita banyak bersholawat atas Junjungan s.a.w. Alhamdulillah, sesiapa yang nak dengar bolehlah cari nasyid no. 23 di bawah laman ni dengan jodol "Nur Selawat". Lirik-liriknya seperti berikut, tapi jangan dok bernasyid sampai lupa nak bersholawat:-


Banyakkanlah selawat ke atas Nabi
Memberi fadhilat yang besar sekali
Allah dan malaikat turut berselawat
Kepada Junjungan Nabi yang dikasihi

Berselawat itu menjadi sinar
Di hari akhirat mendapat syafaat
Penawar hati dari kegelisahan
Terlepas diri dari kemunafikan

Pahala selawat banyak sekali
Dimurahkan rezeki bagi yang meyakini
Pabila berdoa jangan dilupai
Semoga Allah akan memberkati

Amalan selawat elok dibiasakan
Tandalah ingatan kasih padanya
Moga keimanan kuat dirasa
Untuk mengamalkan segala sunnatnya

Wahai ikhwah budiman, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani dalam "Afdhalush Sholawat 'ala Sayyidis Saadaat" menukilkan banyak hadits berhubung keutamaan dan fadhilat bersholawat, antaranya:-
  1. Junjungan s.a.w. bersabda:- "Sholawat ke atasku adalah nur pada hari kiamat tatkala kegelapan meniti titian Shiratul Mustaqim, maka perbanyakkanlah bersholawat ke atasku."
  2. Junjungan s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang mendapat kesempitan dalam menunaikan hajatnya, maka hendaklah dia memperbanyakkan sholawat ke atasku, kerana sesungguhnya sholawat menghilangkan kesusahan, kesedihan dan kesusahan, serta membanyakkan rezeki dan menunaikan hajat-hajat."
  3. Junjungan s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang suka berjumpa Allah ta`ala dalam keadaan Allah meredhainya, maka hendaklah dia banyak bersholawat ke atasku."
Bersholawat bukan sahaja keberkatannya nampak di dunia tetapi lebih cemerlang dan gemilang di negeri akhirat nanti. Keberkatan yang meratai diri pembaca dan anak keturunannya, yang melimpah ruah sehingga ke negeri yang abadi. Sungguh agung amalan bersholawat ini, bahkan Syaikh Yusuf an-Nabhani juga menyebut dalam kitabnya tadi, antara lain:- "Ketahuilah olehmu wahai saudaraku, bahawasanya jalan yang paling cepat untuk wushul ke hadhrat Allah (yakni untuk mendapat keredhaanNya serta memperolehi makrifah dan mahabbah) ialah dengan bersholawat ke atas Junjungan s.a.w. Sesiapa yang berkehendak untuk memasuki hadhrat Allah (yakni wushul tadi) sedangkan tidak membuat khidmat yang khusus untuk Junjungan s.a.w., maka kehendaknya itu adalah sesuatu yang mustahil untuk diperolehi. Ini adalah kerana dengan meninggalkan khidmatnya untuk Junjungan Rasulullah s.a.w. maka dia telah buruk adab dengan Allah ta`ala, seumpama seorang petani yang ingin berhimpun bersama sultan tanpa melalui wasithah/perantara. Maka oleh itu wajib atasmu wahai saudaraku, untuk memperbanyakkan sholawat ke atas Junjungan Rasulullah s.a.w. kerana bahawasanya khadam-khadam Rasulullah s.a.w. tidak akan diganggu oleh malaikat zabaaniah pada hari kiamat kelak demi memuliakan Junjungan Nabi s.a.w."

Oleh itu nyatalah kepada kita bahawa amalan bersholawat ini sama sekali tidak boleh diperlekeh dan diperkecilkan. Mari kita senantiasa melantunkan ucapan sholawat dan salam atas Junjungan s.a.w. dengan penuh rasa takzim dan syauq kepada Junjungan s.a.w. yang merupakan rahmat bagi sekalian alam.

Allahumma sholli 'ala Sayyidina Muhammadinin
Nabiyyil Ummiyyi wa 'ala aalihi wa shohbihi wa sallim


Saturday, September 9, 2006

Sholawat Habib Hasan BaHarun

Sempena bulan Junjungan s.a.w. yang mulia, aku muatkan di sini sholawat gubahan almarhum Habib Hasan bin Ahmad BaHarun, pengasas pesantren Darul Lughah wad Da`wah, Bangil, Pasuruan, Jawa Timur. Isinya adalah sholawat dan permohonan kesejahteraan diri, ahli keluarga, harta benda dan kaum muslimin sekaliannya dari segala bala bencana, malapetaka, kemalangan, wabak penyakit, kezaliman dan sebagainya. Mudah-mudahan ada manfaatnya buat kita sekalian dan rahmat Allah dicucurkan atas penggubahnya Habib Hasan bin Ahmad BaHarun ......al-Fatihah.

