Pages

Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Saturday, September 2, 2006

Sya`baan Bulan Junjungan

Ikhwah, masyhur di sisi awam bahawa bulan Sya`baan ini adalah bulan Junjungan Nabi s.a.w. Antara keistimewaannya sehingga dikatakan sedemikian adalah kerana dalam bulan inilah turunnya ayat 56 surah al-Ahzab yang masyhur memperikan kemuliaan Junjungan sehingga dikatakan Allah s.w.t. dan para malaikatNya bersholawat ke atas Junjungan s.a.w. Dan dalam ayat tersebut umat beriman turut diperintahkan untuk bersholawat serta mengucapkan salam ke atas Junjungan s.a.w. Imam Ibnu ash-Shoif al-Yamani menyatakan:- "Bahawasanya bulan Sya'baan adalah bulan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. kerana ayat "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersholawat ke atas Nabi, wahai orang-orang beriman bersholawatlah kamu ke atas baginda dan ucapkanlah salam kesejahteraan" diturunkan dalam bulan ini. Inilah juga pernyataan ramai ulama sebagaimana disebut oleh Imam al-Qasthalani. Oleh itu, mari kita perbanyakkan lagi wirid sholawat kita ke atas Junjungan s.a.w. dan kita pertingkatkan lagi pengamalan sunnah Junjungan s.a.w. dalam kehidupan kita sehari-hari. Antara kelebihan dan kemuliaan amalan bersholawat adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnu Farhun al-Qurthubi:-
  • Ketahuilah bahawasanya pada sholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. itu ada 10 kekeramatan (kemuliaan):-
    1. memperolehi sholawat Malikul Jabbar;
    2. mendapat syafaat Nabiyul Mukhtar;
    3. mengikut akan Malaaikatul Abraar;
    4. menyalahi akan munaafiqiin dan kuffaar;
    5. menghapuskan khothooyaa dan awzaar (dosa dan kesalahan);
    6. membantu menyampai hawaaij dan awthaar (segala hajat);
    7. menyinari akan dzawaahir dan israar (cahaya zahir dan bathin);
    8. keselamatan dari darul bawaar (neraka);
    9. dapat masuk ke darul qaraar ( syurga );
    10. mendapat salam Tuhan ar-Rahiim al-Ghaffaar.

Allahumma sholli wa sallim 'ala Sayyidina Muhammad

wa 'ala alihi wa ashhaabih.

Thursday, August 31, 2006

Tarikh Keramat 31 Ogos 1957



Ikhwah, sempena hari kemerdekaan, mari kita kenangkan tokoh yang digelar sebagai penetap tarikh kemerdekaan, iaitu tok wan Pak Lah, Shohibus Samahah Syaikh 'Abdullah Fahim. Samahah ini bukan sahaja terkenal sebagai ulama dalam tawhid, fiqh dan tasawwuf, tetapi juga menguasai ilmu falak. Inilah antara sebab kenapa beliau dirujuk untuk menetapkan tarikh keramat kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris. Begitulah keadaan ulama-ulama kita dahulu, mereka alim dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan. Bukan sahaja ilmu fiqh, ilmu tawhid, ilmu tasawwuf, ilmu faraidh, ilmu-ilmu alat tetapi juga ilmu matematik, astronomi dan falak. Bahkan, tidak kurang yang alim ilmu kimia seperti Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathoni.

Berbalik kepada nenda Pak Lah, Syaikh 'Abdullah Fahim, yang tidak kurang kehebatannya dalam bidang falak. Dengan kemahiran itu beliau dapat menyusun jadual waktu sholat untuk kegunaan orang ramai. Oleh itu, janganlah kita suka memperlekehkan keilmuan ulama kita terdahulu. Jangan mentang-mentang kita punya predikat "Dr." di hadapan nama kita, maka ianya dijadikan lesen untuk mengkritik secara biadap ulama yang telah banyak berjasa.

Sempena tarikh keramat ini

Tarikh kemerdekaan ibu pertiwi

Mari panjatkan ke hadhrat Ilahi

Permohonan hamba dhoif ini

Untuk kesejahteraan umat dan negara bertuah ini

Biarlah berpanjangan masa silih berganti

Berkekalan di bawah naungan rahmat Ilahi Rabbi

Juga dijadikan negara ini baldatun thoyyibah yang diberkati

Para ulama, pejuang dan penegak yang tulus hati

Hendaknya di kalangan faizin ditempati

Meraih kenikmatan syurga yang abadi

Mendapat syafaat Junjungan Nabi

Aamiin...aamiin ya Rabbal 'Aalamiin bihurmatil Fatihah

Monday, June 5, 2006

KHM Syafi`i Hadzami


Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepadaNyalah kita dikembalikan. Pada 7 Mei 2006 yang lalu, Kiyai Syafi`i Hadzami atau Mu`allim Syafi`i Hadzami telah kembali ke rahmatUllah. Antara karangan yang ditinggalkan ulama Betawi yang pernah menjadi Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia cabang Jakarta yang tersebar luas di rantau kita ialah buku soal-jawab beliau yang berjodol "Taudhihul Adillah" atau "100 Masalah Agama" yang penuh sarat dengan berbagai ilmu yang sejalan dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jama`ah bermazhab Syafi`i. Mudah-mudahan almarhum dirahmati dan diredhai Allah serta ditempatkan bersama-sama para sholihin...............al-Fatihah.

Thursday, May 18, 2006

Marilah...mari... pergi mengundi......

Insya-Allah, isok aku nak turun memangkah calon pilihan. Adik kakak, abang adik, bapak emak, tok nenek , jangan lupak turun sama ngundi. Tapi yang dah tua dan uzur janganlah dipaksa turun ngundi, janganlah diangkut, jangan dipikul, kesian urang tua. Cariklah pengundi lain. Apa dah sik ada lagik urang nak mangkah parti kitak ?
Arap-arap kali tok sik ada antu-antu turun ngundi. Arap-arap malam ngira undi kelak, api sik padam, tapi aku dah nyedia dian nei tauk tang padam jak api, sik da lah gago encarik dian, sediakan payung sebelum hujan.
Arap-arap SPR udah update nya pun daftar pemilih, jangan ada urang dah mati pun turun ngundi. Macam pengundi tertua kononnya umurnya 108 tahun, rupa-rupa mak cik ya dah ninggal waktu umurnya 74 tahun dolok, sik sampei umurnya 108 tahun. Keribang rebus punya SPR. Susah gilakkah nak update daftar pemilih, mun sik mauk kerja berik ngan urang yang mauk kerja, jangan cakap jak pandei. Jangan ingat kau kerja Perentah, Perentah merik gaji, sapa Perentah ? Perentah adalah rakyat, so kerja betul-betul, jangan eksen. Tan Rashid, entah betul sik nama boss sidak SPR, jangan marah, bekerjalah bersama Rakyat, jangan hanya bersama Perentah ajak.
Kaifama takunu yuwalla 'alaikum (Macam nei keadaan atau kejadian kita macam yalah pemerintah kita). Hanya kerak akan milih kerak, kerbo mesti milih kerbo, pak sauk mesti milih pak sauk, jeraul mesti milih jeraul, hero mesti milih hero, cam yalah lebih kurang retinya. Apa-apa pun sapa sekapal, sama-sama sampei atau sama-sama karam.
Apa-apa pun, ngundi jangan sik ngundi, pilihlah calon kitak masin-masin, calon Parti Dacing, Parti Bigik Mata, Parti Roket, Parti Bulan dll. Ingat ngundi pun kenak tanyak, sik ngundi pun kenak tanyak. Pandei-pandeilah nyawab kelak. Kemenangan yang hakiki adalah kemenangan di sana nanti. Bertindaklah secara bijaksana, jangan hanya bijaksini. Hidup Parti Ahli Sunnah.

Monday, February 6, 2006

Karikatur

Isu karikatur (entah betul tidak ejaannya) penghinaan terhadap Junjungan s.a.w. justru penghinaan terhadap Allah dan penghinaan terhadap kita selaku umat Junjungan s.a.w. Kita tidak boleh berdiam diri, tetapi sebarang tindakan kita, sama ada keras atau lembut, hendaklah dilakukan dengan penuh hikmah dan bijaksana. Nak marah, marahlah, tapi yang aku tak faham marahnya sampai sendiri cedera atau sesama Islam yang tumpah darah dalam tunjuk perasaan apa cerita.
Satu kekeliruan yang sering berlaku bila bil-hikmah sering disinonimkan dengan lemah lembut semata-mata, sedangkan bil-hikmah itu boleh dengan berbagai rupa, keras mau pun lembut. Keras dengan hikmah dan lembut juga dengan hikmah, jangan sampai musuh mengambil kesempatan atas kelembutan kita.

Bagi aku, orang kafir memang mempunyai kebencian atau setidak-tidaknya prejudis terhadap Junjungan s.a.w. Cuma dinyatakannya atau tidak, itu sahaja. Apa yang dilukisnya itu jangan pula kita iktiqadkan sebagai Junjungan s.a.w. Tindakan mereka umpama anjing menyalak bukit.

Ada saudara bertanya apa yang perlu kita buat. Aku pun tak tahu apa nak jawab, cuma buat permulaan tingkatkan kecintaanmu kepada Junjungan s.a.w. Tambah lagi kekerapan engkau menyebut nama baginda yang mulia. Ucapan sebanyak-banyak pujian dan sholawat atas baginda s.a.w. Jadikan sholawatmu sebagai balasan untuk cacian puak kafirin tersebut terhadap Junjungan s.a.w. Sering-sering hadir majlis menyebut-nyebut, memuji-muji, mengagung-agung Junjungan s.a.w. Jangan pula kita haramkan saudara-saudara kita yang melaksanakan majlis-majlis sedemikian. Jangan pula dibid`ah dan disesatkan. Perkukuhkan pegangan dan amalan sesuai dengan ajaran baginda s.a.w. yang disampaikan kepada kita oleh pewaris baginda daripada kalangan ulama amilin.

