Pages

Showing posts with label Pelbagai. Show all posts
Showing posts with label Pelbagai. Show all posts

Thursday, August 31, 2006

Seminar Perpaduan Ummah 2006 - UIA

2 - 3 September 2006
Pusat Aktiviti Kebudayaan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Kampus Gombak.

Moh datang ramai-ramai.
Rugi kalau tak datang
Datang jangan tak datang
Datang jangan tak datang.
Antara kertaskerja yang akan dibentangkan:-
(i) Perbahasan Hadis Jariah;
(ii) Kebatilan Pembahagian Tauhid Kepada tiga (i.e. Pengajian tauhid 3 in 1);
(iii) Hukum - hakam Kubur;
(iv) Pentashihan Hadith Tawassul & Ziarah;
(v) Konsep Takwil & Tafwidh.
dll....

Sunday, August 6, 2006

Seminar Perpaduan Ummah


Seminar Perpaduan Ummah & Pemurnian Aqidah
Peringkat Kebangsaan 1427H / 2006M
1 - 2 Sya'ban 1427 / 25 - 26 Ogos 2006
Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah
Kuantan, Pahang

Friday, July 28, 2006

Menyayat Hati




Ikhwah, muka depan Utusan Malaysia semalam amat menyentuh perasaanku. Apa tidaknya bila kekejaman rejim Zionis bukan sahaja terhadap orang dewasa tetapi juga terhadap bayi dan kanak-kanak. Sampai bila kekejaman ini hendak kita biarkan? Apa daya ikhtiar kita sekarang? Mengangkat senjata? Senjata apa? Adakah hanya kerana pihak Hezbollah itu Syiah, maka kita berdiam diri sahaja bila bayi kecil yang belum mengerti apa-apa dibunuh kejam? Sunni jenis apakah kita, jika sanggup membiarkan kezaliman bermaharajalela?

Mari kita nyatakan simpati kita dengan menghulurkan apa sahaja bantuan yang termampu dan jangan lupa memanjatkan doa ke hadhrat Ilahi agar kekejaman diberhentikan dan dihapuskan dari muka bumi ini. Ulang-ulangkanlah dengan hati yang khusyu` dan khudhu` dengan penuh keinsafan dan linangan air mata, akan doa Imam al-Haddad "YA QAWIYYU YA MATIIN, IKFI SYARRADHZ-DZHOOLIMIIN" (Wahai Tuhan yang Maha Kuat, Wahai Tuhan yang Maha Teguh (kekuasaanNya), Hentikanlah kejahatan para penzalim). Juga doa beliau "ASHLAHA-ALLAHU UMUURAL MUSLIMIIN, SHORAFA-ALLAHU SYARRAL MU'DZIIN" (Moga-moga Allah memperbaiki segala urusan hal-ehwal keadaan kaum Muslimin, dan menghindarkan mereka daripada kejahatan orang-orang jahat." Ikhwah, berdoa itulah tugas pertama kita, permulaan bagi usaha lainnya.

Junjungan s.a.w. bersabda:- "Adakah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu suatu perkara yang boleh menyelamatkan kamu daripada musuh kamu dan meluaskan rezeki kamu ? (Perkara itu ialah) Kamu berdoa kepada Allah waktu siang dan malam, maka sesungguhnya doa itu senjata orang beriman (fa innad-du`aa-a silaahul mu'min)". Junjungan bersabda:- "Doa itu senjata orang beriman, tiangnya agama, cahaya langit dan bumi" Junjungan juga bersabda: "Ni'ma silaahul mu'min, ash-shabru wad du`aa' (Sebaik-baik senjata orang beriman ialah sabar dan doa)". Maka dalam berdoa, jangan tinggalkan mendoakan saudara-saudara kita yang sedang dizalimi.
Allahu Akbar .... Allahu Akbar.... Allahu Akbar ... wa Lillahil hamd.

Saturday, July 1, 2006

Hikmah Fitnah - 1


Ikhwah untuk menyejukkan keadaan yang panas dan tombo hati serta mengingatkan kita kepada jalan para ulama yang 'amilin, aku kongsikan bersama kalian kalam hikmah Maulay Arabi qds. petikan dari buku "ar-Rasaail ad-Darqaawiyyah" terjemahan dan syarahan Ustaz Muhammad bin 'Ali bin Ahmad al-Ibrahimiy. Pada mukasurat 22 Maulay 'Arabiy berkata:-
  • Asy-Syaikh al-Jalil Qaasim al-Khashaashiy r.a. berkata:- "Jangan pedulikan orang yang membuat fitnah terhadapmu, tetapi tumpukanlah perhatian kepada ALLAH. ALLAH akan menghilangkan tukang fitnah ini daripadamu, kerana bahawasanya ALLAHlah yang menggerakkan dia membuat fitnah terhadapmu untuk menguji keikhlasanmu, tetapi ramai yang tersilap dalam masalah ini." Sekiranya engkau memberi perhatian kepada orang yang berbuat fitnah terhadapmu, fitnah itu akan berterusan, dengan dosamu (akibat terlalai daripada dzikrUllah).

Ustaz Muhammad dalam notakakinya menyatakan bahawa nasihat yang sama telah diterima oleh Imam asy-Sya'raani daripada gurunya tatkala beliau mengadu kepada gurunya tentang kesakitan yang didatangkan oleh manusia terhadap dirinya. Maka gurunya menasihati beliau:-

  • Jangan sibuk dengan orang yang menyakitimu, sibuklah dengan Allah, nescaya akan dihilangkanNya tukang fitnah itu daripadamu. Sesungguhnya ramai orang yang tersilap dalam perkara ini, lalu mereka menyibukkan diri dengan orang yang menyakiti mereka. Maka berlanjutanlah kesakitan (yakni fitnah itu) beserta dosa (lalai daripada dzikrUllah). Jikalau mereka rujuk kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupi bagi mereka itu untuk menyelesaikan urusan mereka dan akan dihilangkanNya tukang-tukang fitnah itu daripada mereka.

Ikhwah, tuan-tuan guru kita mengajar agar kita sentiasa melazimi berzikir dengan hasballah dan sentiasa membaca dan menghayati ayat 44 surah al-Ghafir/al-Mu'min yang menyatakan:- ".... Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya." Agar kita sentiasa menjadikan Allah sebagai sandaran dalam kehidupan seharian. Inilah munajat penyerahan Nabi Musa a.s. setelah menjalankan usaha dakwahnya kepada kaumnya. Dan pada ayat ke-45, Allah berfirman:- "(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka Allah ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Fir`aun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya". Mudah-mudahan Allah jadikan kita orang yang ikhlas dan menjadikan kita alatNya untuk mempertahankan maruah para kekasihNya.

HasbiyAllahu wa ni'mal wakil.

Thursday, March 23, 2006

Ulama Jawi

Ikhwah, aku sekadar nak mulakan muqaddimah agar kalian dapat berfikir dan mencari serta mengenali lebih mendalam sejarah dan perjuangan serta keilmuan dan ketaqwaan Ulama Jawi. Sewaktu aku mengaji kuliah dulu, ada kawanku dari Bangkok yang terpengaruh dengan Wahhabi yang mempunyai pandangan agak sinis terhadap Ulama Jawi i.e. Ulama Fathani kerana dia beranggapan bahawa ulama-ulama kita dahulu bila gi Makkah hanya duduk mengaji dengan ulama sebangsa mereka sahaja. Aku ingat pendapat ini hanya angin lalu sahaja i.e. angin kentut lalu busuk amat baunya.

Tiba-tiba ada mamat yang suarakan pandangan yang hampir serupa seolah-olah ulama di Tanah Arab sana (tapi dia tak bagi tahu Arab mana dan zaman bila) itu lebih hebat dan lebih dapat dipercayai daripada Ulama Jawi kita terdahulu. Aku ingat mamat ni memang tak baca sejarah, dan kalau dia Melayu, Melayu tak kenang budi.

Ulama Jawi kita terdahulu bukan sekadar belajar di Tanah Arab, tetapi belajarnya mereka itu adalah perjuangan yang menempuh berbagai rintangan dan pancaroba. Waktu mereka mengaji kat Makkah dan Madinah, tak ada pun terima biasiswa Wahhabi, Tok Kenali sewaktu mengaji di Makkah berapa punya susah. Tu yang ilmu mereka berkat, jadi obor umat, bukan macam sesetengah yang mengaji tinggi tapi bila balik bawak fitnah, jadi tukang bahagi syurga dan neraka, memecahbelahkan anak bangsa atas nama Islam.