*****************

Ya Allah Ya Tuhanku
Limpahkanlah sholawat ta'dhzimMu
Atas Junjungan Maulana Muhammad
Sebaik-baik makhluk ciptaanMu

Sholawat yang dengan keberkatannya
Engkau selamat sejahterakan kami
Juga ahli keluarga kami, anak-anak kami
Kaum kerabat kami, orang yang kami cintai
Guru-guru kami, murid-murid kami
Rakan taulan kami, jiran tetangga kami
Engkau selamat sejahterakan
Segala rumah kediaman kami, masjid kami
Ma'had kami, madrasah kami,
Ladang kami, pejabat tempat kerja kami,
Sekalian tempat kami dan segala harta-benda kami,

Dari bahaya gempa bumi dan pergerakannya
Dari bahaya hujan, angin, petir dan sebagainya
Dari bahaya kereta, kapal terbang, kapal laut dan lain kenderaan
Dari bahaya wabak, bala bencana, malapetaka dan seumpamanya
Dari bahaya jin, manusia, haiwan, thoghut, syaitan dan tipuannya
Dari bahaya jatuh, binasa, terbakar, tenggelam dan segala musibah
Dari bala` pada urusan agama, dunia dan akhirat

Kabulkanlah Ya Ilahi
Demi jah tuah Junjungan Nabi Pilihan al-Musthofa
Limpahkanlah juga sholawat
Ke atas ahli keluarga dan para sahabat baginda
Bersama-sama salam kesejahteraan yang sempurna

********************

Sunday, September 3, 2006

Perintah Bersholawat

Inilah firman Allah yang rata-rata diketahui umum, bahkan dihafal oleh ramai. Tradisi kat tempat aku, sebelum Tok Khatib naik mimbar untuk berkhutbah, tak kiralah khutbah apa, khutbah Jumaat maupun khutbah hari raya, maka Tuan Bilal akan melantunkan bacaan ayat ini. Di dalam khutbah kedua nanti, maka sekali lagi ayat ini dibaca oleh Tok Khatib sebagai peringatan dan saranan untuk sentiasa bersholawat atas Junjungan s.a.w. Sungguh amalan bersholawat sudah sebati dalam amalan harian tok nenek kita dahulu. Malangnya 'kaum mudah' zaman ini, yang memandang diri mereka sahaja yang faham agama dan hanya mereka lurus agamanya, telah merendah-rendahkan kefahaman agama tok nenek kita dahulu, sehingga disamakan tok nenek kita yang beriman dan beramal itu dengan kaum musyrikin dan jahiliah, antaranya kerana mereka mengamalkan amalan-amalan yang dihukumkan bid`ah dan sesat, bahkan sampai ada yang tergamak menghukumkan mereka syirik.

Bila tok nenek kita duduk berkumpul membaca dan mendengar bacaan mawlid Junjungan s.a.w. sambil bersholawat, maka timbul golongan yang anti-mawlid. Apa semua ini ? Kan elok orang kumpul baca kisah Junjungan s.a.w. sambil sholawat daripada kumpul berborak kosong atau jadi penganalisa politik atau kumpul depan TV tengok Siti (maaf... Datin Siti) bersanding 2 - 3 kali atau paling dahsyat jadi penceramah bebas pembahagi neraka dan syurga buat sesama umat.

Bila tok nenek kita baca sholawat dengan tambahan siyaadah, maka muncul pula golongan anti-siyaadah, golongan yang gemar sebut nama Junjungan s.a.w. macam dia panggil kekawan dia sahaja. Sedangkan para ulama kita menghukumkan elok, dituntut, bagus, baik, awla, untuk menambah lafaz siyaadah sebelum menyebut nama Junjungan s.a.w. yang mulia, baik ketika sholat maupun di luarnya. Perkara ini antara lain telah dijelaskan oleh 'Allaamah Syaikh Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdaani dalam "Fathul 'Allaam bi syarhi Mursyidil Anaam" juzuk 2 mukasurat 293, antara lain:-

  • "Dan telah diketahui bahawasanya pendapat yang mu'tamad (yakni qawl mu'tamad dalam Mazhab Syafi`i) adalah dituntut penambahan siyadah sebelum lafaz "Muhammad" sebagai menjaga bagi adab. Dan sebagaimana dikatakan oleh sebahagian ulama, sewajarnya juga tambahan tersebut sebelum lafaz "Ibrahim".

Oleh itu, harap ikhwah budiman, jangan lagi ragu untuk menambah siyaadah dalam sholawat kalian, ketika dalam sholat maupun di luarnya, menurut pegangan mazhab kita yang luhur. Bagi yang tidak mahu, tidaklah menjadi persoalan besar, asalkan tidak dengan niat biadap atau merendahkan maqam dan martabat Junjungan s.a.w.. Maka terpulanglah kepada amalan masing-masing. Dia ada hujjah, kita pun ada hujjah. Dia ada sandaran, kita pun ada sandaran, so berlapang dadalah, tok sah nak berbalah dan salah - menyalah, karang dalam perang kalah, Zionis pula makin naik tocang ngeso olah. Shallu 'alan Nabiy

Allahumma sholli wa sallim 'ala Sayyidina Muhammad.