Awas jangan kamu melatah, bertindak membabi buta, kerana itu boleh meng`confirm’kan tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan ke atas kita. Mungkin itu pula yang dinanti-nanti oleh puak-puak tersebut. Nak berjihad pun kena bijaksana, jihad bukan boleh main hentam keromo, jihad sebagaimana lain-lain amalan dalam Islam punya syarat dan rukun, tak cukup syarat dan rukun tak sah pulak jihadnya. Inilah yang kurang difahami sekarang, kobaran jihad lebih kepada tuntutan rasa marah dan sebagainya. Tak salah, jika marah itu pada tempatnya dan jihad pula dengan caranya menurut syarak. Teringat aku kepada Mufti Betawi, Habib Utsman BinYahya, kerana hendak memperbetulkan konsep jihad, lalu dituduh bersekongkol dengan Belanda. Ini lain kali boleh cerita. Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaih wa 'ala aalih.
p/s - Kena boikot Sarawak Tribune, tok sah beli lagi. Elok beli surat khabar Melayu, kalau tak beli sapa pulak nak beli.

Tuesday, January 31, 2006

Munajat Tahun Baru

Ya Rabbi, Ya Tuhanku,

kupohon kepadaMu

dengan perantara nabiMu Al-Mukhtar sebaik baik hambaMu

pada tahun baru ini

kabulkanlah semua hajat kami

jadikan ia tahun penuh kebahagiaan

sehingga kami memasukinya dalam keadaan sihat afiat

bertambah banyak amal kebajikan kami

jadikanlah kami orang-orang yang berjalan atas jalan terang terpuji

ringankan bagi kami segala perkara yang memberatkan kami

tambahkan bagi kami ilmu dan kebaikan

begitu juga dengan pemberian-pemberianMu,

tambahkanlah untuk kami.

( "Jauharul Maknun Wa Sirrul Mashun" - Habib Ali al-Habsyi)

Sunday, January 29, 2006

Selamat Tahun Baru

Mudah-mudahan tahun baru menjelang tiba ini membawa kebahagiaan buat aku dan kalian serta sekalian umat. Jangan lupa menutup tahun ini dengan doa dan istighfar dan membuka tahun baru juga dengan doa dan mohon pemeliharaan Allah. 1427, tahun alif dalam taqwim. Mari kita ramai-ramai himpun berdoa dan bermunajat serta bertahlil dan bermawlid menyambut tahun baru ini. Imam Ibnul Jauzi (bukan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah murid Ibnu Taimiyyah) menyatakan bahawa di antara amalan yang mujarrab untuk memperolehi keamanan sepanjang tahun ialah mengadakan majlis mawlid Nabi s.a.w. Mudah-mudahan mawlid yang kita laksanakan semata-mata kerana mahabbah kita kepada Junjungan s.a.w. dan diterima Allah serta dijadikanNya sebab untuk kita memperolehi keamanan sepanjang tahun juga kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ada juga yang fatwakan bid`ah baca doa awal dan akhir tahun, lalu mereka sambut dengan ceramah. Sebenarnya ceramah pun bid`ah jugak kawan. Mana ada Junjungan Nabi s.a.w. buat ceramah sambut tahun baru. Aku ingat waktu belajar dulu, ada satu kumpulan Islam yang pusatnya di sebuah negeri di utara Semenanjung tempat Raja kita sekarang bertakhta. Geng-geng ni tak nak tarawih 20 rakaat dan tak nak sholawat-sholawat antara rakaat-rakaat tarawih seperti yang biasa dibuat oleh orang kita. Jadi dia orang buat 8 rakaat dan setiap 4 rakaat diselangi dengan tadzkirah. Kat kampung aku pun ada bekas pembesar yang telah kecewa sebab kalah pilihanraya buat tarawih 8 rakaat tanpa sholawat-sholawat. Sebelum tarawih diadakan ceramah dan tadzkirah. OOOOOOOO sholawat-sholawat bid`ah, yang ceramah-ceramah dan tazkirah tu apa ? Ada ke Junjungan Nabi s.a.w. buat ceramah atau tadzkirah sebelum tarawih ? Mengata dulang paku serpih, mengata orang ekau yang lebih.

Bagi yang kata bid`ah, tok sah lah buat. Esok kamu pergilah pejabat sorang-sorang sebab kalau sambut tahun baru bid`ah, maka bercuti sempena tahun baru pun bid`ah jugak. Jangan marah.

Thursday, January 5, 2006

10 hari pertama Dzul Hijjah

Saat masuk bulan Dzul Hijjah, para jemaah haji telah mula berkumpul di kota suci Makkah menekuni amal-amal sholeh. Sebenarnya tuntutan untuk menambah amal-amal sholeh adalah kepada semua umat Islam, lebih-lebih lagi dalam 10 hari pertama bulan Dzul Hijjah ini. Hal ini dinyatakan dalam sabdaan Junjungan s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dengan darjat hasan gharib shohih di mana Junjungan s.a.w. bersabda bahawa:

  • "Tidak ada hari di mana amal sholeh dalamnya lebih dikasihi Allah dari (amal sholeh yang dikerjakan pada) hari-hari yang 10 ini (yakni 10 hari pertama bulan Dzul Hijjah)". Para sahabat bertanya: "Dan tidak juga jihad pada jalan Allah ? (yakni, adakah jihad pada jalan Allah di bulan lain dapat menandingi beramal sholeh pada 10 hari tadi ?)" Junjungan s.a.w. menjawab:- "Tidak juga berjihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjihad) dengan diri dan hartanya, lalu tidak pulang lagi dengan demikian akan sesuatu (yakni dia terbunuh syahid dengan diri dan hartanya)."

Imam at-Tirmidzi juga meriwayatkan satu hadis lain yang berdarjat hasan gharib bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

  • "Tidak ada suatu hari yang paling dikasihi Allah untuk beribadah kepadaNya melebihi hari-hari 10 Dzul Hijjah, menyamai puasa sehari daripada hari-hari tersebut (selain hari raya haji) dengan puasa setahun, dan qiyam (beribadat malam) pada setiap malam daripadanya dengan qiyam pada malam lailatul qadr."

Allahu Akbar, besarnya fadhilat. Tapi zaman kita ini, kalau dikatakan sesiapa yang beribadah malam diberi RM1000 semalam, rasa-rasanya lagi ramai yang tak tidur malam beribadah sebab nak dapat RM1000. Kebendaan telah menguasai diri kita. Ganjaran pahala yang tak nampak dek mata, sudah dianggap tidak bernilai. Sedangkan ciri-ciri orang beriman itu antaranya "beriman dengan yang ghaib". Dosa dan pahala adalah termasuk benda ghaib yang tak nampak dengan pandangan mata biasa. Ini yang membezakan kita umat beriman dengan orang-orang kafir yang hidup semata-mata mengaut keuntungan duniawi.

Dunia yang fana telah dianggap setara bahkan lebih dari akhirat yang kekal abadi, sedangkan Allah menyatakan bahawa "akhirat itu lebih utama dari dunia". Apa itu dunia ? Dunia itu jalan menuju akhirat, dunia itu ladang untuk akhirat, singkatnya dunia itu untuk akhirat. Jadi hakikatnya adalah akhirat bukan dunia.

Oleh itu hidup kita di dunia adalah untuk mencari bekalan akhirat dengan mengerjakan amal akhirat walaupun berbentuk pekerjaan duniawi. Oleh itu serba-serbi amal perbuatan kita di dunia hendaklah dijadikan ibadah, sama ada masuk dalam kategori ibadah khusus atau ibadah umum. Sembahyang jadi amal akhirat, kerana ada juga sembahyang yang hanya jadi pekerjaan dunia iaitu sembahyang kerana riya` dan sebagainya yang mana ianya bukan lagi jadi amalan akhirat walaupun bentuknya amal akhirat. Bekerja di pejabat dengan baik dan niat yang betul serta tidak melanggar peraturan syarak berupa pekerjaan dunia tetapi diberi pahala amal akhirat. Adakah kita hanya mahu hasil usaha titik peluh kita hanya diterima di dunia sahaja ? Kerja hanya dapat gaji hujung bulan sahaja ? Makan hanya dapat kenyang sahaja ? Kalau itu sahaja yang jadi tuntutan, apa bezanya kita dan kambing ? Kambing makan, kita makan; kambing tidur, kita tidur; kambing kawin, kita kawin; kambing tak sembahyang, kita pun tak sembahyang, kan confirm serupa dengan kambing walaupun tak sama bentuk. Jangan marah, mudah-mudahan kita berjaya menjadi manusia yang sempurna (insan kamil) bukan kambing yang sempurna, kerana nanti kena korban pulak kita.

Tuesday, January 3, 2006

Wuquf di Padang Arafah

Rukun Haji yang paling utama yang membezakan Haji dengan Umrah adalah berwuquf di Padang Arafah. Kenapa Padang Arafah ? Antara hikmahnya adalah memperingati pertemuan bapa dan ibu segala manusia, Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa. Padang Arafah tempat pertemuan mereka berdua setelah berpisah sekian lama sejak diturunkan dari 'syurga'. Dengan sebab pertemuan tersebut, umat manusia berkembang biak menjadi khalifah di atas muka bumi sebagaimana dikehendaki Allah ta`ala.

Maka diabadikan peristiwa ini dengan setiap tahun umat berkumpul di sana untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Sewajarnya perjumpaan di sana disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Bayangkanlah bagaimana gembira dan syukurnya Nabi Adam dan Siti Hawa yang terpisah bertahun-tahun lamanya, setelah itu berjumpa semula.