Ulama kita dahulu amat cemerlang, gemilang dan terbilang (pinjam slogan Pak Lah) dan tak hilang-hilang. Lihat Tok Syaikh Nawawi al-Bantani yang dikenali sebagai Imam Nawawi ats-Tsani (Imam Nawawi kedua) juga dikenali sebagai Sayyidul Ulama-il-Hijaz. Adakah anak-anak didiknya hanya terdiri daripada bangsa Jawi sahaja? Lihat Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau, Syaikh Abdul Hamid Kudus, ilmu dan lidahnya diakui ulama sezaman tak kira bangsa sehingga diangkat menjadi khatib dan imam kat Masjidil Haram. Lihat Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani, Tok Syaikh Daud, Syaikh Nik Mat Kecik, keilmuan mereka diakui ulama berbagai bangsa. Lihat Syaikh Ahmad Khatib Sambas yang berjaya memadu dua thariqah menjadi satu iaitu TQN (Thoriqat Qadiriyyah wan Naqsyabandiyyah).

Ulama tanah airku tercinta, Syaikh Uthman Sarawak dan anaknya Syaikh Zainuddin, ditauliah mengajar dalam Masjidil Haram depan BaitUllah. Kalau Wahhabi tak menguasai Hejaz, nescaya obor Ulama Jawi yang tetap Sunniyun Syafi`iyyun akan terus memancar dari tanah suci tersebut.

Jangan dilupa ulama Padang yang diiktiraf sebagai ahli hadis ulung bergelar Musnid Dunya, Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani. Syaikh Yasin mengaji hadis bukan setakat kat UIA sahaja (maaf bebanyak bukan nak rendahkan UIA, yang aku pelik ada Dr. yang buat Phd Hadis (thesisnya aku tak tahu pasti tajuknya) mengaji dengan muhaddits dari India kat UIA yang bermazhab Hanafi, i.e. muhaddits yang jadi tok guru ikut mazhab, tapi anak murid memandai sahaja tak nak ikut mazhab, nak ikut hadis sahaja kononnya piiiiiiirraaaaahhhhhhhhhh).

Oleh itu, harap sedara jangan terlalu buta sejarah, sehingga kaca disangka berlian dan berlian tulin dikatakan kaca. Ingat belajarlah berterima kasih, ulama-ulama inilah yang telah menerangi dunia kita rantau Jawi dengan cahaya ilmu dan taqwa. Albani, apa yang dibawaknya selain daripada fitnah dan pecah belah. Sesiapa yang anak bangsa Jawi nak ikut Albani, elok pi pindah kat Albania sana.

Wednesday, March 22, 2006

Ibnu Qayyim al-Jawziyyah 2




Nukilan daripada kitab "Senjata Syariat Pakaian Ahlus Sunnah wal Jama`ah - Memerangkan khurafat dan mubtadi`ah", susunan Ustaz Abu Zahidah Sulaiman dan Ustaz Abu Qani`ah Haji Harun bin Muhammad ash-Shomadi dan diberi taqridhz (akuan) kitab ini oleh Shohibul Fadhilah al-'Alim al-'Allamah Tuan Guru Haji 'Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husain, Pokok Sena dan Tuan Guru Haji 'Abdur Rahman bin Haji Abdullah, Merbok, Kedah.
  • Dan tuan-tuan jaga-jaga daripada kitab yang bernama "Hadyur Rasul" itu mukhtasar daripada "Hadyul 'Ibad" itu mukhtasar daripada "Zaadul Ma`aad" karangan Ibnu Qayyim al-Khariji (yang terkeluar daripada golongan Ahlus Sunnah wal Jama`ah) semuanya berasal daripada mazhab (perjalanan) Ibnu Hazmin yang dinamakan Ahludz-Dzahir yang memecahkan ijma`- ijma`....
  • Saudara-saudari yang berkemahuan sentosa dunia akhirat hendaklah berpegang kamu dengan pegangan sebagai biasa seperti yang dibawa oleh ulama yang pilihan di dalam mazhab kita kerana ulama kita itu mengambil daripada Quran al-Karim dan Hadits an-Nabawi. Maka tidaklah kamu terdorong masuk di dalam golongan fasid yang membawa kepada memecah kaum kerabat yang bersatu-padu....
  • Walhasil kami pun mengaku ada orang-orang yang boleh buat mazhabnya dengan sendirinya masa kita ini, boleh mengambil empat rubu' fiqh itu daripada Quran dan hadits sahaja, iaitulah syaithan, na`udzubillahi min dzalik. Sebagai kata Syaikh 'Abdul Wahhab Sya'raani di dalam kitabnya yang bernama "Mizan" (yakni "Mizanul Kubra") begini terjemah bunyinya:- "Maka jika mereka perbuat ia akan demikian itu (yakni menyalahi-menyalahi akan nas-nas Imam-Imam yang empat dan mencarik ia akan ijma') maka tiada ia taqlid bagi seorang daripada Imam-Imam empat dan sungguhnya ia mengikut syaithan."
  • Maka sungguhnya dari kerana kitab Hadyur Rasul ini banyak orang-orang di masa kami ini yang mengharamkan dan menyesatkan orang-orang mengikut mazhab empat dan mengharamkan ushalli dan menyesatkan talqin, ziarah kubur, kenduri arwah, berqunut Subuh, mengangkat tangan berdoa, wirid-wirid ma`asyir, bang Jumaat dua kali, sunnat qabliyyah Jumaat, sayyidina dalam tahiyyat, muqaranah dan lain-lain lagi, na`udzubillahi min dzalik.

Letih nak komen panjang, sendili baca sendili fahamlah, kalu tatak faham tanye same itu olang faham, ini hali ada sikit letihlah. Cuma mauk ingat itu bendela atas itu kitab... aaaa.... bukan Saudi punye bendela.

Tuesday, March 14, 2006

Ibnul Qayyim al-Jawziyyah 1



Petikan dari "Risalah Ketetapan Majlis Muzakarah 'Ulama` Semalaya - Di Kepala Batas" mukasurat 37:-

  • Jangan tuan terpedaya dengan mereka yang berpegang dengan kitab Hadyur-Rasul, dan mereka berkata: "Kerana apa tak boleh dii'timadkan, kerana kitab Hadyur-Rasul itu diikhtishar daripada Zaadul Ma`aad karangan Ibnul Qayyim al-Jawziyyah".
  • Maka kita berkata:- "Bahawa Ibnul Qayyim itu daripada ulama kurun kedelapan yang anak murid kepada Ibnu Taimiyyah. Ianya telah ditolak oleh ulama semasa dengannya hingga sekarang kerana banyak menyalahinya daripada ijmak. Pada hal Nabi bersabda: .....yang bererti:- "Bahawasanya Allah ta`ala tiada menghimpun akan umatku atas sesat, dan pertolongan Allah itu beserta perhimpunan, barangsiapa yang keluar daripada perhimpunan adalah keluarnya itu kepada api neraka (riwayat Tirmidzi daripada Ibnu 'Umar). "

Ikhwah, inilah alamat akhir zaman, apabila yang lurus dilihat bengkok dan yang bengkok dipandang lurus. Cuba tuan-tuan fikir, Ibnu Taimiyyah sendiri telah dihukumkan sesat oleh ulama sezaman dengannya. Kalaulah kita berpegang bahawa dia difitnah, maka kita pula yang memfitnah ulama-ulama yang telah menghukumnya sesat itu. Kerana nak mempertahankan Ibnu Taimiyyah, kita fitnahkan ulama - ulama yang telah membicarakannya dan menghukumnya. Pendapatku pribadi, aku tak ada apa-apa dengan Ibnu Taimiyyah, dia sudah tiada dan biarlah urusannya dengan Allah, tapi aku tak ikut Ibnu Taimiyyah, sebab aku ada ulama lain yang dijadikan panduan, ulama yang lebih hebat dan lebih banyak jasanya kepada datuk nenekku berbanding Ibnu Taimiyyah. Kalaupun Ibnu Taimiyyah belum dipastikan sesat, maka setidak-tidaknya telah ada tohmah daripada ulama berhubung dengan pribadinya, baik ulama sezaman dengannya mahupun ulama yang datang kemudian seperti Imam Ibnu Hajar dalam "Fatawa Haditsiyyah" dan Pehin Mufti Haji Ismail dalam fatwa-fatwa dan karangan-karangannya. Isu Ibnu Taimiyyah ini seperti juga isu Ibnu 'Arabi, ada yang menyokong dan ada yang menyesatkan mereka berdua. Bagi aku, biar kita letak tepi dua-dua, kita pegang ulama yang tidak ada tohmah pada mereka. Sesiapa yang nak ikut Ibnu Taimiyyah, kome ikutlah, tapi jangan fanatik sangat sampai tak nampak ulama lain. Barang diingat kalau orang awam bermazhab Syafi`i tanya, mu jawablah ikut qawl ulama Syafi`i, jangan jawab ikut fatwa Ibnu Taimiyyah dan sebagainya, karang pening pulak orang yang bertanya tu.