Saturday, April 8, 2006

Keharuman Majlis 3

Seterusnya ikhwah dalam muqaddimah "Dalailul Khairat" dan juga dinukil oleh Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Quthub al-Haddad r.anhum dalam syarah ratibnya mukasurat 193 sebuah atsar yang menyatakan:-
  • "Tidak ada satu majlis yang mana diucapkan dalamnya ucapan-ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. melainkan timbul bangkit dari majlis tersebut bau harum semerbak mewangi sehingga menjangkau kolong langit teratas, maka berkatalah para malaikat: "Inilah bau majlis yang mana padanya diucapkan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w."
Oleh itu, hiasilah rumah-rumah dan majlis-majlis kita dengan dzikrullah, sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. sebagaimana dianjurkan oleh Junjungan s.a.w. dalam sabdaan-sabdaan baginda:-
  • "Hiasilah majlis-majlis kamu dengan ucapan-ucapan sholawat ke atasku, maka sesungguhnya sholawat-sholawat kamu ke atasku akan menjadi cahaya (kebajikan) bagi kamu pada hari kiamat."

  • "Jangan kamu jadikan rumah kamu sebagai kuburan (yang kamu tiada bersholawat kepadaku di dalamnya); dan jangan pula kamu jadikan kuburku sebagai hari raya (yakni hanya hendak bersholawat apabila berada di sana sahaja atau hanya mahu menziarahinya pada masa-masa tertentu sahaja), tetapi bersholawatlah kamu ke atasku kerana sesungguhnya sholawat kamu disampaikan kepadaku di mana sahaja kamu berada."

Begitulah ikhwah, alangkah bahagianya seseorang yang menjadikan rumahnya tempat ibadah dengan mengerjakan sholat nawafil, berzikir, bersholawat, mengadakan majlis-majlis ilmu dan kebaikan seperti majlis zikir dan majlis mawlid di dalamnya. Biarlah rumah kediaman kita tidak hanya menjadi tempat makan, minum, tidur dan gudang serta muzium untuk menyimpan barang sahaja. Jangan marah nooooo. Allahumma sholli 'ala Nuridz Dzalam.

Thursday, April 6, 2006

Keharuman Majlis 2



Ikhwah, Buya Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani dalam bukunya "Ma-dza fi Sya'baan" mukasurat 38 - 39 di mana beliau menukil perkataan Imam Ibnul Jawzi (bukan Ibnul Qayyim al-Jawziyyah) dalam kitabnya "al-Bustan" atau jodol penuhnya "Bustanul 'Waa`idhziin wa Riyadhus Saami`iin" seperti berikut:-



  • Apabila saja sesuatu majlis di mana para hadirin yang menghadirinya tidak bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. di dalamnya, akan menyebabkan mereka berpisah atau bersurai atas bau busuk bangkai himar (keldai), maka tidaklah menghairankan jika majlis yang di dalamnya diucapkan ucapan-ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. akan menyebabkan para hadirin yang menghadirinya mendapat bau wangi yang paling harum dan paling baik. Dan yang sedemikian itu ialah kerana Junjungan Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik makhluk daripada makhluk yang baik dan sesuci-suci makhluk daripada makhluk yang suci, yang mana apabila Junjungan s.a.w. berkata-kata dalam sesuatu majlis, nescaya penuhlah majlis tersebut dengan bau harum mewangi semerbak kasturi. Maka demikianlah juga pada majlis yang disebut di dalamnya akan Junjungan Nabi s.a.w. (yakni dengan bersholawat, mendengar hadis-hadis Junjungan s.a.w., mendengar ajaran-ajaran Junjungan s.a.w. dan mendengar kisah-kisah yang berkaitan dengan Junjungan s.a.w.), nescaya akan terbitlah bau harum semerbak mewangi yang menembusi tujuh petala langit sehinggalah ke arasy, yang keharumannya dicium oleh segala makhluk Allah ta`ala yang di bumi selain daripada jin dan manusia. Kalaulah manusia dan jin dapat mencium bau harum tersebut, nescaya lupalah mereka akan segala urusan penghidupan mereka, kerana terlalu sibuk meni'mati kelazatan dan keni'matan bau harum tersebut.Manakala, setiap malaikat dan makhluk Allah ta`ala selain jin dan manusia, yang mencium bau harum tersebut akan berdoa memohon keampunan untuk orang-orang yang hadir dalam majlis tersebut, dan akan dituliskanlah bagi mereka yang hadir itu pahala sebanyak bilangan makhluk Allah ta`ala yang mencium bau harum tersebut serta diangkat darjat mereka menurut bilangan makhluk-makhluk tersebut. Maka setiap seorang masing-masing akan mendapat pahala yang sedemikian tadi tanpa mengira berapa jumlah mereka yang berhimpun dalam majlis tersebut, sama ada hanya seorang ataupun seratus ribu orang, dan apa yang ada di sisi Allah daripada pahala dan ganjaran adalah terlebih banyak lagi.