Ikhwah, mengabadikan tempat-tempat penting dan bersejarah dengan tujuan dijadikan kenangan dan i'tibar bukanlah sesuatu yang ditegah dalam syariat Islam. Lihat upacara saie antara Shafa dan Marwah, bukankah antara hikmah memperingati peristiwa Siti Hajar dengan Nabi Ismail a.s. Pensyariatan korban, antara hikmahnya memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Jadi di mana salahnya menjadi tempat-tempat bersejarah sebagai tempat ziarah yang penuh kenangan ? Kenapa tempat-tempat yang penuh sejarah Junjungan Nabi s.a.w. dimusnahkan oleh puak Wahhabi ? Kenapa mawlid Nabi, tempat kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. , rumah Siti Aminah dimusnahkan, dijadikan kandang unta, dijadikan tandas, kemudian barulah dibina sebuah perpustakaan. Bukankah dahulunya tempat tersebut menjadi saksi kelahiran manusia yang paling utama. Bukankah ini tempatnya tanggal 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah, alam malakut dan kerajaan langit terbuka luas menyambut kelahiran Junjungan semesta alam. Bukankah ulama berpendapat tempat lahir baginda ini antara tempat yang mustajab berdoa.

Mengikut sejarahnya, zaman-berzaman tempat-tempat bersejarah ini dijaga dan dipelihara oleh umat Islam. Tempat-tempat ini dijadikan tempat ziarah menghimbau kenangan silam mencari i'tibar dan keberkatan serta melepaskan kerinduan kepada kekasih Junjungan. Apabila Wahhabi menjajah, dimusnahkannya habis kerana kononnya takut manusia menjadi syirik. Kalau nak syirik, makan nasik pun boleh jadi syirik. Tapi begitulah pandangan Wahhabi terhadap sesama umat, mereka sahaja yang pandai, yang ikut sunnah, yang muwahhidun, orang lain bodoh, taklid buta, ahli bid`ah dan syirik.

Kalau Wahhabi memerintah Malaysia, habislah memorial-memorial yang ada, antaranya Memorial Tun Razak, P. Ramlee, makam - makam diraja semua kena musnah. Silap-silap kubur Kak Endon pun kena sapu. Oleh itu, nasihat hamba dengan Pak Lah, jangan naikkan anak Pak Kasim jadi Perdana Menteri. Jangan marah, nanti cepat masuk kubur, tapi masuk kubur pun bagus, baru tahu talqin tu beri manfaat atau tidak.

Sunday, January 1, 2006

Bulan Haji tiba lagi

Alhamdulillah, bertemu kita dengan bulan Dzul Hijjah. Bulan di mana umat berkumpul di Tanah Suci untuk menunaikan rukun ke-5. Haji merupakan satu ibadah yang memerlukan pengorbanan. Korban masa, korban tenaga, korban harta dalam perlaksanaannya.

Kesempatan menunaikan Haji jangan dipersiakan, ilmu hendaklah diperdalamkan agar ibadah yang dilaksanakan tepat menurut kehendak agama. Ada sesetengah beri'tiqad hendak bertaubat di Tanah Suci. Ketahuilah wahai saudara, bertaubat tidak semestinya menunggu ke Tanah Suci sana. Allah tidak bertempat. Taubat nasuha akan diterimaNya di mana sahaja kalian berada, Allah at-Tawwab,Tuhan yang Maha Menerima Taubat.

Ulama menyatakan bahawa wajib bertaubat apabila membuat dosa, bukan tunggu sampai ke Tanah Suci. Bukankah menangguh-nangguh taubat itu satu lagi dosa yang lain. Seharusnya bertaubat sebelum ke sana, itu kan lebih baik. Agar kita masuk Tanah Suci dalam keadaan suci zahir dan batin. Inilah kehendak agama. Sebab itu diadatkan sebelum ke sana diadakan kenduri wida`, yang tujuannya agar memohon doa dan restu serta minta halal dan kemaafan daripada segala sanak-saudara dan rakan taulan. Apabila zahir dan batin suci, maka pabila kita bertalbiyah akan disambut talbiyah kita itu dengan penerimaan dan kabul Rabbul Jalil.

Fahami betul-betul, jangan tunggu ke Tanah Suci baru bertaubat tidak bermakna kita tidak boleh bertaubat di sana. Hujjatul Islam al-Ghazali menyenaraikan 10 sifat mahmudah yang paling awal taubat. Ertinya taubat itu hendaklah dijadikan sifat, apa makna sifat ? Sifat ialah sesuatu yang berdiri pada zat. Ertinya orang mukmin hendaklah sentiasa bertaubat, setiap masa setiap ketika setiap tempat, bukan hanya di Tanah Suci. Kenapa ? Kerana Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.

Taa-ibuuna ila Allah.

Friday, December 23, 2005

Ziarah Haramain 2005

  • Tengah tahun ini, aku dipanggil berziarah ke maqam Junjungan s.a.w. dan BaitUllah al-Haram. Pergi bersama zawjah tercinta selama 2 minggu. Pengaruh dan sikap keras Wahhabi masih nampak walaupun tak sekeras dahulu. Di hadapan maqam Junjungan seperti dahulu juga kawalannya polis anak Pak Wahhab melarang orang menyentuh pagar-pagar maqam. Terjadi kejadian kecil apabila seorang warga Afrika yang menyentuh dan mencium pagar tersebut dihalau oleh mereka dan dikejarnya untuk diajar Islam yang sebenar, tapi aku lihat berbelit-belit jugak anak murid anak Pak Wahhab berbahas dengan orang tersebut yang rupanya seorang alim jugak.
  • Pagar maqam Junjungan s.a.w. yang asalnya tertulis di atasnya "Ya Allah Ya Muhammad" (nanti kupaparkan gambarnya) kemudian dibuang oleh Wahhabi huruf 'ya' pada Muhammad menjadi "Ya Allah, A Muhammad", kini telah dibuang terus Muhammad diganti dengan "Ya Majid". Jadi kalau ikhwah berziarah ke maqam Junjungan, yang tertulis di pagarnya kini "Ya Allah, Ya Majid". Kerana bagi anak Pak Wahhab, haram dan syirik menyeru makhluk walaupun Junjungan s.a.w. Insya-Allah, lain posting kita cerita pasal nida` dan istighatsah.
  • Kulihat jugak, pada satu binaan baru Masjid Nabawi terpahat khat indah nama-nama ulama Ahlil Bait (bukan ulama Syi`ah) seperti Imam Ja'faar ash-Shadiq, Imam Muhammad al-Baqir dan lain-lain.
  • Di Madinah aku hanya sempat tinggal 3 hari, setelah itu aku ke Makkah. Di Makkah, aku duduk - duduk jugak di halaqah ulama-ulama yang mengajar hadis di sana antara nya Syaikh Muhammad al-Makki, agak masyhur di kalangan anak bangsa kita, dari jauh terlihat olehku Ustaz Nasoha Haji Ahmad duduk mendengar sama. Pengajian hadis guna kitab "'Aunul Ma'buud". Kucari-cari jugak halaqah penyokong Wahhabi Melayu nombor wahid Syaikh Muhammad bin Abdul Qadir Mandili, tak berjumpa, dia mc kot.

  • Aku bertanya-tanya dengan anak-anak bangsa yang mukim di sana dari pelajar Syaulatiyyah dan pelajar Almarhum Buya Maliki dan kata mereka sekarang Wahhabi di sana pun sudah mulai luntur. Aku dimaklumkan juga berita sedih kewafatan Syaikh Jabir al-Yamani. Kulihat kedai-kedai kitab dan bertemu satu toko bernama Maktabah al-A-immah dekat Babus Shofa yang ada menjual kitab-kitab yang dahulunya diharamkan oleh Bin Baz. Antara yang kutemui kitab "Jawaahirul Ma`aani wa Bulughul Amaani" oleh Syaikh Ali Hiraazim al-Faasi berkenaan Syaikh Ahmad at-Tijani dan Thoriqat Tijaniyyahnya. Terkejut jugak aku kerana ianya dijual secara terbuka di kedai tersebut, kalau dahulu memang susah nak cari kitab-kitab seperti itu. Kitab-kitab fiqh Syafi`i pun ada antaranya "ar-Raudh" dan "Syarah Sirajul Wahhaj".Teringat tahun 1993, kucari Musnad Imam Syafi`i pun tak berjumpa. Kutemui juga beberapa karangan Buya Maliki di kedai tersebut yang sudah kumiliki. Ulama-ulama sunni masih ada di sana, tetapi mereka tidak menonjolkan diri kerana khumul dan tawadhu, dan malas nak berjidal dengan orang yang tak bertelinga. Halaqah ilmu di luar Masjidil Haram masih ada antaranya yang dikendalikan oleh cucu Habib Hasan al-Fad`aq (dahulunya Imam Syafi`i di Masjidil Haram).

  • Di Makkah, hampir setiap waktu ada sahaja jenazah disembahyangkan. Aku berdiri bersama jemaah lain untuk menyembahyangkan jenazah. Isteriku yang sebelum itu tak pernah sembahyang jenazah pun sembahyang jugak. Aku sembahyang mengikut apa yang dipelajari dan diamalkan oleh orang-orang kita, dengan 2 kali salam. Satu hari isteriku ditegur oleh seorang wanita Arab yang mengatakan bahawa cara sembahyang jenazah isteriku salah kerana salamnya hanya sekali sahaja bukan dua kali. Isteriku bertanya kepadaku berhubung hal tersebut, aku menyuruhnya agar tidak memperdulikan teguran tersebut dan terus ikut cara mazhab kita. Akhirnya sehari sebelum balik aku turut ditegur oleh seorang pemuda Arab yang mengajarkan aku bahawa salam itu hanya satu kali bukan dua kerana hadis kata satu kali. Kelemahanku di depan BaitUllah, aku menjawab tegurannya dengan mengatakan bahawa aku pengikut mazhab Syafi`i dan dalam mazhabku salamnya 2 kali, satu wajib dan satu sunnat seperti sholat-sholat lain. Dia membahasku dengan mengatakan hadis kata satu, aku jawab bahawa aku datang dari jauh bukan untuk mujadalah depan BaitUllah, kuanjurkannya agar dia mencari "Majmuk" Imam an-Nawawi dan mentelaah bab jenazah. Ini kerana rata-rata kedai kitab di sana menjual "Riyadhus-Sholihin" agaknya mereka hanya kenal Imam an-Nawawi sebagai seorang muhaddis dan tak tahu yang beliau adalah faqih Syafi`i yang besar. Ku jelaskan kepadanya agar jangan cepat menyalahkan orang kerana ikhtilaf ulama itu rahmat.