Thursday, March 2, 2006

Kembali Kepada al-Quran dan as-Sunnah

Ini merupakan slogan yang biasa kita dengar daripada puak kaum mudah (i.e. sebab mereka ingat mudah benar nak rujuk al-Quran dan as-Sunnah). Bila kita berhujjah dengan pandangan ulama mazhab, maka dengan sombong mereka menjawab, mana Quran, mana hadis. Ingat kesombongan kamu itu silap-silap boleh menyebabkan kamu jatuh kepada kekufuran. Apa tidaknya, seolah-olah para ulama tersebut tidak berpegang dengan Quran dan Hadis. Yang tak ikut Quran dan Sunnah tu Iblis, bukan ulama yang terkenal keilmuan dan waraknya. Oleh itu jangan tertipu dengan slogan-slogan bersemangat tersebut. Ingat berpegang kepada ulama itu bererti kita mengikut al-Quran dan as-Sunnah menurut pengertian sebenarnya, bukan ikut tafsiran budak mentah yang baru semalam belajar. Ulama itu waris kepada para Nabi.

Seperkara yang orang kita lupa bahawa sumber hukum dalam Ahlus Sunnah wal Jama`ah bukan setakat al-Quran dan al-Hadits, tetapi ada jugak ijma' dan qiyas. Bahasan Quran dan hadits sahaja sudah cukup luas apatah lagi jika ditambah dengan 2 yang kemudian. Oleh itu, jangan mudah melatah dalam mengeluarkan hukum, jangan ingat bila tak ada dalam Quran, tak ada dalam Sunnah, maka ertinya tidak ada sumber, mungkin sumbernya pada qiyas atau pada ijma'.

Ini bahasan ulama, dan bukan calang-calang ulama. Sebab itu kalau kita tengok tawarikh, jarang kita lihat ulama dahulu walaupun sealim Imam an-Nawawi mentarjih pendapat mazhab selain mazhab dirinya. Berbeza dengan zaman kita ini, dah ada ulama yang aku kiralah taklah setaraf dengan Imam an-Nawawi atau as-Sayuthi telah berani mentarjih pendapat-pendapat mazhab lain. Tarjih dalam mazhab yang sama memang biasa dilakukan oleh ulama terdahulu, kerana usul dan kaedah istinbath yang digunakan adalah sama. Tetapi tidak adil kita mentarjih mazhab lain yang kaedah dan usulnya mempunyai perbezaan, sedikit sebanyak.

Kalau Dr. pakar kata, kita terima sahajalah, tok sah nak menyampuk, nak tunjuk terer, kata dalam medical journal kata macam ni, macam tu. Lainlah kalau kita pun sama-sama diiktiraf kepakaran dalam bidang tersebut. Macam tu jugak ulama, kalau ulama itu sememangnya telah diterima oleh umat, kenapa kita nak pertikaikan kepakaran mereka. Apa kita sahaja yang tahu hadis dan mereka tak tahu. Kome kena ingat, Imam Hadis (muhaddisin) pun ikut mereka, apatah lagi orang macam kita yang jadi murid hadis pun bukan. Tengok kakilah, sebelum bercakap.

Aku teringat ada Tok Guru aku yang syadid, berfatwa sesiapa yang berkata kepada orang sembahyang Tarawih 20 rakaat : "Kamu ikut Umar ke ikut Nabi", maka boleh tanggal imannya kerana dia telah menuduh Sayyidina Umar tak ikut Nabi.

Aku tak leh nak cakap panjang bab ni, darah aku dah naik, sebelum aku melalut baik aku pen off dulu (wah lama betul tak guna istilah ni). Lain hari, baik punya hari kita sambung lagi.

Tuesday, February 28, 2006

Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 1

Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah nama sahaja insan tempat berlaku khata` dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah, nasib baik ada sahabat yang mengingatkan aku berhubung dengan pesanan Syaikh Abdullah Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku "Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu (2)" dipetik antara pesanan beliau:-
  • Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
  • Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.
  • Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.
  • Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.

Syadid jugak Tok Wan Pak Lah ni. Dan saudara lihat juga bagaimana Tok Syaikh Abdullah Fahim mengisytihar Ibnu Qayyim sebagai seorang khawarij sebagaimana pernah dihukumkan oleh ulama-ulama sebelum beliau terhadap puak Wahhabi. Apa tidak khawarijnya, selain mereka semua tak betul, semua bid`ah, semua sesat, semua masuk neraka. Aku harap Pak Lah pegang dengan wasiat Tok Wan dia ni. Hadhari hadhari jugak, tapi carilah mana dia al-Ghazali, mana dia asy-Syafi`i. Imam asy-Syafi`i dan Hujjatul Islam al-Ghazali pergi meninggalkan warisan bernilai tinggi berupa kitab-kitab dan juga murid-murid yang berkesinambungan sehingga ke masa kita ini, alhamdulillah. Para ulama Syafi`i yang muktabar semuanya bersambung sanad dan silsilah keilmuan dengan mereka, jadi kalau nak cari mereka pergi kat ulama mazhab, bukan kepada ulama khawarij seperti kata Tok Wan tadi.

Yang aku pelik sekarang, kenapa masih ada ustaz bila orang awam bertanya mengenai sesuatu hukum, maka jawapan yang diberi bersandarkan kepada pendapat Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim, sedangkan yang bertanya tu umumnya bermazhab Syafi`i. Sejak bila Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim atau al-Qardhawi jadi ulama sandaran dalam Mazhab Syafi`i ? Bawalah keterangan ulama-ulama Syafi`i kita, Imam Ibnu Hajar ke, Syaikh Ramli ke atau sebagainya. Ini yang menyebabkan orang awam keliru dan pening kepala. Ini yang jadi punca qunut jadi bid`ah, talqin jadi bid`ah, talaffuz bin niyyah jadi bid`ah.

Aku rasa pihak Mufti Pulau Pinang dengan Jabatan Agamanya sekarang kena buat pemantauan terhadap perkembangan dakyah pencinta dan pentaksub Ibnu Qayyim yang berpusat di sana. Siap buat dewan pengajian atas nama Ibnu Qayyim. Besar sangat ke jasa Ibnu Qayyim kat bangsa Melayu Islam kat rantau ini ? Jagalah amanah Mufti pertama Pulau Pinang di atas.

Sunday, February 26, 2006

Fitnah Albani

Di antara fitnah Albani ialah dia telah merobek ijmak apabila dia mendhaifkan beberapa hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Sedangkan para ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah sepakat dalam ertikata telah ada ijmak ulama sejak kurun ke-7 hijrah bahawa sesahih-sahih selepas al-Quran ialah kitab al-Bukhari dan Muslim. Ini adalah ijmak ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah sebagaimana dinyatakan oleh Imam Ibnus Sholah dalam kitabnya "Muqaddimah fi 'Ulumil Hadits".

Contohnya dalam "Dha`if al-Jami' wa Ziyadatuhu", Albani dalam komentarnya bagi hadis:-
  • Allah s.w.t. berfirman: "Ada 3 orang yang akan menjadi lawanKu pada hari kiamat:- (i) orang yang diberi amanat keranaKu kemudian dia khianat; (ii) orang yang menjual orang lain yang merdeka, lalu makan harga jualannya itu; dan (iii) orang yang mengupah pekerja yang melakukan kerja tersebut dengan sempurna, tetapi tidak diberi upahnya."

mengatakan bahawa: "Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bukhari daripada Abu Hurairah, dhaif".