Dan telah disyairkan oleh orang dengan katanya:-

Sentiasalah mewangi waktu-waktu yang disebutkan;
Khabar-khabar berkenaan Junjungan s.a.w. dalam majlis yang harum;
Maha Suci Tuhan Pencipta baginda;
Suatu cahaya yang dirupakan dengan sebaik-baik rupa.

Begitulah ikhwah, jika semua kita dapat mencium keharuman bau tersebut, semua tak sibuk nak kerja dah, kerana sibuk nak baca mawlid sebab nak meni'mati keharuman bau majlis tersebut. Ini antara hikmah kenapa baunya dihijabkan dulu buat kita.....Allahu....Allah. Jadi toksahlah nak malas-malas hadir majlis-majlis di mana Junjungan s.a.w. disebut-sebut, sholawat dan salam diucapkan, qasidah pujian dilantunkan serta doa dan syafaat dipohonkan. Kalau kome semua tak nak tak apa, bagi kat sesiapa yang nak sahaja. Yang tak nak, pi tidur sudahlah, toksah nak ganggu orang yang nak. Allahumma sholli 'ala Badrit Tamam.

Wednesday, April 5, 2006

Keharuman Majlis 1

Ketahuilah, bahawasanya sesuatu majlis perhimpunan yang harus itu akan menjadi cemerlang jika sekiranya ianya diserikan dengan dzikrullah dan ucapan-ucapan sholawat serta salam ke hadrat Junjungan Nabi s.a.w. Hal ini telah disebut dalam beberapa hadits Junjungan Nabi s.a.w. di antaranya:- "Tidak berhimpun sesuatu kaum (yakni dalam majlis perhimpunan) yang kemudiannya mereka bersurai pergi dengan tanpa mengingati Allah azza wa jalla dan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w., melainkan perginya mereka (dari majlis tersebut) dengan bau busuk bangkai."

Bukan itu sahaja, majlis tersebut juga akan menjadi sesalan kepada orang-orang yang hadir di dalamnya, sebagaimana sabda Junjungan Nabi s.a.w.:- "Tidak duduk sesuatu kaum dalam satu majlis, yang mana mereka tidak berzikir mengingati Allah ta`ala di dalamnya dan tidak bersholawat ke atas Junjungan Nabi mereka, melainkan jadi atas mereka satu penyesalan; Maka jika sekiranya Allah mengkehendaki, diazabkanNya mereka dan jika Dia mengkehendaki, diampunkanNya mereka.

Jika sahaja dalam hadits yang tersebut menyatakan bahawa sesuatu majlis yang kosong daripada zikrullah dan sholawat akan menimbulkan bau busuk bangkai, maka mafhum mukhalafahnya pula ialah, sesuatu majlis yang dipenuhi zikrullah dan sholawat serta salam, akan menimbulkan bau yang harum semerbak mewangi. Dalam majlis mawlid, orang buat apa ? Sahaja suka-suka borak-borak ke ? Tentu tidak, deme berzikir, baca ayat-ayat al-Quran, dengar sirah Junjungan s.a.w., bersholawat dan mengucapkan salam serta melahirkan dan menyatakan kegembiraan dan syukur atas zahirnya rahmat bagi sekalian alam, Junjungan Nabi s.a.w. Cuma hal keadaan bau-bau ini, kemungkinan kita tidak mampu untuk menciumnya kerana deria bau kita mungkin sudah terdinding akibat dosa dan maksiat yang telah berleluasa, dan mungkin juga ianya akan disimpan untuk kita sehingga ke Hari Pembalasan, mungkin jugak ada rahsia lain yang kita tak tahu, nanti aku cite posting akan datang.

Maka jika bau tersebut harum mewangi menjadilah ianya sebagai suatu ni'mat yang tidak dapat digambarkan, atau jika bau tersebut busuk, maka terseksalah kita sekiranya menciumnya nanti. Pikau sahajalah kalu dalam kereta tiba-tiba seseorang melepaskan gas beracunnya, silap-silap boleh muntah, pitam pun boleh berlaku, terseksa oooooo, seksaan di sana nanti lagi le dahsyat, na`udzubillah min dzalik. Aku teringat jugak kata tok guru, Nabi Adam a.s. waktu mula diturunkan ke dunia pengsan 40 tahun sebab tak tahan bau busuk dunia ni. Allahu .... Allah. Berkenaan hal ini tidaklah mustahil berkekalannya bau-bau tersebut sehingga ke Hari Pembalasan kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang datang mengadap Qadhi Rabbul Jalil dalam keadaan yang harum mewangi. Allahummaj 'alna minhum.