Mudah-mudahan ziarah maqbulah dan umrah mabrurah.

Rabbana taqabbal minna bi sirril Fatihah.

Saturday, December 3, 2005

Wahhabi lagi

  • Mazhab Wahhabi sering menimbulkan kontroversi berhubung dengan asal-usul dan kemunculannya dalam dunia Islam. Umat Islam umumnya terkeliru dengan mereka kerana mereka mendakwa mazhab mereka menuruti pemikiran Ahmad ibn Hanbal dan alirannya, al-Hanbaliyyah atau al-Hanabilah yang merupakan salah sebuah mazhab dalam Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
  • Nama Wahhabi atau al-Wahhabiyyah kelihatan dihubungkan kepada nama `Abdul Wahhab iaitu bapa kepada pengasasnya, Syaikh Muhammad bin `Abdul Wahhab an-Najdi. Ia tidak dinamakan al-Muhammadiyyah yang mungkin boleh dikaitkan dengan nama Muhammad bin `Abd al-Wahhab bertujuan untuk mengelakkan persamaan di antara para pengikut Nabi Muhammad (s.a.w) dengan mereka, dan juga bertujuan untuk menghalang sebarang bentuk eksploitasi (istighlal). Bagaimanapun, nama Wahhabi dikatakan ditolak oleh para penganut Wahhabi sendiri dan mereka menggelarkan diri mereka sebagai golongan al-Muwahhidun (unitarians) kerana mereka mendakwa ingin mengembalikan ajaran-ajaran tawhid ke dalam Islam dan kehidupan murni menurut sunnah Rasulullah.
  • Mazhab Wahhabi pada zaman moden ini tidak lain dan tidak bukan, adalah golongan al-Hasyawiyyah kerana kepercayaan-kepercayaan dan pendapat-pendapat mereka seratus peratus sama dengan golongan yang dikenali sebagai al-Hasyawiyyah pada abad-abad yang awal.
  • Latar belakang Pengasas Mazhab Wahhabi Muhammad bin `Abdul Wahhab dilahirkan di perkampungan `Uyainah, salah sebuah kampung dalam Najd di bahagian selatan pada tahun 1115H/1703M. Bapanya, `Abdul Wahhab merupakan seorang Qadi di sini. Muhammad dikatakan pernah mempelajari bidang fiqh al-Hanbali dengan bapanya, yang juga adalah salah seorang tokoh ulama al-Hanabilah. Pada zaman remajanya, Muhammad selalu memperendah-rendahkan syiar agama yang biasanya dipegang oleh penduduk Najd, bukan sahaja di Najd bahkan sehingga sejauh Madinah selepas dia kembali daripada menunaikan haji. Dia sering mengada-adakan perubahan dalam pendapat dan pemikiran di dalam majlis-majlis agama, dan dia dikatakan tidak suka kepada orang yang bertawassul kepada Nabi (s.a.w) di tempat kelahiran (marqad) baginda yang suci itu. Kehidupannya selama beberapa tahun dihabiskan dengan mengembara dan berdagang di kota-kota Basrah, Baghdad, Iran, India dan Damsyik. Di Damsyik, dia dikatakan telah menemui kitab-kitab karangan Ibn Taimiyyah al-Harrani (m.728H/1328M) yang mengandungi ajaran-ajaran yang berunsur kontroversi berbanding dengan Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Dia kembali ke Najd dan kemudian berpindah ke Basrah. Dalam perjalanannya ke Syam, di Basrah dia berjaya memenuhi matlamatnya menegah orang ramai daripada melakukan syiar agama mereka dan menghalang mereka daripada perbuatan tersebut. Justeru itu penduduk Basrah bangkit menentangnya, dan menyingkirkannya daripada perkampungan mereka. Akhirnya dia melarikan diri ke kota al-Zabir. Muhammad bin `Abd al-Wahhab berazam untuk ke Syam tetapi dia tidak mempunyai harta dan bekalan yang mencukupi, lalu bermusafir ke al-Ahsa' dan dari situ, terus ke Huraymilah (dalam kawasan Najd) juga.
  • Pada tahun 1139H/1726M, bapanya berpindah dari `Uyainah ke Huraymilah dan dia ikut serta dengan bapanya dan belajar dengannya tetapi masih meneruskan tentangannya yang kuat terhadap amalan-amalan agama di Najd, yang menyebabkan berlakunya pertentangan dan perselisihan yang berkecamuk di antaranya dan bapanya di satu pihak dan, di antaranya dengan penduduk-penduduk Najd di pihak yang lain. Keadaan tersebut terus berkekalan sehingga ke tahun 1153H/1740M apabila bapanya meninggal dunia. Sejak dari itu, Muhammad tidak lagi terikat. Dia telah mengemukakan akidah-akidahnya yang sesat, menolak dan mengenepikan amalan-amalan agama yang dilakukan serta menyeru mereka menyertai kumpulannya. Sebahagian tertipu manakala sebahagian lagi meninggalkannya hingga dia mengisytiharkan kekuasaannya di Madinah.
  • Muhammad kembali ke `Uyainah yang diperintah oleh `Uthman bin Hamad yang menerima dan memuliakannya dan berlakulah ketetapan di antara mereka berdua bahawa setiap seorang hendaklah mempertahankan yang lain dengan seorang memegang kekuasaan dalam perundangan Islam (al-tasyri`) dan seorang lagi dalam pemerintahan. Pemerintah `Uyainah mendokong Muhammad dengan kekuatan dan Muhammad bin `Abdul Wahhab pula menyeru manusia mentaati pemerintah dan para pengikutnya.
  • Berita telah sampai kepada pemerintah al-Ahsa` bahawa Muhammad bin `Abdul Wahhab mendakyahkan pendapat dan bid`ahnya, manakala pemerintah `Uyainah pula menyokongnya. Beliau telah memerintahkan supaya suatu risalah peringatan dan ancaman dihantar kepada pemerintah `Uyainah. Pemerintah `Uyainah telah memanggil Muhammad dan memberitahunya bahawa dia enggan membantunya. Ibn `Abdul Wahhab berkata kepadanya: "Sekiranya engkau membantuku dalam dakwah ini, engkau akan menguasai seluruh Najd." Pemerintah tersebut menyingkirkannya dan memerintahkannya meninggalkan `Uyainah dengan cara mengusirnya pada tahun 1160H/1747M.
  • Pada tahun itu, Muhammad keluar dari `Uyainah ke Dar`iyyah di Najd yang diperintah oleh Muhammad bin Sa`ud (m.1179H/1765M) yang kemudian menziarahi, memuliakan dan menjanjikan kebaikan kepadanya. Sebagai balasannya, Ibn `Abdul Wahhab memberikan khabar gembira kepadanya dengan jaminan penguasaan Najd keseluruhannya. Dengan cara itu, suatu ketetapan dimeterai. Penduduk Dar`iyyah mendokongnya sehingga akhirnya Muhammad ibn `Abdul Wahhab dan Muhammad bin Sa`ud memeterai perjanjian atau memorandum persefahaman (`aqd al-Ittifaqiyyah). Ibn Basyr al-Najdi yang dipetik oleh al-Alusi mengatakan: " Penduduk Dar`iyyah pada masa itu dalam keadaan sangat menderita dan kepayahan, mereka lalu berusaha untuk memenuhi kehidupan mereka ... Aku lihat kesempitan hidup mereka pada kali pertama tetapi kemudian aku lihat al-Dar`iyyah selepas itu - pada zaman Sa`ud, penduduknya memiliki harta yang banyak dan senjata disaluti emas, perak, kuda yang baik, para bangsawan, pakaian mewah dan lain-lain lagi daripada sumber-sumber kekayaan sehinggakan lidah kelu untuk berkata-kata dan gambaran secara terperinci tidak mampu dihuraikan." " Aku lihat tempat orang ramai pada hari itu, di tempat dikenali al-Batin - aku lihat kumpulan lelaki di satu pihak dan wanita di satu pihak lagi, aku lihat emas, perak, senjata, unta, kuda, pakaian mewah dan semua makanan tidak mungkin dapat digambarkan dan tempat itu pula sejauh mata memandang, aku dengar hiruk-pikuk suara-suara penjual dan pembeli ..." Harta yang banyak itu tidak diketahui datang dari mana, dan Ibn Basyr al-Najdi sendiri tidak mendedahkan sumber harta kekayaan yang banyak itu tetapi berdasarkan fakta-fakta sejarah, Ibn `Abdul Wahhab memperolehinya daripada serangan dan serbuan yang dilakukannya bersama-sama para pengikutnya terhadap kabilah-kabilah dan kota-kota yang kemudian meninggalkannya untuknya. Ibn `Abdul Wahhab merampas harta kekayaan itu dan membahagi-bahagikannya kepada penduduk Dar`iyyah. Ibn `Abdul Wahhab mengikuti kaedah khusus dalam pembahagian harta rampasan daripada umat Islam yang meninggalkannya. Ada ketikanya, dia membahagikannya di antara 2 atau 3 orang pengikutnya. Amir Najd menerima habuannya daripada ghanimah itu dengan persetujuan Muhammad bin `Abdul Wahhab sendiri. Ibn `Abdul Wahhab melakukan mu`amalah yang buruk dengan umat Islam yang tidak tunduk kepada hawa nafsu dan pendapatnya seumpama mu`amalah kafir harbi dan dia menghalalkan harta mereka.