Begitu juga, Albani telah mendhaifkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Muslim daripada Sayyidina Abu Hurairah :-

  • Apabila salah seorang di antara kamu bangun malam, maka bukalah shalatnya dengan dua rakaat yang ringan."

Ini antara contoh kecerobohan Albani terhadap Shahih Bukhari dan Muslim. Maka tidak hairanlah jika Syaikh Abdullah Al-Ghimari seorang ahli hadis terkemuka Maghribi dalam karangannya berjodol "Juz fihi ar-Radd 'ala al-Albani" menyatakan bahawa al-Albani tidak dapat dipertanggungjawab dalam menetapkan nilai hadis, baik shahih atau dhaif. Dan dinyatakan bahawa Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani, ulama besar hadis yang digelar musnid dunya yang tinggal di Makkah mengatakan bahawa "al-Albani adalah seorang yang sesat dan menyesatkan."

Malangnya kita orang awam di Malaysia, hidup-hidup ditipu oleh mereka-mereka yang ilmunya sekadar mengaji karangan al-Albani untuk menyanjung al-Albani sebagai muhadditsin ulung zaman ini, bahkan ada yang tergamak menobatkan Albani sebagai mujaddid. Aku yakin kalau mereka kaji betul-betul kitab-kitab ulama lain, pasti mereka akan tahu tembelang Albani dan akan kenal siapa sebenarnya Albani al-Mubtadi'.

Monday, February 20, 2006

Penyelewengan Syiah

Sebahagian penyelewengan Syiah yang disenaraikan dalam fatwa Mufti Pulau Pinang tahun 1993:-

  1. Khalifah diwasiatkan secara nas;
  2. Imam adalah maksum;
  3. Ilmu Allah berubah-ubah mengikut peristiwa yang berlaku kepada manusia (al-bada`);
  4. Kemunculan semula Imam Mahdi dan kumpulan orang yang telah mati untuk memberi keadilan (ar-raj`iyyah);
  5. Berpura-pura (at-taqiyyah);
  6. Muhammad bin Hasan al-Askari ialah Imam Mahdi al-Muntazar;
  7. Sayyidina Ali disamatarafkan dengan Allah s.w.t.;
  8. Mengkafirkan para sahabat Rasulullah s.a.w.;
  9. Menghalalkan nikah mut`ah;
  10. Menolak ijmak ulama;
  11. Menolak qiyas;
  12. Mengamalkan nikah mut`ah;
  13. Menolak 'aul dan mendahulukan qarabah dari 'asobah dalam masalah pusaka;
  14. Menuduh Abu Bakar, Umar, Uthman dan Mu`awiyah sebagai 4 berhala Quraisy serta pengikut-pengikut mereka adalah musuh Allah;
  15. Hanya Ali menghimpun al-Quran dengan sempurna;
  16. Menambah Syahadah;
  17. Menolak hadith yang diriwayat oleh Ahli Sunnah wal Jama`ah;
  18. Menzirahi kubur Sayyidina Husain, ganjarannya syurga;
  19. Menyiksa tubuh badan sempena 10 Muharram;
  20. Menghina Abu BAkar dan Umar serta 2 orang isteri Nabi s.a.w. iaitu Aishah dan Hafsah;
  21. Menetap prinsip khumus sebagai kadar zakat;
  22. Imamah dan Khilafah daripada rukun Islam dan ianya berlaku melalui nas;
  23. Mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan;
  24. Sembahyang dhuha adalah bid`ah;
  25. Islam bukan syarat wajibnya haji;
  26. Wajib menyapu kedua-dua kaki dan tidak memadai basuh pada kedua-duanya.

Nak kira banyak lagi sesat dan karutnya ajaran ahli bid`ah bergelar syiah ini, sama ada Imamiyyah ke, Zaidiyyah ke, Ismailiyyah ke. Tak kira apa namanya, semuanya terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Katanya Ismailiyyah kat Malaysia ada 2 cabang, (1) Syiah Taiyibi Bohra atau dikenali sebagai golongan yang memilik Kedai Bombay; dan (2) Ismailiyyah Agha Khan yang dikenali sebagai Kedai Peerbhai. Kedai Peerbhai kat Jalan Masjid India tu Ismailiyyah ke ? Khabarnya puak Bohra ni ramai kat Klang.

Pengkhianatan Syiah Iraq


Dalam "Mukaatabaat al-Imam al-Ghauts al-Fard al-Jaami' Sayyidina 'Abdullah bin 'Alawi al-Haddad" juzuk 1 tercatat sepucuk surat Imam al-Haddad kepada Ahmad bin Muhammad al-Ghisyam az-Zaidi. Antara lain Imam al-Haddad menulis:
  • Sewaktu al-Hasan melepaskan kedudukannya sebagai khalifah (menggantikan ayahandanya dengan pembaitan ahlul halli wal 'aqdi) dan membaiat Mu`awiyah dengan beberapa syarat, antaranya: kekhalifahan akan diserahkan kembali kepadanya setelah Mu`awiyah meninggal dunia. Akan tetapi, al-Hasan r.a. wafat lebih dahulu daripada Mu`awiyah. Dengan wafatnya al-Hasan, Mu`awiyah menyerahkan kekhalifahan kepada anak lelakinya, Yazid. Kaum Muslimin mau tidak mau terpaksa membaiat Yazid. Tetapi al-Husain r.a. tidak mahu membaiat Yazid.
  • Kemudian penduduk Iraq mengirim sepucuk surat kepada al-Husain memintanya pergi ke Iraq untuk diangkat sebagai pemimpin mereka. Al-Husain menyambut baik undangan mereka itu lalu berangkatlah dia ke Iraq.
  • Mendengar berita tentang rencana kedatangan al-Husain ke Iraq, Yazid menulis surat kepada 'Ubaidillah bin Ziyad (gabenor Iraq) memerintahkan dia untuk memerangi al-Husain. Perintah ini dilaksanakan oleh Ibnu Ziyad. Maka, ahli Iraq yang pada mulanya membaiat al-Husain, tiba-tiba berubah fikiran dan menyetujui serangan bersenjata terhadap Imam al-Husain oleh Ibnu Ziyad. Bahkan mereka menyatakan kesetiaan kepada Ibnu Ziyad. Di sanalah al-Husain gugur sebagai syahid di tengah rombongan keluarganya r.'anhum.
  • Orang yang membunuh al-Husain, orang yang memerintahkan pembunuhannya, dan orang yang membantu perbuatan tersebut, kami pandang sebagai orang-orang fasik yang meninggalkan hukum agama. Allah akan memperlakukan mereka semua dengan keadilanNya.
  • Dalam pandangan kami, kedudukan Yazid tidak sama dengan kedudukan Mu`awiyah. Maka bahawasanya Mu`awiyah adalah seorang sahabat dan tidaklah pernah dia meninggalkan sesuatu yang difardhukan dan tidaklah dia melakukan perkara-perkara haram seperti Yazid. Maka Yazid adalah seorang fasik tanpa ragu, kerana dia meninggalkan sholat, membunuh manusia, berzina dan meminum arak. Perhitungan atas dirinya terserahlah kepada Allah.