Tuesday, March 28, 2006

Sholawat Tafrijiyyah

Sholawat Tafrijiyyah (sholawat memohon kelepasan dari kesusahan dan bencana) adalah antara sholawat yang terkenal diamalkan oleh para ulama kita. Sholawat ini juga dikenali sebagai Sholawat at-Tafrijiyyah al-Qurthubiyyah (dinisbahkan kepada Imam al-Qurthubi), dan ada juga ulama yang menisbahkannya kepada Imam 'Ali Zainal 'Abidin bin Imam al-Husain r.anhuma. Di negeri sebelah maghrib, ianya dikenali sebagai Sholawat an-Naariyah kerana menjadi amalan mereka apabila ingin melaksanakan sesuatu hajat atau menolak sesuatu bencana, mereka akan berkumpul dan membaca sholawat ini 4444 kali lalu terkabul hajat mereka dan tertolak segala malapetaka secepat api yang menyambar atau membakar. Ianya juga dikenali sebagai Miftahul Kanzil Muhiith li naili muraadil 'abiid (kunci perbendaharaan yang meliputi untuk menyampaikan harapan si hamba). Sholawat ini mempunyai keistimewaannya kerana selain sholawat ianya merupakan tawassul kepada Allah dengan Junjungan Nabi s.a.w. di mana kita menyebut nama dan dhamir Junjungan s.a.w. sebanyak 8 kali.

Menurut Imam al-Qurthubi sesiapa yang melazimi akan sholawat ini setiap hari 41 kali atau 100 kali atau lebih, nescaya Allah melepaskan kedukaan, kebimbangan dan kesusahannya, menyingkap penderitaan dan segala bahaya, memudahkan segala urusannya, menerangi sirnya, meninggikan kedudukannya, memperbaikkan keadaannya, meluaskan rezekinya, membuka baginya segala pintu kebajikan, kata-katanya dituruti, diamankan dari bencana setiap waktu dan dari kelaparan serta kefakiran, dicintai oleh segala manusia, dimakbulkan permintaannya. Akan tetapi untuk mencapai segala ini, seseorang itu hendaklah mengamalkan sholawat ini dengan mudaawamah (berkekalan).

Imam as-Sanusi berkata bahawa sesiapa yang melazimi membacanya 11 kali setiap hari, maka seakan-akan rezekinya turun langsung dari langit dan dikeluarkan oleh bumi.

Imam ad-Dainuri berkata bahawa sesiapa yang membaca sholawat ini dan menjadikannya wirid setiap selepas sholat 11 kali, nescaya tidak berkeputusan rezekinya, tercapai martabat yang tinggi dan kekuasaan yang mencukupi. Sesiapa yang mendawamkannya selepas sholat Subuh setiap hari 41 kali, tercapai maksudnya. Sesiapa yang mendawamkannya 100 kali setiap hari, terhasil kehendaknya dan memperolehi kehormatan/kemuliaan melebihi kehendaknya. Sesiapa yang mendawamkannya setiap hari menurut bilangan para rasul (313 kali) untuk menyingkap segala rahsia, maka dia akan menyaksikan segala apa yang dikehendakinya. Sesiapa yang mendawamkannya 1000 kali sehari, maka baginya segala yang tidak dapat hendak diterang dengan kata-kata, tidak pernah dilihat mata, tidak pernah didengar dan tidak pernah terbetik di hati manusia.

Imam al-Qurthubi juga berpesan bahawa sesiapa yang berkehendak untuk menghasilkan hajatnya yang besar atau menolak bencana yang menimpa, maka bacalah sholawat ini sebagai tawassul dengan Junjungan Nabi yang empunya akhlak yang agung 4,444 kali, nescaya Allah ta`ala akan menyampaikan kemahuan dan harapan itu atas niat si pembaca. Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menyebut akan kelebihan bilangan ini sebagai iksir fi sababit ta`siir (pati ubat sebagai penyebab berlakunya kesan).

Menurut kata ulama, sholawat ini adalah merupakan satu perbendaharaan daripada khazanah-khazanah Allah, dan bersholawat dengannya merupakan kunci-kunci pembuka segala khazanah-khazanah Allah yang dibukakan Allah bagi sesiapa yang mendawaminya serta dengannya seseorang boleh sampai kepada apa yang dikehendaki Allah s.w.t. Oleh itu silalah ikhwah semua merujuk kepada para ulama kita (ingat bukan ulama mereka kerana karang semuanya akan dibid`ahsesatkan) dan melihat akan karangan-karangan terdahulu seperti "Afdhalush Sholawat 'ala Sayyidis Saadaat" karangan Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani, "Jawahirul Mawhub" dan "Lam`atul Awrad" kedua-duanya karangan Tok Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kelantani, "Khazinatul Asrar" karangan Syaikh Muhammad Haqqi an-Naazili dan lain-lain lagi. Sesiapa yang tak ingin beramal dengannya, tak mengapa, amalkan sahaja apa yang kamu nak amal, jangan nak berbalah pulak dengan aku kerana aku sekadar menukil kata ulama. Daripada berbalah, elok kita perbanyakkan sholawat, shollu 'alan Nabiy.

