Pages

Showing posts with label Mawlid. Show all posts
Showing posts with label Mawlid. Show all posts

Saturday, June 3, 2006

100 tahun Mawlid Habsyi


"Simthud-Durar fi akhbar Mawlid Khairil Basyar min akhlaqi wa awshaafi wa siyar" atau singkatannya "Simthud-Durar" adalah karangan mawlid Junjungan yang disusun oleh Habib Ali bin Muhammad bin Husain al-Habsyi (1259 - 1333H / 1839 - 1913M). Mawlid yang juga terkenal dengan panggilan "Mawlid Habsyi" ini telah diimla'kan oleh Habib Ali tatkala beliau berusia 68 tahun dalam beberapa majlis bermula pada hari Khamis 26 Shafar al-khair 1327 dan disempurnakan 10 Rabi`ul Awwal tahun tersebut dan dibacakan secara rasminya di rumah murid beliau Habib 'Umar bin Hamid as-Saqqaf pada malam Sabtu tanggal 12 Rabi`ul Awwal.

Habib Thoha bin Hasan bin Abdur Rahman as-Saqqaf dalam "Fuyudhotul Bahril Maliy" menukil kata-kata Habib 'Ali berhubung karangannya tersebut seperti berikut:-

  • " Jika seseorang menjadikan kitab mawlidku ini sebagai salah satu wiridnya atau menghafalnya, maka sir Junjungan al-Habib s.a.w. akan nampak pada dirinya. Aku mengarangnya dan mengimla`kannya, namun setiap kali kitab itu dibacakan kepadaku, dibukakan bagiku pintu untuk berhubungan dengan Junjungan Nabi s.a.w....."

Habib Novel bin Muhammad al-'Aydrus menceritakan bahawa antara keistimewaan "Simthud Durar" ialah seseorang yang mempelajarinya akan cepat menghafal al-Quran. Perkara ini beberapa kali berlaku pada murid-murid yang diasuh oleh Habib Husain Mulakhela, di mana sebelum menghafal al-Quran mereka disuruh membaca dan menghafal "Simthud Durar" dan ternyata hasilnya murid-murid tersebut lebih cepat menghafal al-Quran. Habib Husain Mulakhela sendiri mengalami hal sedemikian. Ketika diawal menuntut ilmu bahasa 'Arab, gurunya, Habib Hadi Jawas telah menyuruhnya untuk terlebih dahulu mempelajari "Simthud Durar". Setelah dipelajari dengan tekun, barulah diketahuinya bahawa "Simthud-Durar" menghimpun semua wazan / pola kata / tata kata dalam bahasa 'Arab, sehingga dia menjadi mudah untuk menguasai ilmu nahu dan sharaf.

Setelah 100 tahun karangan mawlid ini beredar, kemasyhurannya tetap bersinar cemerlang dengan dijadikan bahan bacaan dan wiridan ramai pencinta Junjungan s.a.w. Mudah-mudahan ianya terus hidup subur dan keberkatannya dilimpahkan kepada segala yang mengaku umat Junjungan s.a.w.
Allahumma sholli wa sallim
asyrafas shoolati wat taslim
'ala Sayyidina wa Nabiyiina
Muhammadi-nir Ra-ufir Rahim.
Allahumma sholli wa sallim wa baarik
'alaihi wa 'ala aaalih.

Monday, April 10, 2006

Marhaban Ya Marhaban Jaddal Husaini


Selamat menyambut Mawlidin Nabi s.a.w., mudah-mudahan semua kita dapat mencintai Junjungan s.a.w. sepenuh jiwa raga, menuruti jejak perjalanan baginda dan mendapat pandangan dan syafaat daripada Junjungan yang mulia s.a.w. Kunukilkan di sini fatwa Shohibus Samahah Almarhum Datuk Haji 'Abdul Kadir Hassan berhubung "Zikir Marhaban".

Soalan:- Apa pandangan Islam terhadap zikir marhaban seperti diamalkan masyarakat Islam pada hari ini ?

Jawapan:-

  • Pada hakikatnya adalah merupakan sebagai puji-pujian dan mengucap salawat dan salam kepada Junjungan s.a.w.
  • Berdiri ketika sampai kepada bacaan Nabi dilahirkan lalu membawa "Marhaban Jaddal Husaini", "Ashraqal Badru 'Alaina" dan lain-lain seterusnya sebagai menghormati Nabi Muhammad s.a.w. adalah amalan-amalan yang baik dan tiada sekali-kali terlarang di dalam syarak, asal jangan berubah kalimat-kalimatnya yang boleh merosak makna.
  • Sayyid Zaini Dahlan, Mufti Besar Imam Syafiee di Mekah (wafat 1304H) berpendapat bahawa mengadakan Maulud Nabi dengan membaca kisah-kisah baginda dan berdiri dan membesarkan Nabi s.a.w. adalah suatu hal yang baik. Dan telah mengerja seperti itu banyak dari ulama-ulama yang menjadi ikutan Ummah. (I`anatuth Tholibin, Juz III halaman 363).
  • Imam Taqiyuddin as-Subki, seorang ulama yang terbesar dalam Mazhab asy-Syafiee (wafat tahun 657H) juga berpendapat bahawa berdiri ketika mendengar kisah Nabi dilahirkan adalah suatu pekerjaan yang baik demi menghormati Nabi.
  • Pendeknya tiadalah diragu-ragukan bahawa mengadakan Zikir Marhaban seperti yang berlaku di dalam masyarakat kita tiadalah sekali-kali tertegah dalam syarak malah ianya adalah termasuk di dalam pekerjaan yang baik.

Marhaban Marhaban Ya Nural 'Ain.

Saturday, April 8, 2006

Keharuman Majlis 3

Seterusnya ikhwah dalam muqaddimah "Dalailul Khairat" dan juga dinukil oleh Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Quthub al-Haddad r.anhum dalam syarah ratibnya mukasurat 193 sebuah atsar yang menyatakan:-
  • "Tidak ada satu majlis yang mana diucapkan dalamnya ucapan-ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. melainkan timbul bangkit dari majlis tersebut bau harum semerbak mewangi sehingga menjangkau kolong langit teratas, maka berkatalah para malaikat: "Inilah bau majlis yang mana padanya diucapkan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w."
Oleh itu, hiasilah rumah-rumah dan majlis-majlis kita dengan dzikrullah, sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. sebagaimana dianjurkan oleh Junjungan s.a.w. dalam sabdaan-sabdaan baginda:-
  • "Hiasilah majlis-majlis kamu dengan ucapan-ucapan sholawat ke atasku, maka sesungguhnya sholawat-sholawat kamu ke atasku akan menjadi cahaya (kebajikan) bagi kamu pada hari kiamat."