  • Ringkasnya, Muhammad ibn `Abdul Wahhab kelihatan menyeru kepada agama Tawhid tetapi tawhid sesat ciptaannya sendiri, dan bukannya tawhid menurut seruan al-Qur`an dan al-Hadith. Sesiapa yang tunduk (kepada tawhidnya) akan terpelihara diri dan hartanya dan sesiapa yang enggan pula dianggap kafir harbi (yang perlu diperangi) sama ada darah dan hartanya. Di atas alasan inilah, golongan Wahhabi menguasai medan peperangan di Najd dan kawasan-kawasan di luarnya seperti Yaman, Hijaz, sekitar Syria dan `Iraq. Mereka mengaut keuntungan yang berlimpah daripada kota-kota yang mereka kuasai mengikut kemahuan dan kehendak mereka, dan jika mereka boleh menghimpunkan kawasan-kawasan itu ke dalam kekuasaan dan kehendak mereka, mereka akan lakukan semua itu, tetapi jika sebaliknya mereka hanya memadai dengan merampas harta kekayaan sahaja. Muhammad memerintahkan orang-orang yang cenderung mengikuti dakwahnya supaya memberikan bai`ah dan orang-orang yang enggan wajib dibunuh dan dibahagi-bahagikan hartanya. Oleh kerana itu, dalam proses membuang dan mengasingkan penduduk kampung di sekitar al-Ahsa` untuk mendapatkan bai`ah itu, mereka telah menyerang dan membunuh 300 orang dan merampas harta-harta mereka. Akhirnya Muhammad meninggal dunia pada tahun 1206H/1791M tetapi para pengikutnya telah meneruskan mazhabnya dan menghidupkan bid`ah dan kesesatannya kembali.
  • Pada tahun 1216H/1801M, al-Amir Sa`ud al-Wahhabi mempersiapkan tentera yang besar terdiri daripada 20,000 orang dan melakukan serangan ganas ke atas kota Karbala` di `Iraq. Tentera Wahhabi mengepung dan memasuki kota itu dengan melakukan pembunuhan, rampasan, runtuhan dan kebinasaan. Puak Wahhabi telah melakukan keganasan dan kekejaman di kota Karbala` dengan jenayah yang tidak mengenal batas perikemanusiaan dan tidak mungkin dapat dibayangkan. Mereka telah membunuh 5000 orang Islam atau bahkan lebih lagi. Apabila al-Amir Sa`ud menyudahi perbuatan keji dan kejamnya di sana, dia merampas khazanah harem al-Imam al-Husayn bin `Ali (r.a.) yang banyak dengan harta, perhiasan dan hadiah yang dikurniakan oleh raja, pemerintah dan lain-lain kepada maqam suci ini. Selepas melakukan keganasan yang cukup menjijikkan ini, dia kemudian menakluki Karbala` untuk dirinya sehingga para penyair menyusun qasidah-qasidah penuh dengan rintihan, keluhan dan dukacita mereka. Puak Wahhabi mengambil masa selama 12 tahun membuat serangan ke atas kota Karbala` dan kawasan sekitarnya, termasuk Najaf. Mereka kembali sebagai perampas, penyamun dan pencuri dengan memulainya pada tahun 1216H/1801M.
  • Jelaslah, bahawa tawhid yang diserukan oleh Muhammad bin `Abdul Wahhab dan jemaahnya adalah dengan mengharuskan darah dan harta orang yang mengingkari dakwah mereka, juga menerima kata-kata atau akidah-akidah mereka bahawa Allah berjisim, mempunyai anggota tubuh badan dan sebagainya.
  • Dapat dilihat dalam kitab al-Radd `ala al-Akhna’i oleh Ibn Taimiyyah bahawa dia menganggap hadith-hadith yang diriwayatkan tentang kelebihan ziarah Rasulullah (s.a.w) sebagai hadith mawdu` (palsu). Dia juga turut menjelaskan "orang yang berpegang kepada akidah bahawa Nabi masih hidup walaupun sesudah mati seperti kehidupannya semasa baginda masih hidup, dia telah melakukan dosa yang besar". Inilah juga yang diiktiqadkan oleh Muhammad bin `Abdul Wahhab dan para pengikutnya, bahkan mereka menambahkan pemalsuan dan kebatilan Ibn Taimiyyah tersebut.
  • Para pengikut akidah Wahhabi yang batil memberikan tanggapan kepada para pengkaji yang melakukan penyelidikan mengenai Islam - menerusi pemerhatian dan penelitian kepada kitab-kitab mereka dan mengenali Islam menerusi bahan-bahan cetakan mereka sendiri - hingga menyebabkan mereka akhirnya beranggapan bahawa Islam adalah agama yang kaku, beku, terbatas dan tidak dapat dimanfaatkan pada setiap masa dan zaman.
  • Para ulama al-Hanbali memberontak terhadap Muhammad bin `Abdul Wahhab dan mengeluarkan hukum bahawa akidahnya adalah sesat, menyeleweng dan batil sejak dari mula lagi. Tokoh pertama yang mengisytiharkan penentangan terhadapnya adalah bapanya sendiri, al-Syaikh `Abdul Wahhab, diikuti oleh saudaranya, al-Syaikh Sulayman. Kedua-duanya adalah daripada mazhab al-Hanabilah. Al-Syaikh Sulayman menulis kitab yang bertajuk al-Sawa`iq al-Ilahiyyah fi al-Radd `ala al-Wahhabiyyah untuk menentang dan menghentamnya. Di samping itu tentangan juga dihadapkan kepadanya oleh sepupunya, `Abdullah bin Husayn. Mufti Makkah, Syaikhul Islam, Sayyid Zaini Dahlan mengatakan: "`Abdul Wahhab, bapa kepada al-Syaikh Muhammad adalah seorang yang salih dan merupakan seorang tokoh ahli ilmu, begitulah juga dengan al-Syaikh Sulayman. Al-Syaikh `Abdul Wahhab dan al-Syaikh Sulayman, kedua-duanya dari awal lagi iaitu pada ketika Muhammad mengikuti pengajarannya di Madinah al-Munawwarah telah mengetahui pendapat dan pemikiran Muhammad yang meragukan. Kedua-duanya telah mengkritik dan mencela pendapatnya dan mereka berdua turut memperingatkan orang ramai mengenai bahayanya pemikiran Muhammad." Dalam keterangan Sayyid Zaini Dahlan yang lain dikatakan bahawa "bapanya `Abdul Wahhab, saudaranya Sulayman dan guru-gurunya telah dapat mengesani tanda-tanda penyelewengan agama (ilhad) dalam dirinya yang didasarkan kepada perkataan, perbuatan dan tentangan Muhammad terhadap banyak persoalan agama."
  • `Abbas Mahmud al-`Aqqad al-Misri mengatakan: "Orang yang paling kuat menentang al-Syaikh dalam persoalan ini adalah saudaranya, al-Syaikh Sulayman, penulis kitab al-Sawa`iq al-Ilahiyyah. Beliau tidak mengiktiraf saudaranya itu mencapai kedudukan berijtihad dan berkemampuan memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Al-Syaikh Sulayman berpendapat bahawa para Imam yang lalu, generasi demi generasi tidak pernah mengkafirkan ashab bid`ah, dalam hal ini tidak pernah timbul persoalan kufur sehingga timbulnya ketetapan mewajibkan mereka memisahkan diri daripadanya dan sehingga diharuskan pula memeranginya kerana alasan tersebut." Syaikh Sulayman berkata lagi bahawa: "Sesungguhnya perkara-perkara itu berlaku sebelum zaman Imam Ahmad bin Hanbal iaitu pada zaman para Imam Islam, dia mengingkarinya manakala ada di antara mereka pula mengingkarinya, keadaan itu berterusan sehingga dunia Islam meluas. Semua perbuatan itu dilakukan orang-orang yang kamu kafirkan mereka kerananya, dan tiada seorang pun daripada para Imam Islam yang menceritakan bahawa mereka mengkafirkan (seseorang) dengan sebab-sebab tersebut. Mereka tidak pernah mengatakan seseorang itu murtad, dan mereka juga tidak pernah menyuruh berjihad menentangnya. Mereka tidak menamakan negara-negara orang Islam sebagai negara syirik dan perang sebagaimana yang kamu katakan, bahkan kamu sanggup mengkafirkan orang yang tidak kafir kerana alasan-alasan ini meskipun kamu sendiri tidak melakukannya..."
  • Jelaslah bahawa Muhammad bin `Abdul Wahhab bukan sahaja sengaja mengada-adakan bid`ah dalam pendapat dan pemikirannya, bahkan beberapa abad terdahulu daripadanya, pendapat dan pemikiran seperti itu telah pun didahului oleh Ibn Taimiyyah al-Harrani dan muridnya, Ibn Qayyim al-Jawzi dan tokoh-tokoh seperti mereka berdua. Ibn Taimiyyah Dia ialah Abul `Abbas bin `Abdul Halim atau lebih dikenali Ibn Taimiyyah (m.728H/1328M) termasuk dalam kalangan ulama al-Hanabilah. Pendapat dan pemikirannya bercanggah dan berlawanan dengan akidah ulama dan umat Islam pada zamannya sehingga tokoh-tokoh ulama telah mengeluarkan perisytiharan perang dan menghukumkannya fasiq dan sesat, terutama selepas akidahnya yang penuh kebatilan dituliskan dan disebarkan kepada orang ramai.