Thursday, February 16, 2006

Keberkatan berpanjangan


Buya Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki dalam karangannya "Ma dza fi Sya'baan" menukil sebuah atsar di mana Sayyidina Hudzaifah r.a. berkata bahawa sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. (keberkatannya) mencapai/mencakupi si pembaca, anaknya dan anak kepada anaknya (yakni cucunya). Atsar yang sama juga tercatat dalam kitab "Jawahirul Ma`ani wa Bulughul Amaani" karangan Syaikh Ali Hiraazim al-Faasi dan diriwayatkan oleh Ibnu Basykawaal.

Jangan tanya aku mengenai kesahihan atsar ini kerana aku bukan muhadditsin. Tetapi, cukup bagiku jika Buya al-Maliki yang merupakan seorang ahli hadits menukil atsar ini pabila menceritakan antara kelebihan sholawat. Lagi pun yang jelas bersholawat itu sememangnya diperintahkan dan dianjurkan serta banyak kelebihan dunia dan akhirat.

Kenapa masih malas bersholawat ? Kenapa lidah kita masih banyak menyebut selain Junjungan s.a.w. ? Adakah kerana hati kita masih cenderung kepada yang selain baginda ? Semua orang cari keberkatan dalam hidup, kerana hidup yang berkat akan membawa kepada kesudahan yang cemerlang. Nah amalan bersholawat, bukan sahaja menjadikan kehidupan kita penuh keberkatan, tetapi, bi idznIllah, akan menjadikan kehidupan anak cucu kita juga diberkati Allah Rabbul Jalil. Tahun baru masih panas, tanamkan azam bahawa tahun ini kan ku pertingkatkan wirid sholawat ku.

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'ala Sayyidina Muhammad wa aalihi wa ashhabih

Friday, November 11, 2005

Kisah Kijang & Anaknya

Bait qasidah yang disusun oleh seorang ulama ahlil bait disudahi di mana Junjungan Nabi disebut sebagai "man kallamahul ghazalah" yakni orang yang kijang berkata-kata dengannya. Mukjizat Junjungan s.a.w. sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Abu Nu`aim dalam kitabnya "al-Hilyah", diceritakan bahawa seorang lelaki lalu di hadapan Junjungan s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang telah ditangkapnya. Allah yang Maha Berkuasa telah menjadikan kijang tersebut apabila melihat Junjungan s.a.w. terus berkata-kata dengan baginda, katanya: "Wahai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku ada beberapa ekor anak yang masih menyusu, dan sekarang ini aku sudah ditangkap, sedangkan mereka sedang kelaparan. Oleh itu, harap perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat pergi menyusukan anak-anakku itu, dan sesudah itu aku akan balik semula ke mari." Bersabda Junjungan s.a.w.: "Bagaimana halnya kalau engkau tak balik ke mari lagi ?" Jawab si kijang: "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah ta`ala akan melaknatkan aku sebagaimana Dia melaknat orang yang tidak mengucapkan sholawat kepadamu apabila disebut namamu di sisinya." Lalu Junjungan s.a.w. pun bersabda kepada orang yang menangkap kijang itu: "Lepaskanlah kijang ini buat sementara, dan aku jadi penjamin baginya." Kijang itupun dilepaskan, dan kemudian ia kembali semula ke situ. Melihat mukjizat ini, maka si penangkap kijang tersebut terus membebaskan kijang itu agar ia kembali kepada anak-anaknya. Maka turunlah Jibril a.s. seraya berkata kepada Junjungan s.a.w.: "Wahai Muhammad, Allah mengucapkan salam kepadamu dan Dia berfirman: "Demi kemuliaanKu dan kehormatanKu, sesungguhnya aku lebih kasihankan umat Muhammad daripada kijang itu kasihankan anak-anaknya, dan Aku akan kembalikan mereka kepada mu sebagaimana kembalinya kijang itu."
Inilah antara mukjizat Junjungan s.a.w., binatang liar berbicara dengan menepati janji yang telah diberikan kepada Junjungan s.a.w. Tidakkah kita merasa malu, mengaku umat baginda tetapi engkar terhadap ajaran baginda serta tidak merasa rindu terhadap baginda dan kurang mengingati baginda. Oleh itu, rajin-rajinlah bersholawat, rajin-rajin hadir majlis-majlis di mana nama Junjungan s.a.w. disebut dan dimuliakan, bukan majlis yang nama baginda disebut seumpama menyebut manusia lain. Sesungguhnya setiap majlis di mana Junjungan tidak dimuliakan, maka majlis tersebut adalah terpotong dari keberkatan. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih.

Thursday, October 20, 2005

Sholawat 100 Kali Hari Jumaat

Ikhwah, Imam Ibnu Mandah dalam "al-Fawaaid", Imam al-Ashbahaani dalam "at-Targhib", Imam ad-Dailami dalam "Musnad al-Firdaus" dan Imam al-Baihaqi dalam "Hayatul Anbiya`" meriwayatkan satu hadits daripada Sayyidina Anas r.a. bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-
  • "Sesiapa bersholawat ke atasku 100 kali pada hari Jumaat dan malam Jumaat, nescaya ditunaikan Allah baginya 100 hajat, 70 dari hajat-hajat akhirat dan 30 dari hajat-hajat dunia. Kemudian Allah wakilkan seorang malaikat untuk menghadapku dengan membawa sholawat-sholawat tersebut dalam kuburku sebagaimana menghadap orang membawa hadiah kepada kamu, bahawasanya ilmu/pengetahuanku setelah mati sama seperti ilmu/pengetahuanku sewaktu aku hidup."