  • "Jangan kamu jadikan rumah kamu sebagai kuburan (yang kamu tiada bersholawat kepadaku di dalamnya); dan jangan pula kamu jadikan kuburku sebagai hari raya (yakni hanya hendak bersholawat apabila berada di sana sahaja atau hanya mahu menziarahinya pada masa-masa tertentu sahaja), tetapi bersholawatlah kamu ke atasku kerana sesungguhnya sholawat kamu disampaikan kepadaku di mana sahaja kamu berada."

Begitulah ikhwah, alangkah bahagianya seseorang yang menjadikan rumahnya tempat ibadah dengan mengerjakan sholat nawafil, berzikir, bersholawat, mengadakan majlis-majlis ilmu dan kebaikan seperti majlis zikir dan majlis mawlid di dalamnya. Biarlah rumah kediaman kita tidak hanya menjadi tempat makan, minum, tidur dan gudang serta muzium untuk menyimpan barang sahaja. Jangan marah nooooo. Allahumma sholli 'ala Nuridz Dzalam.

Thursday, April 6, 2006

Keharuman Majlis 2



Ikhwah, Buya Habib Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani dalam bukunya "Ma-dza fi Sya'baan" mukasurat 38 - 39 di mana beliau menukil perkataan Imam Ibnul Jawzi (bukan Ibnul Qayyim al-Jawziyyah) dalam kitabnya "al-Bustan" atau jodol penuhnya "Bustanul 'Waa`idhziin wa Riyadhus Saami`iin" seperti berikut:-



  • Apabila saja sesuatu majlis di mana para hadirin yang menghadirinya tidak bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. di dalamnya, akan menyebabkan mereka berpisah atau bersurai atas bau busuk bangkai himar (keldai), maka tidaklah menghairankan jika majlis yang di dalamnya diucapkan ucapan-ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w. akan menyebabkan para hadirin yang menghadirinya mendapat bau wangi yang paling harum dan paling baik. Dan yang sedemikian itu ialah kerana Junjungan Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik makhluk daripada makhluk yang baik dan sesuci-suci makhluk daripada makhluk yang suci, yang mana apabila Junjungan s.a.w. berkata-kata dalam sesuatu majlis, nescaya penuhlah majlis tersebut dengan bau harum mewangi semerbak kasturi. Maka demikianlah juga pada majlis yang disebut di dalamnya akan Junjungan Nabi s.a.w. (yakni dengan bersholawat, mendengar hadis-hadis Junjungan s.a.w., mendengar ajaran-ajaran Junjungan s.a.w. dan mendengar kisah-kisah yang berkaitan dengan Junjungan s.a.w.), nescaya akan terbitlah bau harum semerbak mewangi yang menembusi tujuh petala langit sehinggalah ke arasy, yang keharumannya dicium oleh segala makhluk Allah ta`ala yang di bumi selain daripada jin dan manusia. Kalaulah manusia dan jin dapat mencium bau harum tersebut, nescaya lupalah mereka akan segala urusan penghidupan mereka, kerana terlalu sibuk meni'mati kelazatan dan keni'matan bau harum tersebut.Manakala, setiap malaikat dan makhluk Allah ta`ala selain jin dan manusia, yang mencium bau harum tersebut akan berdoa memohon keampunan untuk orang-orang yang hadir dalam majlis tersebut, dan akan dituliskanlah bagi mereka yang hadir itu pahala sebanyak bilangan makhluk Allah ta`ala yang mencium bau harum tersebut serta diangkat darjat mereka menurut bilangan makhluk-makhluk tersebut. Maka setiap seorang masing-masing akan mendapat pahala yang sedemikian tadi tanpa mengira berapa jumlah mereka yang berhimpun dalam majlis tersebut, sama ada hanya seorang ataupun seratus ribu orang, dan apa yang ada di sisi Allah daripada pahala dan ganjaran adalah terlebih banyak lagi.

Dan telah disyairkan oleh orang dengan katanya:-

Sentiasalah mewangi waktu-waktu yang disebutkan;
Khabar-khabar berkenaan Junjungan s.a.w. dalam majlis yang harum;
Maha Suci Tuhan Pencipta baginda;
Suatu cahaya yang dirupakan dengan sebaik-baik rupa.

Begitulah ikhwah, jika semua kita dapat mencium keharuman bau tersebut, semua tak sibuk nak kerja dah, kerana sibuk nak baca mawlid sebab nak meni'mati keharuman bau majlis tersebut. Ini antara hikmah kenapa baunya dihijabkan dulu buat kita.....Allahu....Allah. Jadi toksahlah nak malas-malas hadir majlis-majlis di mana Junjungan s.a.w. disebut-sebut, sholawat dan salam diucapkan, qasidah pujian dilantunkan serta doa dan syafaat dipohonkan. Kalau kome semua tak nak tak apa, bagi kat sesiapa yang nak sahaja. Yang tak nak, pi tidur sudahlah, toksah nak ganggu orang yang nak. Allahumma sholli 'ala Badrit Tamam.

Wednesday, April 5, 2006

Keharuman Majlis 1

Ketahuilah, bahawasanya sesuatu majlis perhimpunan yang harus itu akan menjadi cemerlang jika sekiranya ianya diserikan dengan dzikrullah dan ucapan-ucapan sholawat serta salam ke hadrat Junjungan Nabi s.a.w. Hal ini telah disebut dalam beberapa hadits Junjungan Nabi s.a.w. di antaranya:- "Tidak berhimpun sesuatu kaum (yakni dalam majlis perhimpunan) yang kemudiannya mereka bersurai pergi dengan tanpa mengingati Allah azza wa jalla dan bersholawat ke atas Junjungan Nabi s.a.w., melainkan perginya mereka (dari majlis tersebut) dengan bau busuk bangkai."

Bukan itu sahaja, majlis tersebut juga akan menjadi sesalan kepada orang-orang yang hadir di dalamnya, sebagaimana sabda Junjungan Nabi s.a.w.:- "Tidak duduk sesuatu kaum dalam satu majlis, yang mana mereka tidak berzikir mengingati Allah ta`ala di dalamnya dan tidak bersholawat ke atas Junjungan Nabi mereka, melainkan jadi atas mereka satu penyesalan; Maka jika sekiranya Allah mengkehendaki, diazabkanNya mereka dan jika Dia mengkehendaki, diampunkanNya mereka.

Jika sahaja dalam hadits yang tersebut menyatakan bahawa sesuatu majlis yang kosong daripada zikrullah dan sholawat akan menimbulkan bau busuk bangkai, maka mafhum mukhalafahnya pula ialah, sesuatu majlis yang dipenuhi zikrullah dan sholawat serta salam, akan menimbulkan bau yang harum semerbak mewangi. Dalam majlis mawlid, orang buat apa ? Sahaja suka-suka borak-borak ke ? Tentu tidak, deme berzikir, baca ayat-ayat al-Quran, dengar sirah Junjungan s.a.w., bersholawat dan mengucapkan salam serta melahirkan dan menyatakan kegembiraan dan syukur atas zahirnya rahmat bagi sekalian alam, Junjungan Nabi s.a.w. Cuma hal keadaan bau-bau ini, kemungkinan kita tidak mampu untuk menciumnya kerana deria bau kita mungkin sudah terdinding akibat dosa dan maksiat yang telah berleluasa, dan mungkin juga ianya akan disimpan untuk kita sehingga ke Hari Pembalasan, mungkin jugak ada rahsia lain yang kita tak tahu, nanti aku cite posting akan datang.