Sunday, January 29, 2006

Selamat Tahun Baru

Mudah-mudahan tahun baru menjelang tiba ini membawa kebahagiaan buat aku dan kalian serta sekalian umat. Jangan lupa menutup tahun ini dengan doa dan istighfar dan membuka tahun baru juga dengan doa dan mohon pemeliharaan Allah. 1427, tahun alif dalam taqwim. Mari kita ramai-ramai himpun berdoa dan bermunajat serta bertahlil dan bermawlid menyambut tahun baru ini. Imam Ibnul Jauzi (bukan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah murid Ibnu Taimiyyah) menyatakan bahawa di antara amalan yang mujarrab untuk memperolehi keamanan sepanjang tahun ialah mengadakan majlis mawlid Nabi s.a.w. Mudah-mudahan mawlid yang kita laksanakan semata-mata kerana mahabbah kita kepada Junjungan s.a.w. dan diterima Allah serta dijadikanNya sebab untuk kita memperolehi keamanan sepanjang tahun juga kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ada juga yang fatwakan bid`ah baca doa awal dan akhir tahun, lalu mereka sambut dengan ceramah. Sebenarnya ceramah pun bid`ah jugak kawan. Mana ada Junjungan Nabi s.a.w. buat ceramah sambut tahun baru. Aku ingat waktu belajar dulu, ada satu kumpulan Islam yang pusatnya di sebuah negeri di utara Semenanjung tempat Raja kita sekarang bertakhta. Geng-geng ni tak nak tarawih 20 rakaat dan tak nak sholawat-sholawat antara rakaat-rakaat tarawih seperti yang biasa dibuat oleh orang kita. Jadi dia orang buat 8 rakaat dan setiap 4 rakaat diselangi dengan tadzkirah. Kat kampung aku pun ada bekas pembesar yang telah kecewa sebab kalah pilihanraya buat tarawih 8 rakaat tanpa sholawat-sholawat. Sebelum tarawih diadakan ceramah dan tadzkirah. OOOOOOOO sholawat-sholawat bid`ah, yang ceramah-ceramah dan tazkirah tu apa ? Ada ke Junjungan Nabi s.a.w. buat ceramah atau tadzkirah sebelum tarawih ? Mengata dulang paku serpih, mengata orang ekau yang lebih.

Bagi yang kata bid`ah, tok sah lah buat. Esok kamu pergilah pejabat sorang-sorang sebab kalau sambut tahun baru bid`ah, maka bercuti sempena tahun baru pun bid`ah jugak. Jangan marah.

Saturday, January 28, 2006

Kenduri Arwah - Khilafiyyah Lapuk

Kenduri arwah yang biasa diamalkan oleh orang kita bagi ku adalah satu isu khilafiyyah. Maka sepatutnya ia tidak digunakan untuk memecah persatuan dan perpaduan umat. Elok dihabiskan masa kamu untuk menegah kemungkaran yang nyata di depan mata yang tidak ada sebesar habuk pun khilaf pada haramnya seperti budaya konsert hiburan berlebihan yang lumrah berlaku dalam masyarakat.

Kenapa kita sakit hati dengan orang bertahlil, berkenduri arwah, membaca yaasin di rumah dan di masjid. Tidakkah menjadi fatwa songsang, kita hukumkan orang baca yaasin malam jumaat sebagai masuk neraka ? Jika fatwa ini betul, maka neraka akan penuh dengan orang baca yaasin dan bertahlil. Ingat senang kamu nak bawa fatwa ini atas pundakmu. Sanggup kamu bawak?

Kalau kamu tidak suka membuat kenduri arwah, itu hak kamu. Aku yang suka buat, pun ada hak. Sewaktu ayahku meninggal, juga dibuat kenduri arwah 7 hari, bahkan berterusan sampai 30 hari kerana kebetulan ayahandaku meninggal pada 1 Ramadhan, maka keluargaku meneruskan kenduri sehingga hujung Ramadhan. Hal ini kami lakukan tanpa merasa susah dan dengan tujuan mendoakan yang telah pergi berharapkan cucuran rahmat Allah ke atasnya dan sekalian umat.

Oleh itu, tolonglah berhenti menghukum orang lain. Syurga dan neraka bukan milik kita untuk diberi kepada sesiapa yang kita kehendaki. Syurga - Neraka kepunyaan Allah, oleh itu kita mohon kepadaNya akan syurga dan minta perlindungan dari neraka.

Aku di sini hanya ingin menunjukkan beberapa hujjah pegangan orang yang berkenduri arwah. Bukan untuk membatalkan hujjah orang yang menentangnya. Aku sekadar mahu mengatakan kepada kamu, jika kamu punya hujjah, kami juga punya hujjah. Ya sudah, biarkan kami beramal dengan keyakinan kami seperti kami membiarkan kamu beramal dengan hujjah kamu.

Wednesday, January 25, 2006

Kisah Tuma al-Hakim

Lanjutan pentingnya berguru. Tuma al-Hakim satu hari baca hadits. Hadits tersebut berbunyi: "Al-habbatus sawda` syifa-un min kulli da`" (Habbatus sawda' penawar segala penyakit). Malangnya, dalam kitab si Tuma huruf "ba"nya tertambah satu titik lalu berubah jadi "ya", maka dibacalah oleh Tuma hadits tersebut sebagai "al-hayyatus sawda` syifa-un min kulli da`" (Ular hitam penawar segala penyakit). Lalu dicarikannya seekor ular hitam, akhirnya dia mati kerana racun ular. Inilah akibat belajar tak berguru.

Ilmu itu dengan belajar

Ikhwah, Junjungan besar s.a.w. berpesan bahawa: "Innamal 'ilmu bit ta`allum" (sesungguhnya ilmu itu dengan belajar). Ulama menyatakan bahawa ini antara dalil bahawa ilmu itu hendaklah diambil dengan belajar dengan guru yang benar, bukan semata-mata diambil dari buku-buku dan kitab-kitab sahaja. Sebab itu masyhur kalam para sufi yang menyatakan bahawa "Sesiapa yang tidak berguru maka syaithanlah jadi gurunya." Ustaz Abdullah al-Qari karang risalah mempertikaikan kalam tersebut. Ada betulnya dan ada kurangnya. Ada ilmu boleh kita ambil dari kitab-kitab dan buku-buku, tapi ada yang kena telaah dan tadah bawah panduan guru.

Pelik sungguh zaman ini, bebudak belajar 1 + 1, A B C kita hantar pergi tadika, pergi sekolah, antar tuisyen, tetapi kenapa bab-bab ilmu agama kita nak belajar dari membaca sahaja atau dengar-dengar ceramah sahaja. Kenapa malas berguru ? Ilmu dunia yang nyata pun kena belajar dengan cikgu, ilmu agama yang berhubung soal ghaib dan keimanan tentulah berlebih lagi.

Belajar dari kitab atau buku ni, ada bahayanya. Kekadang buku tu salah cetak, jadi kita pun ambik hukum berdasarkan keterangan dari kesilapan cetak. Tak ke haru biru ? Kat tempat aku banyak kitab "Mathla`ul Badrain" cetakan Thailand di mana ada kesilapan percetakan dalamnya. Antaranya tersebut dalam kitab cetakan tersebut bahawa orang yang terlupa atau tak sengaja atau tersalah lidah atau jahil hukum atau tidak sedar yang dirinya dalam sembahyang bila berkata-kata 60 kalimah tidaklah batal sembahyangnya. 60 kalimah itu silap cetak kerana sepatutnya ditulis 6 kalimah. Bayangkanlah jika ada orang yang hanya baca dan terus berhukum dengan cetakan yang salah itu.

Begitu juga dengan Hidayatus Salikin ada banyak kesilapan cetak yang boleh merubah maknanya. Contoh dinyatakan bahawa hendaklah orang yang pergi ke masjid dengan berlari-lari, sedangkan yang dimaksudkan ialah jangan berlari-lari, dalam cetakan huruf "jim" tertukar kepada huruf "dal". Tambah malang, bila kesilapan tersebut terus diulangi dalam transliterasi Hidayatus Salikin tersebut oleh Yang Mulia Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shoghir, mungkin kerana sifat amanahnya maka Tuan Guru tidak membuat pembetulan dalam transliterasi tersebut.

Begitu juga dalam cetakan Sabilal Muhtadin, terutama sekali cetakan Pustaka Nasional Singapura. Ada terhilang beberapa kalimah yang merubah makna dan hukum sekaligus.

Kitab-kitab terjemahan juga tidak terlepas dari kesalahan cetak dan kesilapan terjemah. Contohnya dalam terjemahan Kifayatul Akhyar cetakan Pustaka Nasional Singapura kalimah "dhubu`" atau dalam bahasa kita dubuk (sejenis binatang) diterangkan sebagai "semacam kijang".