Begitu besar kelebihan bersholawat, terutama pada hari Jumaat dan malam Jumaat. Tak heran kenapa ulama - ulama dahulu sering mengadakan majlis-majlis sholawat pada malam dan hari tersebut. Majlis yang berupa pembacaan kitab-kitab mawlid yang sarat dengan ucapan sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. Malangnya, sekarang tradisi dan amalan ini semakin dilupai, bahkan lebih dahsyat diperangi oleh segelintir manusia yang bertopengkan al-Quran dan as-Sunnah. Mudah-mudahan kita semua selamat dari fitnah ini, dan berpegang teguh dengan para ulama kita terdahulu yang menjadi obor penyebaran Islam dirantau ini dan memasukkan Islam kepada datuk nenek kita, bukannya menjadi pengikut segelintir ustaz zaman kini yang ingin mengeluarkan "verdict" kafir, bid`ah, khurafat dan sebagainya kepada sesama ummat.

Sholawat & Istighfar

Imam asy-Syihab ar-Romli telah ditanya:
  • " Adakah istighfar lebih afdhal daripada sibuk bersholawat dan mengucap salam ke atas Nabi s.a.w. atau dibezakan iaitu bagi orang yang kebiasaannya taat sholawat lebih afdhal dan bagi orang yang kebiasaannya maksiat istighfar lebih afdhal ?

Dijawab oleh Imam tersebut:-

  • "Bahawasanya menyibukan diri dengan sholawat dan salam ke atas Nabi s.a.w. lebih afdhal daripada menyibukan diri dengan istighfar secara mutlak."

Jadi banyakan sholawat, tapi jangan pula lupa beristighfar dan memohon keampunan Allah s.w.t.

Thursday, October 13, 2005

Sholawat

Ikhwah, di hari Jumaat ini mari kita memperbanyakan mengucap sholawat dan salam atas Junjungan kita s.a.w. Sholawat ke atas baginda akan menjadi kaffarah kepada dosa kesalahan kita. Ada sabdaan Junjungan s.a.w. yang menyatakan bahawa sholawat merupakan zakat bagi badan, yakni sebagaimana zakat harta mensucikan harta dan menambah keberkatannya, maka sholawat akan mensucikan diri dan menambah keberkatan Allah padanya. Oleh itu, jangan kalian memandang ringan atau remeh dengan amalan bersholawat ini. Juga dalam sebuah hadits marfu' yang diriwayatkan daripada Muhammad bin al-Qasim, sebagaimana dinyatakan dalam "al-Wasaa-ilusy Syaafi`ah" karya al-Muhaddits Habib Muhammad bin 'Ali Khird mukasurat 484 seperti berikut:-
  • "Bagi setiap sesuatu itu ada pensuci dan pembasuh, maka pensuci hati-hati orang beriman dari segala kekaratan adalah bersholawat ke atas Junjungan s.a.w."

Saturday, September 3, 2005

Surah al-Ahzab ayat 56


Ketibaan bulan Sya'baan antara yang berlaku ialah dalam bulan ini diwahyukan Allah ayat 56 surah al-Ahzab yang memerintahkan kita supaya mengucapkan sholawat dan salam ke atas Junjungan. Sehingga dikatakan oleh ulama: "Bulan Rajab untuk istighfar, bulan Sya'baan untuk sholawat dan bulan Ramadhan untuk membaca al-Quran." Oleh itu mari kita tingkatkan lagi ucapan sholawat dan salam kita dengan penuh rasa kecintaan dan kerinduan kepada Junjungan s.a.w. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaih wa 'ala aalih.

Surah al-Ahzab ayat 56:

Artinya: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya".

Saturday, August 20, 2005

Banyakkan Bersholawat & Bermawlid


Kiyai Agung Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi rahimahUllah dalam kitabnya "Nafahatul Miskiyyah" berpesan kepada kita sekalian sebagai berikut:- "Maka tidak ada satu perkara yang lebih memberi manfaat untuk menerangkan hati serta menyampaikan orang-orang yang menuntut untuk "sampai" kepada Allah melainkan dengan banyak mengingati Nabi s.a.w. dan mengucapkan sholawat kepada baginda kerana bahawasanya dengan tekun dan tetap berbuat sedemikian maka orang itu akan memperolehi cahaya yang banyak dan dengan berkatnya dia akan dapat "berhubung" dengan Nabi Muhammad s.a.w. ataupun dapat berkumpul dengan orang yang boleh menyampaikan dia kepada Nabi s.a.w. dengan syarat dia menjalankan ibadat dan menjauhkan maksiat serta menghiasi dirinya dengan akhlak yang baik, terutamanya pada akhir zaman apabila kekurangan orang-orang yang menunjuk ajar serta banyak pula campur-aduk berlaku dalam hukum-hukum agama di kalangan orang ramai."