Maka jika bau tersebut harum mewangi menjadilah ianya sebagai suatu ni'mat yang tidak dapat digambarkan, atau jika bau tersebut busuk, maka terseksalah kita sekiranya menciumnya nanti. Pikau sahajalah kalu dalam kereta tiba-tiba seseorang melepaskan gas beracunnya, silap-silap boleh muntah, pitam pun boleh berlaku, terseksa oooooo, seksaan di sana nanti lagi le dahsyat, na`udzubillah min dzalik. Aku teringat jugak kata tok guru, Nabi Adam a.s. waktu mula diturunkan ke dunia pengsan 40 tahun sebab tak tahan bau busuk dunia ni. Allahu .... Allah. Berkenaan hal ini tidaklah mustahil berkekalannya bau-bau tersebut sehingga ke Hari Pembalasan kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang datang mengadap Qadhi Rabbul Jalil dalam keadaan yang harum mewangi. Allahummaj 'alna minhum.

Tuesday, April 4, 2006

Kelebihan Membaca Mawlid 4

Sidi Syatha menyambung:-

  • Telah berkata Sulthanul-'Arifin Jalaluddin as-Sayuthi dalam kitabnya berjodol "al-Wasaail fi syarhisy Syamaail":- "Tidak ada sebuah rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan padanya Mawlidin Nabi s.a.w. melainkan akan dikitari/dikelilingi/diselubungi tempat itu oleh para malaikat akan ahli yang hadir di tempat tersebut serta diratai mereka oleh Allah dengan rahmat. Para malaikat yang diselubungi/diliputi/dikalungi cahaya iaitu Jibril, Mikail, Israfil, Qarbail, 'Aynail, ash-Shaafun, al-Haafun dan al-Karubiyyun, maka bahawasanya mereka berdoa bagi sesiapa yang menjadi sebab untuk pembacaan Mawlidin Nabi s.a.w. "
  • Imam as-Sayuthi berkata: "Tidak ada seseorang Islam yang diperbacakan dalam rumahnya akan Mawlidin Nabi s.a.w. melainkan diangkat Allah kemarau, wabak, kebakaran, malapetaka, bala bencana, kesengsaraan, permusuhan, hasad dengki, kejahatan 'ain (sihir pandangan) dan kecurian daripada ahli rumah tersebut, maka apabila dia mati, Allah akan mempermudahkan atasnya menjawab soalan Munkar dan Nakir dan adalah dia ditempatkan pada kedudukan as-Shidq di sisi Allah Raja yang Maha Berkuasa."

Mungkin ada yang bertanya kenapa ada orang baca mawlid tetapi masih menerima malapetaka dan bencana. Apa nak kata, hatta para Nabi pun mendapat musibah duniawi sebagai ujian daripada Allah s.w.t., kerana semuanya berlaku atas kehendak Allah semata-mata. Apa jua musibah duniawi adalah ringan berbanding musibah berbentuk maknawi. Keselamatan dari musibah maknawi ini yang diutamakan, biar rumah kita dicuri asalkan iman dan kesabaran serta tawakkal kita pada Allah tidak turut dicuri sama. Mungkin juga Allah belum menerima amalan kita, sehingga ianya tidak menjadi sebab mendapat rahmat Allah tersebut, oleh itu teruskan usaha dan tingkatkan amalan. Yakin kepada kemurahan Allah yang tiada terbatas dan carilah syafaat daripada Junjungan s.a.w.

Saturday, April 1, 2006

Kelebihan Membaca Mawlid 3

Seterusnya:-
  • Telah berkata Syaikh as-Sirri as-Saqathi:- "Sesiapa yang mengqasadkan sesuatu tempat yang dibaca padanya Mawlidin Nabi s.a.w., maka telah dia telah mengqasadkan satu taman dari taman-taman syurga kerana tidaklah dia mengqasadkan tempat demikian selain daripada kecintaannya kepada ar-Rasul s.a.w. Dan telah bersabda Nabi a.s.: "Sesiapa yang mencintaiku adalah dia bersamaku dalam syurga."

Begitulah ikhwah Sunniyyun Syafi`iyyun, qasad itu berupa pemergian ke tempat mawlid atau juga bermaksud membuat mawlid. Kenapa kita buat mawlid ? Jawapan bagi soalan ini adalah qasadnya kita. Ada orang buat mawlid semata-mata menjalankan kebiasaan tradisi, ada yang buat hanya semata-mata hendak membesarkan Junjungan kerana tidakkah Allah telah berfirman: "Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.", maka seseorang itu diganjari berdasarkan kepada niat dan qasadnya. Jom buat mawlid, hadir mawlid, hayati mawlid, demi membesarkan Junjungan s.a.w.

Friday, March 31, 2006

Kelebihan Membaca Mawlid 2

Seterusnya Sidi Syatha dalam "I`anatuth-Tholibin" menyambung:-

  1. Dan telah berkata al-Imam al-Yafi`i al-Yamani (sesetengah kitab tersilap cetak di mana huruf "ya" berubah kepada "syin" menyebabkan perkataan ini dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i):- "Sesiapa yang menghimpunkan untuk Mawlidin Nabi s.a.w. saudara-saudaranya, menyediakan makanan dan tempat serta berbuat ihsan sehingga menjadi sebab untuk pembacaan Mawlidir Rasul s.a.w., dia akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat berserta dengan para shiddiqin, syuhada` dan sholihin serta dimasukkan dia ke dalam syurga-syurga yang penuh keni'matan."