Bahkan yang memeranjatkan kitab-kitab terjemahan Ustaz Syed Ahmad Semait pun berlaku kesilapan cetak dan terjemahan. Kesilapan yang amat nyata sehingga orang bodoh macam aku pun tahu ianya silap. Contohnya dalam terjemahan kitab "Al-Adzkar"nya di mana pada mukasurat 36 ada terjemahan sebagai "Dan boleh juga dibacakannya dalam menetapkan harga sesuatu barang (?????), kecuali jika dikasadkan bacaan itu sebagai bacaan Al-Quran" sedangkan terjemahan yang betul ialah "dan tidaklah berdosa (yakni bagi orang junub dan haid untuk membaca bismillah atau alhamdulillah dan lain-lain zikir Al-Quran) melainkan jika dikasadkan bacaan tersebut sebagai bacaan Al-Quran." Kekeliruan pada kalimah a-sa-ma dengan sa-ma-na.

Dua kali terperanjat apabila pada mukasurat 440 satu bab tersilap terjemahan. Bab yang sepatutnya diterjemahkan sebagai "(Bab) Apa yang diucapkan apabila haiwan tunggangan terlepas" diterjemahkan sebagai "(Bab) Apa yang diucapkan apabila kenderaan patah kakinya." Kalimah "YA IBADALLAH IHBISUU" diterjemahkan sebagai "Wahai hamba-hamba Allah ! Matikanlah binatang ini." (?????????) Kalimah ha-ba-sa yang membawa makna kurung diterjemahkan kepada menghapus nyawa. Kalimah wa-qa-fa yang membawa erti berhenti diterjemahkan sebagai terus mati. Logikanya kalau binatang patah kaki, buat apa nak istighasah suruh makhluk ghaib hapuskan nyawanya, kita sahaja ambik pisau dan sembelih binatang tersebut. Kome cari sendiri dulu, tak boleh nak faham khabar kat aku, kalau aku rajin nanti aku tulis lagi.

Sebab itulah kita disuruh berguru dan bertanya dengan ahlinya. Sekarang ada intelek Wahhabi hentam kenduri arwah dan jadikan kitab-kitab ulama kita sebagai dalil kononnya kenduri arwah yang kita dok biasa buat sebenarnya turut ditentang oleh ulama kita tersebut. Betul kah ????? Insya-Allah aku akan usaha jawab dengan terang di lain posting. Cuma di sini aku nak habaq, Rasul Dahri yang dok nukil kitab Kasyful Litsam, Furu` Masail, I`anathuth Tholibin, Sabilal Muhtadin, faham betul ke ibarat kitab-kitab tersebut. Pernah ke dia duduk menadah kitab-kitab tersebut dengan guru-guru yang muktabar bersambung sanad dengan pengarangnya ? Potong kuku aku kata tak pernah. Aku juga tahu sedikit sebanyak sejarah dan latar belakang Rasul Dahri kebanggaan Wahhabi tu, kawan-kawan yang mengenalinya ramai kat kampung aku, baik sewaktu dia di al-Juneid maupun waktu dia di Madinah.

Shohibus Samahah Datuk Abdul Kadir Hasan dari guru kampung sehingga jadi mufti mengajar ke sana ke mari Sabilal Muhtadin, tak pernah pulak dia haramkan kenduri arwah, niga, nujuh dan haul. Aku ingat waktu aku kecil aku juga sering ke rumahnya di Kampung No.6 untuk kenduri makan hol dan tahlil arwah. Guru Zaini @ Guru Sekumpul, yang merupakan zuriat Syaikh Arsyad al-Banjari pengarang kitab Sabilal Muhtadin, tak pernah mengharamkan kenduri arwah dan majlis tahlil. Hatta sewaktu beliau wafat, juga ditalqin, ditahlilkan sampai 7 hari. Ulama-ulama Fathani yang siang malam ajar kitab Tok Syaikh Daud dan Tuan Minal, tak faham ke ibarat Syaikh Daud dan Tuan Minal al-Fathani kerana mereka juga berkenduri arwah dan bertahlil. Apa bodo sangatkah ulama - ulama kita, tak faham dan tak reti baca kitab. Atau justru fahamlah mereka tahu kenduri yang dikritik para ulama tersebut bukannya seperti apa yang disangka oleh penyokong-penyokong Wahhabi anti tahlil itu. Ini semua ulama yang belajar kitab-kitab tersebut dengan menadah depan guru-guru mereka bersambung kepada pengarangnya, bukan mereka-mereka yang baca sendiri-sendiri, pastu "cut and paste" untuk hentam musuhnya.

Sama ke kenduri kita yang lebih merupakan "iddikhal as-surur li ahlil mayyit" (memasukkan kegembiraan kepada keluarga si mati) dengan kenduri yang seperti ma'tam atau wahsyah atau kiffarah yang disebut oleh para ulama kita yang kenduri-kenduri tersebut berorientasikan kesedihan dan ratapan ?????

Sama kah kenduri kita yang berupa "ith`amuth tho`am" (memberi makan atau bersedekah makanan yang merupakan sesegera sedekah diterima Allah sebagaimana disebut dalam hadis) secara sukarela dan ikhlas hati ahli mayyit dengan kenduri terpaksa atau yang membebankan sebagaimana dinyatakan oleh para imam kita ????

Adakah sunnah hanya hidup dengan kita menghantar makan kepada keluarga si mati ? Aku takut karang ramai sangat hantar makanan, sampai tak termakan pulak ahli si mati, berbuang pulak, takkah membazir. Apa tidak bolehkah penyediaan makanan sebagaimana disarankan oleh Junjungan s.a.w. untuk keluarga Ja'far yang tujuannya untuk meringankan beban dan menghilangkan kesedihan ditukar dengan kita memberi sumbangan ikhlas berupa wang ringgit (i.e. envelope kata orang kampung aku) yang juga bertujuan sama???? Nanti aku cuba tulis lebih panjang lagi, doakan agar Allah berikan aku kekuatan dan kelapangan.

Cuma aku nak sebut secara ringkas bahawa dalam kitab Fatawa Kubra al-Fiqhiyyah karangan Imam Ibnu Hajar jilid 2 mukasurat 30 berhujjah antara lain Thawus seorang tabiin yang besar menyatakan bahawa mereka (yakni ada dua pengertian bagi "mereka" iaitu pengertian pertama "mereka" diertikan termasuk Junjungan Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda; dan pengertian kedua hanya para sahabat dan tabiin sahaja) memustahabkan (menyukai) bersedekah makanan bagi si mati selama 7 hari pertama tersebut kerana si mati difitnah (diuji/disoal) selama 7 hari di kuburnya. Hal yang sama juga dapat dilihat dalam al-Hawi lil Fatawi karangan Imam as-Sayuthi. Insya-Allah, lain kali aku tulis panjang berhubung hal ini. Ingat ulama kita bukan bodoh dan mereka tak jual agama untuk keuntungan duniawi.
YA HAQ YA HAQ UNSHURNI 'ALAL HAQ

Monday, January 23, 2006

Penolakan Ulama Terhadap Albani

Ikhwah, di kalangan 'pendakwa salaf zaman khalaf' nama Nashir bin Nuh al-Albani / Albani (penyokongnya menyebutnya sebagai Nashiruddin konon-kononnya dia sebagai "pembela agama", tetapi yang nyata dibawanya ialah virus perpecahan ummat) dipandang tinggi sehingga dianggap sebagai seorang muhaddits ulung zaman ini, bahkan ada yang mensejajarkan kedudukannya dengan para imam ahli hadits terdahulu. Punya hebat promosinya sehingga orang ada yang terkeliru sehingga menjadikannya sebagai pemutus dalam persoalan ilmu hadis.

Sebenarnya keilmuan dan kepakaran Albani dalam bidang ilmu hadits dan lain-lain ilmu banyak dipertikaikan oleh ramai ulama dan muhadditsin. Ternyata Albani banyak mengeluarkan fatwa yang keliru dan bercelaru serta haru biru. Albani merasa dia telah layak untuk menyaring kitab-kitab hadits kepada shohih dan dhaif seperti yang dilakukannya kepada kitab-kitab sunan, bahkan Bukhari dan Muslim pun tidak terlepas dari kritikan Albani.