Tuesday, August 2, 2005

Kemarahan Orang Munafiq


Saudara, Imam al-Haddad dalam kitabnya "an-Nafaa-isul-'Ulwiyyah" mengkhabarkan kepada kita seperti berikut:- "Tak diragukan lagi bahawa penyebutan nama dan pemujian kepada Rasulullah s.a.w.; periwayatan kehidupan dan keutamaan-keutamaan baginda s.a.w. yang diiringi dengan pembacaan sholawat dan salam.........adalah termasuk pendekatan diri dan ketaatan kepada Allah. Sholawat merupakan salah satu penguat iman, penambah cinta dan pengagungan kepada Rasulullah s.a.w.........Di samping itu, sholawat membuat marah dan menghinakan orang-orang munafiq dan kafir yang membenci Rasulullah s.a.w." Justru itu, mari kita sekalian rajin-rajin bersholawat, rajin-rajin mengambil pusaka Junjungan s.a.w. berupa ilmu-ilmu agama, rajin-rajin mendengar hadits-hadits dan rajin-rajin mendengar kisah-kisah Junjungan s.a.w., baik berupa pembacaan mawlid Junjungan s.a.w. atau lainnya.

Thursday, July 28, 2005

Membumikan Sholawat

Hari Jumaat, kumulakan catatan dengan bicara sholawat. Kenapa bersholawat ? Pertama sudah tentu kerana ianya perintah Ilahi dan ianya merupakan wasilah untuk mendapat rahmat dan kasihsayang Allah s.w.t dan Junjungan Nabi s.a.w. Hadits masyhur lagi sahih riwayat Imam Muslim dan lainnya menyatakan Allah mengurniakan 10 sholawat yakni rahmat kepada orang yang mengungkapkan 1 satu buat hadrat Junjungan s.a.w. Apa nilainya sholawat dari kita berbandingkan sholawat Allah. Sebesar debu pun tidak bernilai, tetapi Allah tetap mengurniakannya bukan kerana dirimu tetapi kerana kekasihNya, Junjungan Nabi s.a.w. Sholawat juga wasilah untuk menyampaikan diri kita ke hadrat Junjungan Nabi s.a.w. kerana disebut dalam hadits bahawa setiap sholawat dan salam yang diucapkan akan dipersembahkan ke hadrat Junjungan s.a.w. dengan disebut nama kita dan dibalas oleh Junjungan s.a.w., justru apa juga nilai sholawat kita berbanding balasan dari Junjungan s.a.w. Oleh itu wahai saudara, bumikanlah sholawat, jangan dibiarkan ahli langit sahaja mendapat kemuliaan dengan sholawat, sedangkan kita yang di bumi ini diam membisu hatta apabila nama Junjungan s.a.w. disebut atau lidah kita di bumi lebih sering menyebut yang sia-sia berbanding bersholawat. Bumikanlah sholawat, nescaya para ahli langit akan mendoakan kesejahteraan kalian sewaktu kalian berada di atas bumi dan juga di dalam bumi nanti. Insya-Allah, kan kubicarakan berhubung hal ini di lain ketika. Buat khatimah, biar kusebut apa yang ditulis oleh Imam Ibnu 'AthoIllah as-Sakandari dalam kitabnya "Bahjatun-Nufus":- "Orang yang tidak mampu memperbanyak berpuasa dan melakukan sholat malam (yakni sholat-sholat sunnat pada waktu malam) hendaknya menyibukkan diri dengan bersholawat ke hadrat Junjungan Rasulullah s.a.w. Seandainya sepanjang hidup, engkau melakukan seluruh amal ketaatan, lalu Allah memberikan satu sholawat sahaja atasmu, tentu satu sholawat tersebut lebih berat dari semua amal ketaatan yang engkau lakukan selama tempoh tersebut. Sebab engkau bersholawat sesuai dengan kapasiti kemampuanmu, sedangkan sholawat daripada Allah adalah sesuai dengan sifat rububiyah (ketuhanan)-Nya. Ini baru satu sholawat, maka bagaimana pula jika Allah membalasmu dengan sepuluh sholawat bagi satu sholawatmu ke hadrat Junjungan s.a.w. seperti keterangan hadits ? Menurut Sayyidina Abu Hurairah r.a., Junjungan Rasulullah s.a.w. bersabda:- "Sesiapa yang bersholawat atasku sekali, Allah akan bersholawat ke atasnya sepuluh kali." Betapa indahnya hidup ini jika engkau isikan dengan taat kepada Allah, dengan sentiasa berzikir kepadaNya dan sibuk bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. di setiap waktu disertai hati yang ikhlas, jiwa yang tulus, niat yang baik dan perasaan cinta kepada Junjungan Rasulullah s.a.w. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih.
My Ping in TotalPing.com

Total Pageviews