Tentu ada ikhwah yang tertanya-tanya, kenapa para ulama ini begitu berani menyatakan kelebihan-kelebihan bermawlid dengan janji-janji nanti akan bersama para anbiya' dan dapat syurga tinggi, sedangkan mereka bukannya Nabi yang diutuskan yang menerima wahyu berhubung perkara ini. Jawapannya ikhwah kena faham kaedah bahasa 'Arab yang dibicarakan dalam ilmu ma`ani bab khabar dan insya`, kerana menurut kaedah ada jumlah yang nampaknya seperti khabariyyah yang membawa erti perkhabaran atau berita tetapi sebenarnya adalah insya-iyyah yakni menyatakan harapan atau keinginan seseorang, bahkan seolah-olah dia berdoa. Jadi makna perkataan ulama tersebut bukannya khabariyyah tetapi lebih kepada insya-iyyah dalam ertikata lain contohnya jika dikatakan "dapat syurga" maka ertinya " aku ingin atau berharap agar dia dimasukkan ke syurga". Hal begini yang menyebabkan ramai yang tak faham perkataan awliya sehingga berani menuduh para awliya` dan ulama memandai-mandai memberi jaminan yang bukan hak mereka. Begitu juga contohnya, Sidi Abdul Qadir al-Jilani pernah berkata: "Tiada orang Islam yang lalu melintasi pintu madrasahku melainkan akan diringankan daripadanya azab pada hari kiamat." - rujuk manaqibnya yang dikarang oleh Sayyidisy-Syaikh Ja'far al-Barzanji dengan jodol "al-Lujainud-Dani fi Manaqib asy-Syaikh 'Abdul Qaadir al-Jiilani". Para ulama memberikan berbagai tafsiran berhubung perkataan ini, dan antaranya ialah ini adalah jumlah insya-iyyah walaupun zahirnya berbentuk khabariyyah, justru ianya merujuk kepada harapan Sulthanul Awliya tersebut agar sesiapa yang pernah melintas pintu madrasahnya diberi keringanan azab pada hari kiamat. Oleh itu fahami betul-betul ilmu sebelum membuat apa-apa tuduhan terhadap para ulama yang 'amilin yang menjadi sandaran umat. Pelajari dan kuasai ilmu-ilmu alat sebaik para ulama dahulu dan mengikut kaedah bahasa yang terpakai pada zaman-zaman awal Islam dan bukannya kaedah bahasa 'Arab Qamus Munjid yang dikarang oleh orientalis. Ilmu nahwu, sharaf, balaghah, bayan, ma`ani, badi' dan lain-lain lagi perlulah betul-betul dikuasai sebelum nak memperlekehkan ulama yang telah mengabdikan seluruh hidupnya untuk ilmu dan dakwah. Walau apa pun, segala perkataan ulama tersebut adalah endorsement mereka untuk menggalakkan pembacaan mawlid Junjungan Nabi s.a.w. agar lidah dan telinga kita sentiasa menyebut dan mendengar nama Junjungan s.a.w. dan sirah serta kebesaran baginda, dan mudah-mudahan dengan lidah menyebut, telinga mendengar, turun kecintaan dalam hati sanubari kita. Inilah yang dikehendaki oleh ulama agar setiap umat cinta dan kasih serta faham kebesaran dan sirah perjuangan Junjungan s.a.w. untuk diagungkan dan dicontohi. Mudah-mudahan Allah merahmati ulama kita sekaliannya.......al-Fatihah.

Tanbih:

1. Orang membaca al-Quran di kubur hukumnya SUNNAT menurut mazhab kita asy-Syafi`i.

2. Orang membaca al-Quran dikubur hukumnya HARAM ittifaq segala umat. Sebab kalau pun nak dikubur tunggu le si pembaca tu mati dulu, kalau hidup-hidup dikubur kan membunuh namanya.

Ini baru contoh nahwu bahasa Melayu, bahasa Arab lagilah luas. Oleh itu ilmu alat itu amat penting untuk diketahui dan dipelajari, lebih-lebih lagi bagi sesiapa yang ingin nak jadi mujtahid.

Kelebihan Membaca Mawlid 1

Sayyidisy-Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi dalam kitabnya "I`anatuth-Tholibin" jilid 3 mukasurat 414 menyatakan antara lain:-
  1. Telah berkata Imam al-Hasan al-Bashri qaddasaAllahu sirrah: "Aku kasih jika ada bagiku seumpama gunung Uhud emas untuk kunafkahkan atas pembacaan mawlid ar-Rasul."
  2. Telah berkata Imam al-Junaidi al-Baghdadi rhm.: "Sesiapa yang hadir mawlid ar-Rasul dan membesarkan kadar baginda, maka telah berjayalah dia dengan iman."
  3. Telah berkata Syaikh Ma'ruuf al-Karkhi qds.: "Sesiapa yang menyediakan untuk pembacaan mawlid ar-Rasul akan makanan, menghimpunkan saudara-saudaranya, menyalakan lampu-lampu, berpakaian baru, berwangi-wangian, berhias-hias, demi membesarkan mawlid Junjungan s.a.w., nescaya dia akan dihimpunkan oleh Allah ta`ala pada hari kiamat bersama-sama kumpulan pertama daripada para nabi dan jadilah dia berada pada setinggi-tinggi syurga. Dan sesiapa yang telah membaca mawlid ar-Rasul s.a.w. ke atas dirham-dirham perak atau emas, dan mencampurkannya bersama dirham-dirham lain, jatuhlah padanya keberkatan dan tidaklah papa si empunyanya serta tidak akan kosong tangannya dengan berkat mawlid ar-Rasul s.a.w."

Begitulah ikhwah, buat pendahuluan perkataan 3 orang ulama dan waliyUllah besar berhubung kelebihan bermawlid dan membaca mawlid, sebagaimana dinukilkan oleh ulama besar kita yang jadi ikutan dalam mazhab (i.e. ikutan orang yang bermazhab, yang tidak bermazhab tentu tak ikut). Nak pakai,pakai, tak nak pakai ikut mu le, tapi aku pakai kerana aku Sunniyyun Syafi`iyyun. Jom mawlid.

Thursday, February 2, 2006

Ingatan Kepada Junjungan

Syaikh DhiyaUddin Ahmad bin Sa`id ad-Darini dalam kitabnya " Thaharatul Qulub wal Khudu' li Allamil Ghuyub " menulis antara lain:-
  • Mengingat atau memuji-muji Junjungan Nabi s.a.w. akan menambahkan keimanan, menerangi hati dan menyingkap rahsia kebijaksanaan Tuhan. Allah s.w.t. telah menetapkan cinta kepada Junjungan Nabi s.a.w. sebagai syarat untuk mencintaiNya dan taat kepadanya sebagai ukuran kepatuhan kepadaNya. Mengingati Junjungan Nabi s.a.w. juga berhubungan dengan mengingati Allah s.w.t. sebagaimana bai'ah kepada Junjungan Nabi s.a.w. juga berkait dengan bai'ah kepadaNya.

Jadi bagaimana kita ? Adakah kita akan jadi penghalang majlis-majlis yang dianjurkan untuk mengingati Junjungan s.a.w. atas alasan ianya bid`ah ? Adakah kita akan menghukum mereka-mereka yang mengingati Junjungan dengan sholawat yang indah menawan gubahan para ulama 'alimin sebagai ahli neraka? Adakah orang yang asyik membaca kisah-kisah Junjungan s.a.w. yang ditulis dengan bahasa - bahasa indah berbentuk nazam dan natsar sebagai ahli bid`ah penghuni neraka ? Atau kita kan jadi orang yang duduk sama mendengar kisah-kisah kebesaran Junjungan serta sama-sama melantunkan sholawat dan salam ke atas Junjungan s.a.w. ? Orang-orang yang menitiskan air mata kerinduan setiap kali nama Junjungan s.a.w. disebut ? Terpulanglah kepada kalian, tauhid itu satu tetapi jalan menuju Allah sebilang-bilang nafas bani Adam. Shallu 'alan Nabiy ..... Allahumma sholli wa sallim 'alaih wa 'ala aalih.