Alhamdulillah, fatwa-fatwa mengarut Albani telah dipertikaikan oleh banyak ulama dan mereka telah menulis berpuluh-puluh kitab untuk menjawab pendapat-pendapat Albani yang keliru. Antara ulama yang membuat penolakan kepada Albani adalah:-

  1. Muhaddits besar India, Habibur Rahman al-'Adhzmi yang menulis "Albani Syudzudzuhu wa Akhtha-uhu" (Albani kesamarannya dan kesalahannya) dalam 4 jilid;
  2. Dahhan Abu Salman yang menulis "al-Wahmu wath-Thakhlith 'indal-Albani fil Bai' bit Taqshit" (Keraguan dan kekeliruan Albani dalam jual beli secara ansuran);
  3. Muhaddits besar Maghribi, Syaikh Abdullah bin Muhammad bin as-Siddiq al-Ghumari yang menulis "Irgham al-Mubtadi` 'ala ghabi bi jawazit tawassul bin Nabi fil radd 'ala al-Albani al-Wabi"; "al-Qawl al-Muqni` fil radd 'ala al-Albani al-Mubtadi`"; "Itqaan as-Sun`a fi Tahqiq ma'na al-bid`a";
  4. Muhaddits Maghribi, Syaikh 'Abdul 'Aziz bin Muhammad bin as-Siddiq al-Ghumari yang menulis "Bayan Nakth an-Nakith al-Mu'tadi";
  5. Ulama Yaman, 'Ali bin Muhammad bin Yahya al-'Alawi yang menulis "Hidayatul-Mutakhabbitin Naqd Muhammad Nasir al-Din";
  6. Muhaddits besar Syria, Syaikh 'Abdul Fattah Abu Ghuddah yang menulis "Radd 'ala Abatil wal iftira'at Nasir al-Albani wa shahibihi sabiqan Zuhayr al-Syawish wa mu'azirihima" (Penolakan terhadap kebatilan dan pemalsuan Nasir al-Albani dan dahulu sahabatnya Zuhayr al-Syawish serta penyokong-penyokong keduanya);
  7. Muhaddits Syria, Syaikh Muhammad 'Awwama yang menulis "Adab al-Ikhtilaf" dan "Atsar al-hadits asy-syarif fi ikhtilaf al-a-immat al-fuqaha";
  8. Muhaddits Mesir, Syaikh Mahmud Sa`id Mamduh yang menulis "Tanbih al-Muslim ila Ta`addi al-Albani 'ala Shahih Muslim" (Peringatan kepada Muslimin berhubung serangan al-Albani ke atas Shahih Muslim) dan "at-Ta'rif bil awham man farraqa as-Sunan ila shohih wad-dho`if" (Penjelasan terhadap kekeliruan orang yang memisahkan kitab-kitab sunan kepada shohih dan dho`if);
  9. Muhaddits Arab Saudi, Syaikh Ismail bin Muhammad al-Ansari yang menulis "Ta`aqqubaat 'ala silsilat al-ahadits adh-dha`ifa wal maudhu`a lil-Albani" (Kritikan atas buku al-Albani "Silsilat al-ahadits adh-dha`ifa wal maudhu`a"); "Tashih Sholat at-Tarawih 'Isyriina rak`ataan war radd 'ala al-Albani fi tadh`ifih" (Kesahihan sembahyang tarawih 20 rakaat dan penolakan terhadap al-Albani pada mendhaifkannya); "Ibahat at-tahalli bidz-dzahab al-muhallaq lin-nisa' war radd 'ala al-Albani fi tahrimih" (Keharusan perempuan berhias dengan emas berlingkar (gelang) dan penolakan terhadap al-Albani pada mengharamkannya); dan "Naqd ta'liqat al-Albani 'ala Syarh at-Tahawi" (Sanggahan terhadap al-Albani atas ta'liqatnya pada Syarah at-Tahawi";
  10. Ulama Syria, Syaikh Badruddin Hasan Diaab yang menulis "Anwar al-Masabih 'ala dhzulumatil Albani fi shalatit Tarawih".

Ramai lagi ulama dan banyak lagi buku karangan mereka yang menjelaskan kesilapan, kekeliruan dan kekacauan pemikiran serta ilmu Albani. Malangnya buku-buku dan ulama-ulama yang menolak al-Albani kurang mendapat promosi kerana penajanya kurang berbanding dengan al-Albani. Contohnya buku Albani yang mendhaifkan sembahyang tarawih 20 rakaat boleh didapati di mana-mana dalam terjemahan bahasa melayu, sedangkan penolakannya amat payah didapati. Maka geng pemalas sembahyang tarawih 20 rakaat dengan egonya berhujjah dengan buku tersebut, sedangkan hujjah - hujjah yang ada didalamnya telah lumat dijawab oleh ulama lain tanpa diketahui mereka. Orang awam yang malas mencari, membisu 1000 bahasa, keliru dan ada yang termakan dakyah Albani and the gang.

Inilah yang berlaku sekarang, hatta di Malaysia puak-puak Wahhabi dan Syiah mendapat tajaan yang lumayan daripada penaja-penaja mereka. Contohnya sekolah-sekolah berbau salafi-wahhabi mendapat tajaan dan murid-murid yang ditaja mereka mendapat akses mudah ke universiti-universiti berorientasikan salafi-wahhabi walaupun murid tersebut alif besar batang kelapa pun tak kenal, bahasa 'arab pun arap-arap. Tak apa, masuk ma'had dahulu di Saudi sebelum kuliyyah. Maka masuklah kawan ni ke ma'had, lepas ma'had baru kuliyyah, lepas kuliyyah balik kampung bid`ahkan orang kiri kanan dan ajar Tuhan ada kat langit. Ini berlaku kat kampung aku kepada salah seorang kawan ku sendiri. Aku juga ingat ada kawan dari Kelantan sewaktu temuduga untuk ke Universiti Madinah antara soalan yang ditanya ialah "Aina-Allah ?" (Di mana Allah ?). Allahu..... Allaaaah.

Saturday, January 21, 2006

Bumi Rata - Fatwa Bin Baz

Dalam zaman sains dan teknologi ini masih ada lagi individu yang berpegang kepada pendapat bahawa bumi ini rata dan menjadi pusat alam di mana matahari beredar mengelilinginya. Antara individu tersebut ialah mantan Mufti Saudi, Bin Baz. Bin Baz telah menulis sebuah risalah/buku di mana dia menukilkan nas-nas yang kononnya menyokong fatwanya bahawa bumi ini rata. Jodol risalahnya tersebut ialah "al-Adillat an-Naqliyya wal Hissiyya 'ala Jarayaan asy-Syamsi was Sukuni al-Ardh" (Dalil-dalil naqli dan hissi atas beredarnya matahari dan tetapnya bumi). Dalam risalah ini Bin Baz menyatakan bahawa bumi ini rata seperti piring dan matahari beredar mengelilinginya. Bin Baz yang buta ini sudah tentu belum pernah melihat bentuk bumi dari angkasa. Rasa-rasanya pihak Flat Earth Society sudah tentu gembira dengan sokongan mufti Bin Baz ini.

Ini contoh fatwa mengarut Bin Baz, banyak lagi sebenarnya fatwa songsang Bin Baz yang lebih dahsyat dari ini yang bersangkutan dengan agama. Bin Baz dah mati dan tetapi sejarah akan mengingatinya sebagai tokoh Wahhabi yang telah berbuat apa sahaja untuk menegak fahamannya yang serong tersebut. Sejarah juga akan ingat penindasan yang dilakukannya kepada ulama kita termasuklah menegah ulama kita mengajar bahkan memfatwakan ulama kita sebagai sesat, bahkan Buya Habib Muhammad al-Maliki al-Hasani pun tidak terkecuali daripada fatwa sesat Bin Baz ini.

Tuesday, January 3, 2006

Tempat Lahir Junjungan s.a.w.


Pada tanggal 12 Rabi`ul Awwal Tahun Gajah, terbit cahaya gilang gemilang menerangi kediaman Siti Aminah di Kampung Syib 'Ali saat beliau melahirkan Junjungan mulia s.a.w. Rumah telah kelahiran Junjungan s.a.w. yang bersejarah tersebut telah dipelihara oleh umat baginda dan dijadikan tempat ziarah yang di mana doa-doa dikatakan mustajab di situ.