  • Penentangan terhadap Ibn Taimiyyah dilakukan menerusi dua cara: (1) Penulisan kitab-kitab dan tulisan-tulisan yang menjawab dan menyangkal pendapat dan pemikirannya yang batil berdasarkan pandangan al-Qur'an dan al-Hadith. Contohnya: a) Taqiyuddin as-Subki dengan kitabnya, Syifa' al-Saqam fi Ziyarah Sayyidil Anam; b) As-Subki dengan kitabnya, ad-Durrah al-Mudi'ah fi al-Radd `ala Ibn Taimiyyah; c) Taqiyuddin Abi `Abdillah al-Akhna`i, Qadi al-Qudat al-Malikiyyah; d) Fakhr bin Muhammad al-Qarsyi, Najm al-Muhtadi wa Rajm al-Mutadi; e) Taqiyuddin al-Hasani, Daf` al-Syubhah. Semua tokoh yang disebutkan di atas menolak pendapat dan pemikiran Ibn Taimiyyah dan memperlihatkan kedangkalan serta kecetekan pendapatnya. (2) Celaan dan kritikan para ulama dan fuqaha` terhadapnya dengan mengeluarkan hukum dan fatwa tentang kefasikan dan kekufurannya, dan mereka turut memberikan peringatan tentang bid`ah dalam agama yang boleh merosakkan, yang dihasilkan daripada pemikirannya. Tokoh ulama tersebut ialah al-Badr bin Jama`ah, Qadi al-Qudat di Mesir. Umat Islam telah menulis kepadanya tentang pendapat Ibn Taimiyyah mengenai ziarah kubur Nabi (s.a.w). Qadi al-Qudat tersebut menjawab: "Ziarah Nabi adalah sunat yang dituntut. Ulama bersepakat dalam hal ini dan sesiapa yang berpendapat bahawa ziarah itu adalah haram, maka para ulama wajib mengutuknya dan menegahnya daripada mengeluarkan pendapat tersebut. Sekiranya dia enggan, maka hendaklah dipenjarakan dan diperendah-rendahkan kedudukannya sehingga umat manusia tidak mengikutinya lagi." Bukan Qadi asy-Syafi`iyyah di Mesir sahaja yang mengeluarkan fatwa ini, bahkan Qadi al-Malikiyyah dan al-Hanbaliyyah turut sama mendakwa kefasikan Ibn Taimiyyah dan menghukumkannya sebagai sesat dan menyeleweng.
  • Az-Dhzahabi, salah seorang ulama abad ke-8H/14M, tokoh sezaman dengan Ibn Taimiyyah telah menulis sebuah risalah kepadanya, dengan menegahnya daripada mengeluarkan pendapat tersebut ... dan beliau menyamakannya dengan al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi dari segi kesesatan dan kejahatan.
  • Ibn Taimiyyah meninggal dunia pada tahun 728H/1328M di dalam penjara al-Syam. Ibn al-Qayyim cuba menyambung dan meneruskan usaha gurunya, tetapi tidak berjaya. Dengan kematian Ibn Taimiyyah, segala pendapat dan pemikirannya juga turut mengalami kematian, dan umat Islam terlepas daripada bid`ah dan kesesatannya. Kemudian Muhammad bin `Abdul Wahhab datang dengan membawa pemikiran Ibn Taimiyyah dan bersekongkol pula dengan keluarga Sa`ud yang saling menyokong di antara seorang dengan yang lain dari segi pemerintahan dan keislaman. Di Najd, kesesatan telah tersebar dan fahaman al-Wahhabiyyah merebak ke seluruh pelusuk tempat seumpama kanser (al-saratan) dalam tubuh badan manusia. Dia menipu kebanyakan umat manusia dan menubuhkan sebuah pertubuhan ataupun dengan kata-kata lain, mazhab atas nama Tawhid dengan menjatuhkan hukuman ke atas Ahl al-Tawhid, menumpahkan darah umat Islam atas alasan jihad menentang golongan musyrikin hingga menyebabkan beribu-ribu orang manusia, lelaki dan wanita, kecil dan besar menjadi mangsa bid`ah mereka yang sesat. Ia turut sama menyebabkan perselisihan (khilaf) yang sempit semakin membesar dan menjadi-jadi di kalangan umat Islam dan dengan cara itu, mazhab yang baru ini dihubungkan dengan mazhab-mazhab yang banyak itu.
  • Musibah itu akhirnya sampai ke kemuncaknya dengan jatuhnya dua buah kota suci, Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah. Penduduk Najd bermazhab Wahhabi memperolehi bantuan dan pertolongan Britain yang ingin melihat perpecahan negara Islam kepada negara-negara yang lebih kecil dari segi kedudukan geografi. Mereka dengan secara sengaja berusaha menghapuskan segala kesan dan tinggalan Islam di kota-kota Makkah dan Madinah dengan memusnahkan kubur para wali (awliya`) Allah, mencemarkan kehormatan kerabat Rasulullah (Al Rasulillah) dan lain-lain dengan perbuatan-perbuatan jenayah dan dosa untuk mengoncangkan hati dan perasaan umat Islam. Sesetengah ahli sejarah menyebutkan: "Kemunculan secara tiba-tiba mazhab Wahhabi dan sewaktu mereka memegang kekuasaan di Makkah, operasi pemusnahan secara besar-besaran telah dilakukan oleh mereka dengan memusnahkan pertamanya, apa sahaja yang ada di al-Mu`alla, sebuah kawasan perkuburan Quraisy yang terdiri daripada kubah-kubah (qubbah) yang begitu banyak, termasuklah kubah-kubah Sayyidina `Abdul Muttalib, datuk Nabi (s.a.w) dam Sayyidah Khadijah sebagaimana yang telah mereka lakukan kepada kubah-kubah tempat kelahiran Nabi (s.a.w), Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina `Ali. Mereka juga turut memusnahkan kubah zamzam dan kubah-kubah lain di sekitar Ka`bah, seterusnya diikuti oleh kawasan-kawasan lain yang mempunyai kesan dan tinggalan orang-orang salih. Semasa mereka melakukan pemusnahan itu, mereka membuang kekotoran sambil memukul gendang (al-tubul) dan menyanyi dengan mengeluarkan kata-kata mencaci dan menghina kubur-kubur ... sehingga dikatakan sebahagian daripada mereka sanggup kencing di atas kubur-kubur para salihin tersebut."
  • Rasulullah (s.a.w) juga bersabda: "Apabila bid`ah timbul dan orang-orang yang terkemudian daripada umat ini melaknat orang-orang yang terdahulu, maka barang siapa yang memiliki keilmuan, maka hendaklah menyampaikannya. Sesungguhnya orang yang menyembunyikan keilmuannya pada hari itu seumpama orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan Allah kepada Muhammad." Para Siddiqin daripada kaum kerabat Rasulullah (s.a.w) mengatakan bahawa: "Apabila bid`ah lahir, maka orang alim hendaklah menzahirkan keilmuannya, sekiranya dia tidak berbuat demikian, cahaya keimanan (Nur al-Iman) akan hilang."
  • Atas dasar inilah, para ulama telah bersama-sama bangkit menentang serangan mazhab Wahhabi. Mereka telah menulis, menerbitkan kitab-kitab dan menjelaskan keburukan dan kejahatan tokoh-tokoh Wahhabi yang berusaha untuk merealitikan cita-cita dan harapan Britain menerusi bentuk baru. Kitab pertama yang ditulis untuk menolak dan menentang fahaman Muhammad ibn `Abd al-Wahhab ialah al-Sawa`iq al-Ilahiyyah fi al-Radd `ala al-Wahhabiyyah yang ditulis oleh al-Syaikh Sulayman, iaitu saudara kepada Muhammad sendiri. Selepas itu, kitab-kitab lain mulai menyusul satu demi satu dengan menolak dan mengkritik pemikiran Muhammad ibn `Abdul Wahhab dari perspektif yang lain sehingga ke hari ini. Pada zaman itu, golongan Wahhabi telah meningkatkan serangan mereka yang merosakkan dan berbahaya terhadap Islam dan umatnya menerusi penentangan dan peperangan yang didalangi oleh keluarga Sa`ud dengan bantuan daripada hasil keuntungan petrol mereka. Pemerintahan kesultanan Sa`udi telah memperuntukkan sejumlah besar hasil keuntungan petrol mereka untuk menyebarkan dan mengembangkan mazhab dokongan Britain ini di kalangan orang Islam. Kalaulah tidak kerana kekayaan yang besar itu tentulah mazhab Wahhabi tidak akan dapat bertahan sehingga ke hari ini.
  • Kelihatan bahawa unsur-unsur penjajahan (al-isti'mar) Britain begitu jelas menerusi mazhab tersebut dan mereka mengambilnya sebagai cara yang terbaik untuk mewujudkan perpecahan, pertelagahan, persengketaan, permusuhan, perselisihan dan pertentangan di kalangan umat Islam sendiri. Mazhab tersebut juga turut memperkuatkan dan memperkukuhkan matlamat penjajahan Britain dengan mengada-adakan fitnah di kalangan umat Islam seperti menuduh orang-orang Islam yang lain sebagai fasiq dan kafir. Umat Islam yang tidak prihatin dan mempunyai pemikiran yang cetek dengan mudah diperdayakan oleh mereka sehingga akhirnya mereka sama ada secara sedar atau tidak, turut sama menyokong usaha-usaha mazhab Wahhabi dan Britain, bahkan melaksanakannya dalam kehidupan mereka menerusi perbuatan dan tindakan terhadap umat Islam lain yang disangkakan sebagai lawan-lawan mereka. Keadaan yang berlanjutan ini menyebabkan umat Islam menjadi lemah dan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam yang sebenar tetapi bertopeng dengan Islam.