Sunday, January 29, 2006

Selamat Tahun Baru

Mudah-mudahan tahun baru menjelang tiba ini membawa kebahagiaan buat aku dan kalian serta sekalian umat. Jangan lupa menutup tahun ini dengan doa dan istighfar dan membuka tahun baru juga dengan doa dan mohon pemeliharaan Allah. 1427, tahun alif dalam taqwim. Mari kita ramai-ramai himpun berdoa dan bermunajat serta bertahlil dan bermawlid menyambut tahun baru ini. Imam Ibnul Jauzi (bukan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah murid Ibnu Taimiyyah) menyatakan bahawa di antara amalan yang mujarrab untuk memperolehi keamanan sepanjang tahun ialah mengadakan majlis mawlid Nabi s.a.w. Mudah-mudahan mawlid yang kita laksanakan semata-mata kerana mahabbah kita kepada Junjungan s.a.w. dan diterima Allah serta dijadikanNya sebab untuk kita memperolehi keamanan sepanjang tahun juga kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ada juga yang fatwakan bid`ah baca doa awal dan akhir tahun, lalu mereka sambut dengan ceramah. Sebenarnya ceramah pun bid`ah jugak kawan. Mana ada Junjungan Nabi s.a.w. buat ceramah sambut tahun baru. Aku ingat waktu belajar dulu, ada satu kumpulan Islam yang pusatnya di sebuah negeri di utara Semenanjung tempat Raja kita sekarang bertakhta. Geng-geng ni tak nak tarawih 20 rakaat dan tak nak sholawat-sholawat antara rakaat-rakaat tarawih seperti yang biasa dibuat oleh orang kita. Jadi dia orang buat 8 rakaat dan setiap 4 rakaat diselangi dengan tadzkirah. Kat kampung aku pun ada bekas pembesar yang telah kecewa sebab kalah pilihanraya buat tarawih 8 rakaat tanpa sholawat-sholawat. Sebelum tarawih diadakan ceramah dan tadzkirah. OOOOOOOO sholawat-sholawat bid`ah, yang ceramah-ceramah dan tazkirah tu apa ? Ada ke Junjungan Nabi s.a.w. buat ceramah atau tadzkirah sebelum tarawih ? Mengata dulang paku serpih, mengata orang ekau yang lebih.

Bagi yang kata bid`ah, tok sah lah buat. Esok kamu pergilah pejabat sorang-sorang sebab kalau sambut tahun baru bid`ah, maka bercuti sempena tahun baru pun bid`ah jugak. Jangan marah.

Tuesday, January 3, 2006

Tempat Lahir Junjungan s.a.w.


Pada tanggal 12 Rabi`ul Awwal Tahun Gajah, terbit cahaya gilang gemilang menerangi kediaman Siti Aminah di Kampung Syib 'Ali saat beliau melahirkan Junjungan mulia s.a.w. Rumah telah kelahiran Junjungan s.a.w. yang bersejarah tersebut telah dipelihara oleh umat baginda dan dijadikan tempat ziarah yang di mana doa-doa dikatakan mustajab di situ.

Sejarahwan Makkah kurun ke-3, al-Azraqi, dalam kitabnya "Akhbar Makkah", jilid 2 mukasurat 160, menyatakan bahawa antara tempat-tempat di mana dimustahabkan solat di dalamnya ialah Mawlid an-Nabi, iaitu tempat kelahiran Junjungan s.a.w. Menurutnya lagi, rumah tersebut telah dijadikan masjid oleh al-Khaizuran, bonda Khalifah Musa al-Hadi dan Khalifah Harun ar-Rasyid dari Kerajaan Bani Abbas. Lihat gambar lama di atas nampak kelihatan kubah masjid tersebut. Masjid ini berdiri sejak masa Abbasiyyah sehinggalah diruntuhkan oleh puak Wahhabi, pemusnah kubur dan masjid. Rupa-rupanya bukan Hindu kat India sahaja yang meruntuhkan masjid, geng anak Pak Wahhab pun apa kurangnya.

Ulama tafsir terkemuka, an-Naqqash dinukilkan oleh Syaikh Taqiyuddin al-Fasi dalam kitabnya "Syifa` al-Gharam bi Akhbaril Baladil Haram", jilid 1 mukasurat 199, sebagai berkata bahawa doa di tempat lahir Junjungan s.a.w. tersebut dimustajabkan pada tengahari Isnin.

Ibnu Jubayr, setiausaha Gabenor Granada, Andalus, mencatat dalam memoir perjalanan haji dan ziarahnya menyatakan bahawa pada setiap hari Isnin bulan Rabi`ul Awwal, tempat kelahiran Junjungan dibuka dan ramai manusia yang datang berziarah dan mengambil keberkatan dengannya (mutabarrikin bihi) kerana pada bulan tersebut Junjungan s.a.w. dilahirkan.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya "al-Mawlid asy-Syarif al-Mu`adzdzham", Syaikh Ibnu Zahira al-Hanafi dalam "al-Jami' al-Lathif fi Fasl Makkah wa ahliha", ad-Diyabakri dalam "Tarikh al-Khamis" dan Syaikh an-Nahrawali dalam "al-I'lam bi a'lami Bait Allah al-haram", menulis senario sambutan Mawlid Nabi s.a.w. di Makkah seperti berikut:-
  • Setiap tahun tanggal 12 Rabi`ul Awwal, selepas sembahyang Maghrib, keempat-empat qadhi Makkah (yang mewakili mazhab yang empat) bersama-sama orang ramai termasuk segala fuqaha, fudhala` (orang kenamaan) Makkah, syaikh-syaikh, guru-guru zawiyah dan murid-murid mereka, ru`asa' (penguasa-penguasa), muta`ammamin (ulama-ulama) keluar meninggalkan Masjidil Haram untuk pergi bersama-sama menziarahi tempat Junjungan Nabi s.a.w. dilahirkan. Mereka berarak dengan melaungkan zikir dan tahlil(mungkin di sini asalnya tradisi orang kita mengadakan perarakan Mawlid). Rumah-rumah di Makkah diterangi cahaya pelita dan lilin. Orang yang turut serta amat ramai dengan berpakaian indah serta membawa anak-anak mereka sekali. Setiba di tempat kelahiran tersebut, ceramah khas bersangkutan Mawlidin Nabi disampaikan serta kebesaran, kemuliaan dan mu'jizat Junjungan diceritakan. Setelah itu, doa untuk Sultan, Amir Makkah dan Qadhi Syafi`i (ini adalah kerana mazhab Syafi`i adalah yang paling dominan di Hejaz sebelum penjajahan Wahhabi) dibacakan dengan penuh khusyu' dan khudu`. Setelah hampir waktu Isya`, barulah mereka berarak semula pulang ke Masjidil Haram untuk menunaikan sholat Isya`.