Sejarahwan Makkah kurun ke-3, al-Azraqi, dalam kitabnya "Akhbar Makkah", jilid 2 mukasurat 160, menyatakan bahawa antara tempat-tempat di mana dimustahabkan solat di dalamnya ialah Mawlid an-Nabi, iaitu tempat kelahiran Junjungan s.a.w. Menurutnya lagi, rumah tersebut telah dijadikan masjid oleh al-Khaizuran, bonda Khalifah Musa al-Hadi dan Khalifah Harun ar-Rasyid dari Kerajaan Bani Abbas. Lihat gambar lama di atas nampak kelihatan kubah masjid tersebut. Masjid ini berdiri sejak masa Abbasiyyah sehinggalah diruntuhkan oleh puak Wahhabi, pemusnah kubur dan masjid. Rupa-rupanya bukan Hindu kat India sahaja yang meruntuhkan masjid, geng anak Pak Wahhab pun apa kurangnya.

Ulama tafsir terkemuka, an-Naqqash dinukilkan oleh Syaikh Taqiyuddin al-Fasi dalam kitabnya "Syifa` al-Gharam bi Akhbaril Baladil Haram", jilid 1 mukasurat 199, sebagai berkata bahawa doa di tempat lahir Junjungan s.a.w. tersebut dimustajabkan pada tengahari Isnin.

Ibnu Jubayr, setiausaha Gabenor Granada, Andalus, mencatat dalam memoir perjalanan haji dan ziarahnya menyatakan bahawa pada setiap hari Isnin bulan Rabi`ul Awwal, tempat kelahiran Junjungan dibuka dan ramai manusia yang datang berziarah dan mengambil keberkatan dengannya (mutabarrikin bihi) kerana pada bulan tersebut Junjungan s.a.w. dilahirkan.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya "al-Mawlid asy-Syarif al-Mu`adzdzham", Syaikh Ibnu Zahira al-Hanafi dalam "al-Jami' al-Lathif fi Fasl Makkah wa ahliha", ad-Diyabakri dalam "Tarikh al-Khamis" dan Syaikh an-Nahrawali dalam "al-I'lam bi a'lami Bait Allah al-haram", menulis senario sambutan Mawlid Nabi s.a.w. di Makkah seperti berikut:-
  • Setiap tahun tanggal 12 Rabi`ul Awwal, selepas sembahyang Maghrib, keempat-empat qadhi Makkah (yang mewakili mazhab yang empat) bersama-sama orang ramai termasuk segala fuqaha, fudhala` (orang kenamaan) Makkah, syaikh-syaikh, guru-guru zawiyah dan murid-murid mereka, ru`asa' (penguasa-penguasa), muta`ammamin (ulama-ulama) keluar meninggalkan Masjidil Haram untuk pergi bersama-sama menziarahi tempat Junjungan Nabi s.a.w. dilahirkan. Mereka berarak dengan melaungkan zikir dan tahlil(mungkin di sini asalnya tradisi orang kita mengadakan perarakan Mawlid). Rumah-rumah di Makkah diterangi cahaya pelita dan lilin. Orang yang turut serta amat ramai dengan berpakaian indah serta membawa anak-anak mereka sekali. Setiba di tempat kelahiran tersebut, ceramah khas bersangkutan Mawlidin Nabi disampaikan serta kebesaran, kemuliaan dan mu'jizat Junjungan diceritakan. Setelah itu, doa untuk Sultan, Amir Makkah dan Qadhi Syafi`i (ini adalah kerana mazhab Syafi`i adalah yang paling dominan di Hejaz sebelum penjajahan Wahhabi) dibacakan dengan penuh khusyu' dan khudu`. Setelah hampir waktu Isya`, barulah mereka berarak semula pulang ke Masjidil Haram untuk menunaikan sholat Isya`.

Beginilah meriah sambutan Mawlid di Makkah pada zaman tersebut. Malangnya setelah penjajahan Wahhabi, perayaan Mawlid dianggap sebagai bid`ah dhalalah yang menyesatkan. Inilah juga fatwa Bin Baz yang diikuti pengikut mereka hatta di Malaysia ini seperti Dr. Abdullah Yasin khadam kedutaan Saudi Arabia di Kuala Lumpur. Banyak-banyak negara Islam dalam dunia ini, hanya Saudi sahaja yang beranggapan mawlid Nabi bid`ah, negeri lain cuti umum tapi Saudi tidak merai dan membesarkannya. Yang peliknya sewaktu Condoleeza Rice datang ke Saudi tahun lepas, hari jadinya yang ke-51 diraikan dengan kek harijadi sebagaimana dilaporkan oleh akhbar "Daily Times" bertarikh 14 November, 2005 dengan tajuk berita "Saudis suprise Condi Rice with birthday cake."

Jadi ikut fatwa Wahhabi dan Bin Baz, Mawlid yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia dahulu dan sekarang adalah bid`ah dhalalah yang menyebabkan pelakunya sesat dan masuk neraka. Jadi pada pandangan mereka, ramai umat Muhammad ini masuk neraka, dalam syurga nanti hanya Ibnu Abdul Wahhab, Bin Baz dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya. Masuk akal ke ??????????

Ya RasulAllah, li syafa`ah.

Wuquf di Padang Arafah

Rukun Haji yang paling utama yang membezakan Haji dengan Umrah adalah berwuquf di Padang Arafah. Kenapa Padang Arafah ? Antara hikmahnya adalah memperingati pertemuan bapa dan ibu segala manusia, Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa. Padang Arafah tempat pertemuan mereka berdua setelah berpisah sekian lama sejak diturunkan dari 'syurga'. Dengan sebab pertemuan tersebut, umat manusia berkembang biak menjadi khalifah di atas muka bumi sebagaimana dikehendaki Allah ta`ala.

Maka diabadikan peristiwa ini dengan setiap tahun umat berkumpul di sana untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Sewajarnya perjumpaan di sana disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Bayangkanlah bagaimana gembira dan syukurnya Nabi Adam dan Siti Hawa yang terpisah bertahun-tahun lamanya, setelah itu berjumpa semula.

Ikhwah, mengabadikan tempat-tempat penting dan bersejarah dengan tujuan dijadikan kenangan dan i'tibar bukanlah sesuatu yang ditegah dalam syariat Islam. Lihat upacara saie antara Shafa dan Marwah, bukankah antara hikmah memperingati peristiwa Siti Hajar dengan Nabi Ismail a.s. Pensyariatan korban, antara hikmahnya memperingati pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Jadi di mana salahnya menjadi tempat-tempat bersejarah sebagai tempat ziarah yang penuh kenangan ? Kenapa tempat-tempat yang penuh sejarah Junjungan Nabi s.a.w. dimusnahkan oleh puak Wahhabi ? Kenapa mawlid Nabi, tempat kelahiran Junjungan Nabi s.a.w. , rumah Siti Aminah dimusnahkan, dijadikan kandang unta, dijadikan tandas, kemudian barulah dibina sebuah perpustakaan. Bukankah dahulunya tempat tersebut menjadi saksi kelahiran manusia yang paling utama. Bukankah ini tempatnya tanggal 12 Rabiul Awwal Tahun Gajah, alam malakut dan kerajaan langit terbuka luas menyambut kelahiran Junjungan semesta alam. Bukankah ulama berpendapat tempat lahir baginda ini antara tempat yang mustajab berdoa.

Mengikut sejarahnya, zaman-berzaman tempat-tempat bersejarah ini dijaga dan dipelihara oleh umat Islam. Tempat-tempat ini dijadikan tempat ziarah menghimbau kenangan silam mencari i'tibar dan keberkatan serta melepaskan kerinduan kepada kekasih Junjungan. Apabila Wahhabi menjajah, dimusnahkannya habis kerana kononnya takut manusia menjadi syirik. Kalau nak syirik, makan nasik pun boleh jadi syirik. Tapi begitulah pandangan Wahhabi terhadap sesama umat, mereka sahaja yang pandai, yang ikut sunnah, yang muwahhidun, orang lain bodoh, taklid buta, ahli bid`ah dan syirik.

Kalau Wahhabi memerintah Malaysia, habislah memorial-memorial yang ada, antaranya Memorial Tun Razak, P. Ramlee, makam - makam diraja semua kena musnah. Silap-silap kubur Kak Endon pun kena sapu. Oleh itu, nasihat hamba dengan Pak Lah, jangan naikkan anak Pak Kasim jadi Perdana Menteri. Jangan marah, nanti cepat masuk kubur, tapi masuk kubur pun bagus, baru tahu talqin tu beri manfaat atau tidak.
My Ping in TotalPing.com

Total Pageviews