Friday, December 2, 2005

Rencana Utusan Malaysia 2/12/2005

"Menyanggah Wahhabi" oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
  • Islam tidak pernah menolak amalan turun-temurun yang telah menjadi `uruf (budaya yang baik dalam masyarakat) bagi sesuatu bangsa. Justeru, di atas dasar apakah fahaman Wahhabi yang cuba menggugat amalan-amalan baik yang diamalkan dalam sesebuah masyarakat itu? Sedangkan, amalan-amalan baik yang diamalkan seperti membaca Yasin (secara beramai-ramai pada malam Jumaat) dan juga menyambut Maulidur Rasul (Maulud Nabi s.a.w) itu sebenarnya menyeru ke arah perpaduan dan mengeratkan hubungan sesama umat.
  • Sekalipun amalan-amalan tersebut dianggap sebagai bidaah, harus difahami bahawa tidak semua bidaah itu sesat. Amalan-amalan yang dinyatakan itu sebenarnya adalah termasuk dalam bidaah hasanah (bidaah yang baik). Oleh yang demikian, kita harus menerima adanya bidaah yang baik dan menolak bidaah yang buruk.
  • Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Syafie, bidaah itu ada dua, iaitu terpuji dan tercela. Apa yang sesuai dengan sunah itu, terpuji, dan apa yang tidak sesuai dengannya dianggap tercela. Demikian juga menurut Jalaluddin As-Sayuti, bahawa bidaah itu ada lima kategori iaitu, bidaah wajib, bidaah sunat, bidaah halal, bidaah haram, dan bidaah makruh.
  • Demikian juga dengan penegasan Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud:
    "Sesiapa yang memberi contoh kebaikan, maka ia mendapat pahala dan pahala orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat; dan sesiapa yang memberi contoh kejahatan, maka ia mendapat dosa dan dosa orang-orang yang meniru perbuatannya hingga hari kiamat." (Petikan Kitab Tanbihul Ghafilin halaman 13).
  • Dapat difahami daripada hadis tersebut, perkara-perkara bidaah ini bukan semata-mata hanya keburukan atau dhalalah (sesat). Sebagai contoh, masyarakat hari ini membina sekolah, membangunkan pelbagai prasarana untuk kebaikan umat seluruhnya, sedangkan semuanya tidak ada pada zaman Rasulullah s.a.w. Sedangkan, pembangunan yang dilakukan itu adalah satu bidaah yang baik kerana umat Islam mendapat manfaat di atas kemudahan-kemudahan yang dilaksanakan itu.
  • Adakah Saidina Umar melakukan bidaah dhalalah (solat tarawih 20 rakaat)? Tentulah tidak, kerana Umar ada mengatakan sebaik-baik bidaah adalah sembahyang tarawih 20 rakaat (bidaah hasanah). Malahan di Arab Saudi pun sembahyang sunat tersebut dikerjakan sebanyak 20 rakaat. Hadis di atas juga menggambarkan betapa luasnya agama Islam ini dan janganlah kita sendiri yang menyempitkan perkara yang terbuka luas itu. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Engkau cuba menyempitkan benda yang luas?
  • Hari lain dan malam lain, masyarakat susah untuk mendekati al-Quran apatah lagi untuk sekadar membaca Yasin kerana sibuk bekerja. Jika pada malam Jumaat dianggap bidaah untuk membaca Yaasin, apakah alternatif atau program agama yang lain yang boleh dicadangkan oleh mereka (Wahhabi) untuk merapatkan hubungan di kalangan masyarakat kita pada hari ini?
  • Apa yang kita lakukan ini semua merupakan satu alternatif mengerjakan amalan baik dan beroleh pahala (bidaah hasanah). Sikap keterbukaan Rasulullah s.a.w sendiri yang begitu berlapang dada bukan sahaja dengan orang Islam tetapi dengan musuhnya orang Yahudi ketika baginda berhijrah ke Madinah merupakan sikap paling berharga untuk kita teladani.
  • Baginda menerima amalan baik yang dilakukan oleh orang Yahudi. Baginda ikut berpuasa pada hari 10 Muharam, malah sabda Baginda yang bermaksud: "Aku lebih berhak dari kamu. Oleh itu, aku akan berpuasa bukan sahaja pada 10 Muharam malah pada hari 9 Muharam." Oleh sebab itu ia disunatkan sampai hari ini dan banyak diamalkan oleh masyarakat kita.
  • Kesemua amalan yang dilakukan pada hari ini mempunyai asas yang kukuh sama ada secara umum atau khusus mahupun menerusi lafaz atau isyarat secara `harfi' atau `mafhum'.

  • Kepercayaan

  • Diharuskan bertawassul dengan Nabi dan orang-orang soleh kecuali amalan tawassul itu menggunakan patung berhala, kubur atau bomoh yang sudah pasti tidak diterima oleh Allah. Sebenarnya, kepercayaan yang tidak membenarkan syafaat dan tawassul ini sesuai dengan umat yang baru menemui cahaya tauhid, takut-takut mereka kembali mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain sedangkan kita tahu dan yakin bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan yang memberi dan menegah, menyakiti dan menyembuhkan. Inilah ketetapan Allah dan tiada bagi ketetapan Allah itu berlakunya perubahan dan pertukaran. Ini adalah hukum alam, sama juga halnya dengan hubungan peraturan dalam agama. Inilah ajaran yang kita anuti sejak turun-temurun.
  • Kalau semuanya ini adalah bidaah, maka tidak perlulah kita pergi berjumpa doktor, tidak perlu berkereta dan tidak perlu ke sekolah atau ke pusat pengajian tinggi kerana semuanya adalah bidaah.
  • Apa yang kita amalkan itu bertujuan merapatkan hubungan kemesraan dan tali silaturrahim serta mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat. Jangan kita menyempitkan kefahaman dalam ruang yang jumud dan sempit mengenai Islam. Tidakkah kita selalu mendengar pada setiap hari Jumaat, khatib membacakan firman Allah yang bermaksud: Allah menyuruh kita berlaku adil dan cemerlang dalam semua keadaan (An-Nahl: 90).
    Dalam sebuah kisah, diceritakan seorang ulama dari Mesir telah pergi ke Eropah. Apabila ditanya oleh seorang paderi; "Adakah dalam al-Quran mengandungi ilmu membuat roti atau tidak?", Maka, ulama itu menjawab, "Ada". Lalu, dibacanya ayat Quran yang bermaksud: Tanyalah ahli ilmu pengetahuan sekiranya kamu tidak mengetahui. (surah An-Nahl; ayat 43)
  • Demikian halnya, Allah mengarahkan kita berlaku adil, cemerlang dalam segala keadaan. Maka, semua kebaikan sama ada dalam rumah tangga, masyarakat dan negara perlu kita pertahankan. Kalau kita mencari hadis yang menyuruh umat menyambut Maulidur Rasul, maka kita tidak akan terjumpa secara terang dan khusus tetapi dapat ditemui secara mafhum dan umum.
  • Jika pahala amalan orang lain tidak boleh diniat hadiah pahalanya kepada orang lain, maka semua amalan tidak terpakai dengan niat. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Segala amalan dikira mengikut niat dan bagi seseorang itu apa yang diniatkannya." Sedangkan fahaman Wahhabi menegakkan bahawa pahala doa hanya akan sampai kepada ahli keluarga sahaja.
  • Fahaman seperti ini memang tidak sesuai di Nusantara. Oleh sebab itu, kita menjemput para jemaah untuk meramaikan sembahyang jenazah tanpa mengira siapa, keluarga ataupun tidak. Itu pun semuanya dengan izin Allah jua akan kemakbulan doa dan pahala yang diperoleh si mati.
  • Oleh yang demikian, Islam menganjurkan amalan menolong keluarga yang dalam kesedihan akibat kematian. Amalan tersebut berupaya merapatkan lagi silaturahim dan kasih sayang di kalangan masyarakat selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kita percaya semua amalan itu ada asas dan hujah agamanya, bukan sesuatu yang direka-reka sesuka hati atau mengikut hawa nafsu sahaja.
  • Kita sebenarnya tidak ada masa untuk berkelahi kerana agenda kita belum selesai, iaitu perpaduan umat Islam seluruhnya dan keamanan sejagat. Penulis percaya apabila kita bersatu, tenteram dan aman makmur, musuh-musuh kita akan merana dan berasa tidak senang hati. Allah berfirman yang bermaksud: Jangan berkelahi (berselisih), kamu akan kecewa dan hilang kehebatan kamu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama-sama mereka yang sabar. ( Surah al-Anfal, ayat 46)


  • [MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).]

Ikhwah, setelah dikeluar dalam paper oleh Tokoh Ma`al Hijrah dan beberapa tokoh lain, barulah ramai yang berani bersuara menyanggah fahaman Wahhabi, alhamdulillah. Kesian Dr. Uthman al-Muhammady, teruk dihentam oleh geng-geng Wahhabi dalam internet, sampai cerita pribadi pun diselongkar, entah benar entah tidak. Dr. Uthman bukan malaikat, bukan orang suci yang ma'sum, sebagai manusia memang ada salah silapnya, tetapi apa yang diperkatakannya mengenai Wahhabi dan bahayanya itu adalah terang nyata benar. Dr. Uthman hanya menyampaikan amanah ilmu yang sebelum ini dibawa oleh ulama-ulama terdahulu yang mengalami sendiri serta berhadapan dengan mehnah Wahhabi seperti Syaikh Sulaiman bin Abdul Wahhab, abang kandung Muhammad bin Abdul Wahhab guru utama atau mahaguru Wahhabi, Syaikh Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Syafi`i Makkah, Habib Alwi al-Haddad dan ramai lagi ulama kita yang telah menerangkan bahaya dan kesesatan puak Wahhabi ini. Insya-Allah, nanti kita cuba kemukakan apa yang ditulis oleh ulama-ulama ini. Aku pernah diceritakan oleh seorang Ustaz lulusan al-Azhar, kalau kusebut namanya pasti kalian kenal. Ustaz kelahiran Pulau Jawa yang sudah dalam usia 50-an ini menceritakan bahawa sewaktu Wahhabi menyerang Kota Taif, datuknya berada di sana. Datuknya menceritakan bahawa Wahhabi telah menembak orang-orang yang sedang sholat Subuh di dalam masjid termasuklah datuk ustaz tersebut. Nasib baik datuknya tidak kena tembakan dan untuk menyelamatkan dirinya dia telah menumbangkan dirinya serta mendiamkan dirinya pura-pura mati, sehinggalah puak Wahhabi tersebut meninggalkan masjid. Setelah mereka pergi, datuknya telah berjalan kaki melarikan diri ke Jeddah untuk pulang ke tanah Jawa. Aku cukup kenal dengan Ustaz tersebut dan aku yakin dia tidak berbohong. Ingat, Wahhabi dan Syiah akan menindas bahkan membunuh kita apabila mereka berkuasa. Oleh itu, jagalah keluarga kita, kampung kita, masyarakat kita daripada dakyah Wahhabi. Karang kalau anak kita jadi Wahhabi, alamat mati kita nanti dibuatnya seperti batang pisang sahaja. Tak dak tahlil dan bacaan al-Quran.