Beginilah meriah sambutan Mawlid di Makkah pada zaman tersebut. Malangnya setelah penjajahan Wahhabi, perayaan Mawlid dianggap sebagai bid`ah dhalalah yang menyesatkan. Inilah juga fatwa Bin Baz yang diikuti pengikut mereka hatta di Malaysia ini seperti Dr. Abdullah Yasin khadam kedutaan Saudi Arabia di Kuala Lumpur. Banyak-banyak negara Islam dalam dunia ini, hanya Saudi sahaja yang beranggapan mawlid Nabi bid`ah, negeri lain cuti umum tapi Saudi tidak merai dan membesarkannya. Yang peliknya sewaktu Condoleeza Rice datang ke Saudi tahun lepas, hari jadinya yang ke-51 diraikan dengan kek harijadi sebagaimana dilaporkan oleh akhbar "Daily Times" bertarikh 14 November, 2005 dengan tajuk berita "Saudis suprise Condi Rice with birthday cake."

Jadi ikut fatwa Wahhabi dan Bin Baz, Mawlid yang diraikan oleh seluruh umat Islam di dunia dahulu dan sekarang adalah bid`ah dhalalah yang menyebabkan pelakunya sesat dan masuk neraka. Jadi pada pandangan mereka, ramai umat Muhammad ini masuk neraka, dalam syurga nanti hanya Ibnu Abdul Wahhab, Bin Baz dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya. Masuk akal ke ??????????

Ya RasulAllah, li syafa`ah.

Thursday, December 29, 2005

Mawlid Barzanji - Kitab Sirah berwibawa


Ikhwah, dahulu malam Jumaat biasanya di surau-surau dan masjid-masjid diadakan pembacaan Mawlid Barzanji selain membaca Yasin dan bertahlil. Cuma sekarang sahaja nampaknya makin berkurangan, bukan kerana termakan racun Wahhabi yang memfatwakan bermawlid bid`ah, tetapi lebih kepada malas dan lebih suka menonton TV dari bermawlid. Jadi kebetulan ada fatwa Wahhabi kata bid`ah, maka ramai yang bersandarkan kepadanya untuk menutup kelemahan pribadi. Kalau baca mawlid bid`ah dhalalah, duduk santai-santai sambil menonton TV tu sunnat mu`akkad ke ?

Dato Ustaz Ismail Kamus (mana dulu ? Dato Ustaz ke Ustaz Dato ?) dalam satu ceramah tafsirnya yang dirakam dalam kaset dan dijual dengan tajuk besar "Tawassul", menyatakan bahawa pengarang Mawlid Barzanji, Sayyid Ja'faar al-Barzanji adalah bilal Masjid Nabi di Madinah. Ini satu kesilapan fakta kerana Sayyid Ja'faar al-Barzanji adalah Mufti Syafi`iyyah di Madinah al-Munawwarah. Aku nak tanya, dulu-dulu senangkah nak dii'tiraf sebagai mufti ? Kalau bukan ulama besar tak usah nak mimpilah. Dulu tukang kasut pun hafal al-Qur`an.

Dato Ustaz mempertikaikan "Nur Muhammad" (bab ini nanti lain masa aku cerita, cuma nak habaq mai Ustaz Utsman al-Muhammady pun ada tulis kertas kerja sokong konsep "Nur Muhammad", nak cerita panjang ooooooooooooooooooooo tak larat nak tulis sekarang, lain kali kita cerita), tetapi dia tak tolak Mawlid Barzanji, cuma katanya kita terima kitab Barzanji sebagai sastera sahaja.

Tak tahu pulak apa maksudnya dengan sastera, kalau nak disamakan dengan Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Ramayana, Pandawa Lima dan sebagainya hikayat dongeng dahulu kala, aku satu sen pun tak setuju. Masakan kitab yang jadi bacaan dan amalan yang dilakukan ulama dan awam sejak berzaman dan ada pula ulama siap buat syarah nak di"turun"kan martabat jadi buku sastera. Tak masuk dek akal langsung. Kitab Barzanji ditulis oleh seorang ulama besar, bukan seorang penglipur lara. Apa yang diceritakan atau diriwayatkan ada sandaran dalam agama, samada nas yang shorih terang atau yang khofi tersembunyi.

Aku teringat waktu aku mengaji dahulu, kawanku dari Bangkok, Thailand yang berfahaman salafi (baca silapi) memfatwakan bahawa kitab Barzanji tak boleh dii'timad (yakni tak boleh dibuat pegangan) kerana dalam Barzanji diceritakan bahawa sewaktu Junjungan s.a.w. dilahirkan yang turut hadir menyambut kelahiran Junjungan s.a.w. adalah Siti Maryam dan Siti Asiyah. OOOO....dongeng ni, tak dak dalam kitab-kitab hadis. Aku diam sahaja waktu tu, maklumlah masih bodo lagi, sekarang pun masih bodo jugak sebab tu aku ikut ulama yang pandai-pandai dan tak renti-renti belajar.

Setelah aku mengaji dan mentelaah kitab karangan ulama dan kudengar fatwa ulama, rupa-rupanya ada sandaran untuk cerita tersebut dalam kitab hadis dan kitab sirah Nabawiyyah. Antaranya kitab "Dala-ilun Nubuwwah" karangan Imam al-Baihaqi (rujukan penuhnya insya-Allah akan kuberikan kemudian kerana ilmuku tertinggal dalam kitab dan kitabku dipinjam orang, aduh lemahnya diri), rujuk juga kitab "al-Mawahibul Laduniyyah" yang masyhur karangan Imam al-Qasthalani, juzuk 1, mukasurat 65 dan banyak lagi kitab-kitab sirah seperti kitab "Sirah al-Halabiyyah" karangan asy-Syaikh Burhanuddin al-Halabi juzuk 1, mukasurat 86, bab kelahiran Junjungan Nabi s.a.w.

Maka kupesan kepada kalian bila dengan ulama berhati-hatilah. Jaga mulut, jangan mentang-mentang kita duduk di hadapan berceramah dan mengajar timbul s.s. (syok sendiri) sehingga rasa kita dah setaraf dengan ulama dahulu. Lantas kita kritik karangan mereka dan tuduh mereka mencarut kerana mengarang tanpa berpandukan nas. Jangan-jangan, lagi sekali jangan.

Bagiku Barzanji itu bukanlah kitab sastera, tetapi ianya adalah satu kitab Sirah Nabawiyyah penuh wibawa ditulis oleh seorang ulama besar berwibawa dan ditulis dengan bahasa sastera yang indah menawan kalbu pecinta-pecinta Junjungan s.a.w. Ianya kitab yang menceritakan kebesaran, keagungan perjalanan hidup Insan Kamil Mukammil Utusan Allah yang teragung, bukan kitab sastera, bukan kitab hikayat semata-mata. Asy-Syaikh as-Sayyid Ja'faar al-Barzanji bukannya orang jahil. Beliau adalah ulama besar yang dii'tiraf sebagai Mufti Syafi`iyyah di Madinah al-Munawwarah, waliyUllah keturunan Junjungan Nabi s.a.w. Jadi berhati-hatilah kamu dengan ulama, ingat pesan Junjungan "Luhuumul ulama` sumuum, fa man akalaha halak" (Daging para ulama itu racun, sesiapa yang memakannya akan binasa).

Buat Dato Ustaz Ismail Kamus, maaf berbanyak, teruskan perjuangan menegakkan Islam sebenar, Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Sedikit pesanan, dalam PAS pun ramai Wahhabi dan Syiah, yang totok dan yang simpati, aaawaaas. Jangan marah, shallu 'alan Nabiy.

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaih wa 'ala aalih.

Monday, November 7, 2005

Maulid ad-Diba`ie


Satu karya mawlid yang masyhur dalam dunia Islam ialah mawlid yang dikarang oleh seorang ulama besar dan ahli hadits iaitu Imam Wajihuddin 'Abdur Rahman bin Muhammad bin 'Umar bin 'Ali bin Yusuf bin Ahmad bin 'Umar ad-Diba`ie asy-Syaibani al-Yamani az-Zabidi asy-Syafi`i. Beliau dilahirkan pada 4 haribulan Muharram tahun 866H dan wafat hari Jumaat 12 Rajab tahun 944H. Beliau adalah seorang ulama hadits yang terkenal dan tiada tolok bandingnya pada masa hayatnya. Beliau mengajar kitab "Shohih" Imam al-Bukhari lebih dari 100 kali khatam. Beliau mencapai darjat Hafiz dalam ilmu hadits iaitu seorang yang menghafal 100,000 hadits dengan sanadnya. Setiap hari beliau akan mengajar hadits dari masjid ke masjid. Di antara guru-gurunya ialah Imam al-Hafiz as-Sakhawi, Imam Ibnu Ziyad, Imam Jamaluddin Muhammad bin Ismail, mufti Zabid, Imam al-Hafiz Tahir bin Husain al-Ahdal dan ramai lagi. Selain daripada itu, beliau juga seorang muarrikh, yakni ahli sejarah, yang terbilang. Di antara kitab karangannya ialah:-
  • "Taisirul Wusul ila Jaami`il Usul min Haditsir Rasul" yang mengandungi himpunan hadits yang dinukil daripada kitab hadits yang 6.
  • "Tamyeezu at-Thoyyib min al-Khabith mimma yaduru 'ala alsinatin naasi minal hadits" sebuah kitab yang membezakan hadits sahih dari selainnya seperti dhaif dan maudhu.
  • "Qurratul 'Uyun fi akhbaril Yaman al-Maimun".
  • "Bughyatul Mustafid fi akhbar madinat Zabid".
  • "Fadhail Ahl al-Yaman".

Renungilah bahawa kitab mawlid ini bukan karya Tok Dalang wayang kulit atau susunan Pelipurlara zaman dahulu kala atau Tukang Karut dikir barat. Ianya karya seorang ulama terbilang dan menjadi sandaran ilmu dan imannya. Kitab mawlid ini dikarang dengan senikata yang indah dan menawan setiap telinga yang mendengarnya. Kitab yang hampir berusia 500 tahun ini diakui keindahan dan keberkatannya. Keberkatannya tersohor dan menjadi bacaan serta wiridan banyak umat. Majlis pembacaannya diadakan sepanjang tahun, setiap masa di berbagai pelosok dunia Islam. Kiyai Agung berpesan agar setiap muridnya mengadakan majlis pembacaan mawlid ini pada setiap malam Isnin, dan amalan ini diteruskan oleh murid-muridnya sehingga ke masa ini. Dengan hadir di majlis mawlid, diharap tumbuh subur kecintaan kepada Junjungan Nabi s.a.w. Diharap Junjungan s.a.w. yang dipertontonkan oleh Allah s.w.t. segala amalan umatnya sudi memberikan syafaatnya kepada pembaca dan pendengar serta hadirin kerana tidaklah mereka berkumpul melainkan kerana ingatkan baginda dan dalam rangka membesarkan baginda.

Allahumma sholli wa sallim wa baarik 'alaihi wa 'ala aalih.

Thursday, September 22, 2005

Antara Tulisan Ulama Kita Tentang Mawlid.

Praktik memperingati Maulid Nabi, membaca Barzanji, dan lain-lain sejenisnya, sama ada dalam dunia Arab sendiri, mahu pun dalam dunia Melayu telah berjalan sejak lama. Kitab Berzanji telah banyak disyarahkan dalam bahasa Arab oleh ramai ulama. Ulama yang berasal dari dunia Melayu yang mensyarah kitab Maulid Nabi antaranya ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal dengan gelaran Imam Nawawi al-Jawi atau Imam Nawawi ke-II yang turut dinobatkan sebagai "Sayyidul Ulama-il-Hijaz". Beliau termasuk salah seorang guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dan Kiyai Agung Sayyidis-Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi Ba Syaiban. Yang bererti ada pertalian keilmuan dengan murid-murid Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk Tok Kenali, Tok Selehor dan lain-lain. Syeikh Nawawi al-Bantani telah menulis tentang Maulid Nabi dalam lima judul karyanya, bahkan tulisan mengenai Maulid Nabi merupakan karyanya yang terawal. Karya tersebut ialah "Targhibul Musytaqin li Bayani Manzhumatis Saiyid Barzanji Zainal `Abidin fi Maulidil Awwalin wal Akhirin", yang diselesaikan pada hari Jumaat, 13 Jumadilakhir 1284 H. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 23 Rejab 1311 H. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani dengan judul-judul yang lain adalah ditulis kemudian daripada kitab mengenai Maulid Nabi yang tersebut. Syeikh Ahmad al-Fathani juga memulakan penulisannya mengenai Maulid Nabi ketika beliau berusia 15 tahun, ditulis dalam bentuk puisi. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani yang pertama itu diberi judul "Nazham Nuril Anam", diselesaikan pada hari Rabu, 15 Syaaban 1287 H/10 Oktober 1870 M. Transliterasi lengkap dapat dibaca dalam buku Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 2, Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, lihat hlm. 3 - 46. Kiyai Agung Muhammad as-Suhaimi pula menulis dalam bahasa 'Arab mengenai kelebihan dan fadhilat membaca atau mengadakan majlid mawlid dalam kitabnya yang berjodol "an-Nafahatul-Miskiyyah fi Fadhilati Qirooati Mawlidi Khoiril Bariyyah 'alaihi afdholus sholati wa azkat-tahiyyah." (yang dicetak dalam pada 15 Muharram 1343H).