Saturday, November 5, 2005

Sekolah Ramadhan

Ikhwah, setelah menjalani mujahadah dalam bulan Ramadhan yang telah lalu, mudah-mudahan segala ibadah yang dilakukan dapat dikekalkan dalam bulan-bulan lain. Berhati-hati jangan sampai tergolong dalam golongan ahli ibadat yang tertipu. Ramai yang rajin berjemaah tarawih, tetapi sholat fardhunya tidak dihiraukan perlaksanaannya atau jemaahnya. Sedangkan berjemaah sholat fardhu itu lebih utama dari berjemaah sholat sunnat. Harap, setelah menjalani sekolah Ramadhan, dapat dikekalkan sholat berjemaah dan lain-lain ibadah. Harap permohonan kita sepanjang bulan tersebut diterima dan dimakbulkan Tuhan, ingat bahawa antara yang kita mohon bersama-sama sewaktu tarawih ialah "fid dunya zahidin wa fil akhirati raghibin" dalam dunia mohon kezuhudan dan mohon agar kepada akhirat lebih digemari. Jangan bila mati baru nak zuhud sedangkan hidup mengalahkan Fir`aun dan Haman. Allahu .... Allah.

Perang Uhud

Pada pertengahan bulan Syawwal tahun ke-3 Hijrah berlakunya Perang Uhud. Di mana umat Islam yang pada mulanya menang tertewas akibat perlanggaran sebilangan umat terhadap perintah Junjungan Nabi s.a.w. Tetapi kalah - menang di dunia bukanlah penting kerana kedua-duanya cobaan dan ujian Allah s.w.t. Kalau umat Islam kalah tidak bererti Islam salah, kalau kekufuran menang bukan bererti ianya benar. Hal ini hendaklah difahami, kemenangan hakiki adalah di akhirat nanti, negeri yang kekal abadi. Kemenangan di dunia hanya sementara, silih berganti kerana Allah nak lihat siapa hambaNya yang benar-benar tulus ikhlas kepadaNya. 70 orang sahabat Junjungan gugur syahid di medan Uhud termasuklah Singa Allah, Sayyidina Hamzah r.a. Syahid itu kemenangan hakiki, terus ke syurga dengan rahmat Ilahi. Kiyai Agung ajar anak-anak muridnya berdoa dalam sujud terakhir antara lain mohon "nashran 'adhziman" (kemenangan yang agung) yakni kemenangan di akhirat, lulus ujian dunia, selamat dari siksaan neraka, inilah kemenangan yang agung dan hakiki. Pengajaran Uhud hendaklah sentiasa di benak kita terutama sekali di zaman kita ini yang penuh ujian, di mana umat tertindas dan terhina. Teguhkan iman, teruskan perjuangan meraih ketaqwaan dan redha Ilahi. Kalah menang di dunia, bukan ukuran. Iman dan taqwa yang utama agar mendapat kemenangan sejati di negeri abadi.

Wednesday, November 2, 2005

Eid Mubarak.


Eid Mubarak. Kullu 'amm wa antum wa ahlikum bi khair. TaqabbalAllahu minna wa minkum. Hiasilah malam raya ini dengan takbir, tahmid dan sholawat atas Junjungan. Hidupkanlah malam dengan beribadah dan berdoa. Dalam hadits ada dinyatakan bahawa "Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya, nescaya dihidupkan Allah hatinya pada hari matinya segala hati." Ulama menyatakan bahawa maksudnya ialah kinayah bahawa orang itu akan mendapat kejayaan di akhirat nanti dan dia akan terpelihara dari suul khatimah. Dalam hadits juga dinyatakan bahawa "5 malam doa di dalamnya tidak akan ditolak: malam awal bulan Rajab; malam Nishfu Sya'baan; malam Jumaat dan malam 2 hari raya."
Di samping bergembira dan mensyukuri nikmat kehidupan, jangan lupa pada yang telah pergi. Hadiahkanlah sedekah, doa, istighfar, tasbih dan tahlil buat mereka.Syaikh Abdul Hamid Qudus dalam kitab "Kanzun-Najah was Surur" mukasurat 113 menyatakan antara hadiah yang elok diberi kepada mereka yang berada di sana antaranya:-
  • Sesiapa yang membaca tasbih "SubhanAllahi wa bihamdih" 100 kali pada hari raya, kemudian berdoa "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku beri pahalanya kepada ahli kubur", maka tidak tinggal seorang pun ahli kubur melainkan akan membalasnya dengan mendoakannya pada hari kiamat dengan doa: "Ya Rahim, rahmatilah hambaMu itu dan jadikanlah pahalanya syurga."

  • Sesiapa yang membaca tasbih "SubhanAllahi wa bi hamdih" 300 kali dan menghadiahkan pahalanya untuk orang Islam yang telah mati, dimasukkan Allah dalam setiap kubur mereka 1000 nur dan Allah akan menjadikan bagi si pembacanya apabila dia mati 1000 nur di kuburnya.
Ikhwah, ramai ulama kita berpesan dengan amalan-amalan ini. Mantan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id, sebut dalam "Tuhfatul Awthan"nya dan mantan Mufti Betawi, Habib Uthman bin Aqil BinYahya sebut dalam "Maslakul Akhyar"nya. Jadi sesiapa yang nak beramal, buatlah. Sesiapa yang tidak berhajat, tak mengapa. Sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diusahakannya.

Sunday, October 30, 2005

Aidil Fitri 1426

Di penghujung Ramadhan sudah kita berada, lagi 2 hari menjelanglah Aidil Fitri, hari kembali ke fitrah asal kejadian manusia. Apa dia asal fitrah manusia ? Fitrah manusia itu putih bersih diumpamakan Junjungan s.a.w. bak kain putih. Malangnya kain putih tersebut menjadi kotor akibat hawa nafsu dan godaan Iblis terkutuk. Maka ibadah dalam bulan Ramadhan, di mana Iblis dan syetan dirantai, hanya tinggal hawa nafsu manusia yang juga disuruh kekang melalui puasa dan banyak beribadah, diharap dapat membersihkan diri kembali ke fitrah asal kejadian. Mereka-mereka yang berjaya menjalani proses pembersihan ini, akan menjadi orang yang bertaqwa, orang yang bersih jiwanya daripada godaan nafsu dan syetan. Inilah orang yang berhak untuk berhari raya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka-mereka ini, aamiiin.

Saturday, October 29, 2005

Rumus Lailatul Qadar

Ini rumus sebahagian ulama bagi mencari malam al-qadar. Tersebut pada mukasurat 65 kitab "Mathla`ul Badrain" karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni bahawa sebahagian ulama termasuklah Imam al-Ghazali menyatakan diketahui malam tersebut melalui hari pertama bulan Ramadhan.
  1. Jika awal Ramadhan hari Ahad atau Rabu, maka ianya malam ke-29;
  2. Jika awal Ramadhan hari Isnin, maka ianya malam ke-21;
  3. Jika awal Ramadhan hari Selasa atau Jumaat, maka ianya malam ke-27;
  4. Jika awal Ramadhan hari Khamis, maka ianya malam ke-25;
  5. Jika awal Ramadhan hari Sabtu, maka ianya malam ke-23.

Syaikh Abul Hasan memberi komennya bahawa dia sejak baligh telah menemui malam al-Qadr tersebut melalui rumus ini. Jadi kalau ikut rumus ini, tahun ini jatuhnya malam ke-27 atau ke-29 nanti. Malam ke-27 kerana awal Ramadhan mengikut falak sebahagian ulama termasuklah Kiyai Agung jatuh hari Selasa dan malam ke-29 kerana ikut falak Pemerintah yang awal Ramadhannya hari Rabu. Allahu a'laam. Apa pun, beribadah biarlah ikhlas kerana mencari keredhaan Allah, beramal kerana Allah bukan kerana Lailatul Qadr.

Friday, October 28, 2005

Fasa ketiga

Alhamdulillah, sampai kita dalam fasa ketiga bulan yang berkat ini. Fasa "ithqun minannar" pembebasan dari api neraka. Sudahkah kita bersedia untuk dibebaskan daripada api neraka ? Apa persediaannya ? Mari kita tingkat usaha, banyakan amal, banyak i'tikaf di akhir bulan ini kerana ianya sunnah Junjungan s.a.w. Moga dapat kita raih ithqun minannar tersebut. Tak lama bulan yang mengandungi berbagai anugerah Ilahi akan meninggalkan kita, membawa bersamanya amal perbuatan kita, cara kita menyambut tetamu agung ini. Ramadhan tahun hadapan bukan Ramadhan tahun ini, oleh itu jangan persiakan umur. Biar banyak Ramadhan yang maqbul, jangan ada yang tertolak.

Friday, October 21, 2005

Badar al-Kubra

Tanggal 17 Ramadhan Tahun Kedua Hijrah, tercetusnya satu peperangan yang menjadi penentu kepada kesinambungan dakwah Islam. Inilah Perang Badar al-Kubra, di mana lebih kurang 313 pejuang Islam di bawah pimpinan Junjungan Nabi s.a.w. bertemu dengan kaum musyrikin Makkah yang jumlahnya lebih ramai dengan kelengkapan perang yang sempurna berbanding umat Islam. Para pejuang Badar ini telah dimuliakan Allah di dunia dan di akhirat.
My Ping in TotalPing.com

Total Pageviews