Monday, September 19, 2005

Pujian Terhadap Junjungan s.a.w.

Ikhwah sekalian, adapun pujian terhadap Nabi Muhammad s.a.w. merupakan satu perkara yang dilakukan oleh para sahabat bahkan di hadapan Rasulullah. Dalam banyak hadits disebutkan bahwa ramai orang dan penyair datang kepada Rasul s.a.w. dan mengucapkan syair yang berisikan pujian terhadap Rasulullah, maka Rasul pun menyambut mereka dan menghormati mereka serta menyambut baik atas pujian mereka. Sebab baginda tahu bahwa mereka melakukan hal tersebut untuk mendapatkan ridho beliau, yang mana mencari ridho Rasul merupakan jalan untuk mendapatkan keridhoan Allah ta'ala. Dan mereka para sahabat Rasulullah, bagaimana mereka tidak memuji Rasulullah, sedangkan Allah sendiri memuji ArRasul shallallahu alaihi wasallam. Kegembiraan terhadap kelahiran Rasul merupakan hal yang baik di dalam syariat, bahkan mengenang kisah kelahiran Nabi atau Rasul merupakan sesuatu yang dicontohkan oleh Allah dalam AlQuran. Sehingga di dalam AlQuran Allah menceritakan tentang kelahiran Nabi Isa alaihi salam, juga tentang kelahiran Nabi Musa alaihi salam. Yang mana Allah menceritakan itu semua secara mendetail. Apabila Allah menceritakan kisah kelahiran mereka para Nabi, maka mengapa kita tidak boleh mengenang kisah kelahiran Pemimpin sekalian Nabi dan Rasul ? Rasulullah menceritakan bahwa Allah ta’ala meringankan adzab terhadap Abu Lahab di neraka pada setiap hari Isnin, dikarenakan kegembiraannya atas kelahiran Nabi Muhammad sehingga ia membebaskan hambanya yang bernama Tsuwaibah yang membawa kabar gembira tersebut kepadanya. Hadist ini disebutkan di dalam Sohih al Bukhori. Padahal Abu Lahab adalah seorang yang kafir yang disebutkan akan kebinasaannya di dalam al-Quran, sehingga turun surat khusus untuk menceritakan tentang kebinasaannya. Akan tetapi Allah tidak melupakan kegembiraannya dengan kelahiran Nabi Muhammad hingga meringankan adzab baginya setiap hari Isnin, hari kelahiran Rasulullah. Maka bagaimana halnya dengan seorang hamba yang mu’min, yang seumur hidupnya bergembira dengan kelahiran Rasulullah dan meninggal dalam keadaan Islam ? Pastilah derajat yang besar bagi mereka, firman Allah : “Katakanlah (hai Muhammad) bahwa dengan karunia dan rahmat Allah, maka bergembiralah dengan hal itu, itu (kegembiraan kalian) lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. Kegembiraan dengan rahmat dan karunia Allah dituntut oleh AlQuran, dan kegembiraan tersebut lebih mahal dan lebih berharga dari apa yang dikejar kejar dan dikumpulkan manusia baik itu harta ataupun kedudukan. Karena itu hendaknya kita memperkuat hubungan kita dengan Rasulullah, dengan menghidupkan sunnah beliau, mengenal riwayat hidup beliau dengan rajin bermawlid, menanamkan kecintaan terhadap beliau dalam lubuk hati kita serta keluarga kita, menjadikan Rasulullah sebagai idola yang tertinggi dan paling dekat dengan umat Islam, serta memperbanyak sholawat kepada baginda. Telapak tangan baginda lebih halus dari sutera, lebih lembut dari kapas dan lebih wangi dari misik. Wangi telapak tangannya menempel pada setiap benda yang disentuhnya. Berkata salah seorang sahabat : "Pada saat Nabi memimpin salat dzhuhur orang orang memegang telapak tangan Rasululah dan menyentuhkan ke muka mereka, aku juga memegang tangan beliau dan menempelkan ke mukaku dan aku merasakan tangan beliau lebih dingin dari es dan berbau lebih wangi dari minyak wangi". (Riwayat Abu Juaifa Shahih Bukhari). Semoga Allah tidak mengharamkan tangan kita yang kotor dengan kemaksiatan ini, untuk menyentuh dan menyalami tangan yang paling mulia tersebut, amiin.

Saturday, August 20, 2005

Banyakkan Bersholawat & Bermawlid


Kiyai Agung Syaikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi rahimahUllah dalam kitabnya "Nafahatul Miskiyyah" berpesan kepada kita sekalian sebagai berikut:- "Maka tidak ada satu perkara yang lebih memberi manfaat untuk menerangkan hati serta menyampaikan orang-orang yang menuntut untuk "sampai" kepada Allah melainkan dengan banyak mengingati Nabi s.a.w. dan mengucapkan sholawat kepada baginda kerana bahawasanya dengan tekun dan tetap berbuat sedemikian maka orang itu akan memperolehi cahaya yang banyak dan dengan berkatnya dia akan dapat "berhubung" dengan Nabi Muhammad s.a.w. ataupun dapat berkumpul dengan orang yang boleh menyampaikan dia kepada Nabi s.a.w. dengan syarat dia menjalankan ibadat dan menjauhkan maksiat serta menghiasi dirinya dengan akhlak yang baik, terutamanya pada akhir zaman apabila kekurangan orang-orang yang menunjuk ajar serta banyak pula campur-aduk berlaku dalam hukum-hukum agama di kalangan orang ramai."

Tuesday, August 2, 2005

Kemarahan Orang Munafiq


Saudara, Imam al-Haddad dalam kitabnya "an-Nafaa-isul-'Ulwiyyah" mengkhabarkan kepada kita seperti berikut:- "Tak diragukan lagi bahawa penyebutan nama dan pemujian kepada Rasulullah s.a.w.; periwayatan kehidupan dan keutamaan-keutamaan baginda s.a.w. yang diiringi dengan pembacaan sholawat dan salam.........adalah termasuk pendekatan diri dan ketaatan kepada Allah. Sholawat merupakan salah satu penguat iman, penambah cinta dan pengagungan kepada Rasulullah s.a.w.........Di samping itu, sholawat membuat marah dan menghinakan orang-orang munafiq dan kafir yang membenci Rasulullah s.a.w." Justru itu, mari kita sekalian rajin-rajin bersholawat, rajin-rajin mengambil pusaka Junjungan s.a.w. berupa ilmu-ilmu agama, rajin-rajin mendengar hadits-hadits dan rajin-rajin mendengar kisah-kisah Junjungan s.a.w., baik berupa pembacaan mawlid Junjungan s.a.w. atau lainnya.
My Ping in TotalPing.com

Total Pageviews