Pages

Showing posts with label Aqidah. Show all posts
Showing posts with label Aqidah. Show all posts

Tuesday, February 28, 2006

Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 2


  • Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa ashabihi. (Amma ba'd), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).
  • Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya.
  • Usuluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu.
  • Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul 'Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin.
  • Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.

Ikhwah, di mana salah silapnya mazhab Syafi`i sehingga kita hendak gugah pegangan masyarakat kita terhadapnya. Jika mazhab Syafi`i mensunnatkan qunut dalam sembahyang Subuh kenapa kita nak tolak dengan mendatangkan pendapat mazhab lain ? Salahkah mazhab Syafi`i ? Bukankah ini hanya perkara khilafiyyah, yang pihak-pihak kena menghormati sesamanya. Masyarakat kita yang sudah sebati dengan qunut, dengan talaffuz bin niyyah, kenduri tahlil dan sebagainya, bukankah semua hal ini termasuk khilafiyyah yang sewajarnya ditangani dengan lapang dada, bukan dengan tuduhan bid`ah membid`ah, sesat menyesat dan sebagainya.

Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 1

Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah nama sahaja insan tempat berlaku khata` dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah, nasib baik ada sahabat yang mengingatkan aku berhubung dengan pesanan Syaikh Abdullah Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku "Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu (2)" dipetik antara pesanan beliau:-
  • Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.
  • Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.
  • Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.
  • Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.

Syadid jugak Tok Wan Pak Lah ni. Dan saudara lihat juga bagaimana Tok Syaikh Abdullah Fahim mengisytihar Ibnu Qayyim sebagai seorang khawarij sebagaimana pernah dihukumkan oleh ulama-ulama sebelum beliau terhadap puak Wahhabi. Apa tidak khawarijnya, selain mereka semua tak betul, semua bid`ah, semua sesat, semua masuk neraka. Aku harap Pak Lah pegang dengan wasiat Tok Wan dia ni. Hadhari hadhari jugak, tapi carilah mana dia al-Ghazali, mana dia asy-Syafi`i. Imam asy-Syafi`i dan Hujjatul Islam al-Ghazali pergi meninggalkan warisan bernilai tinggi berupa kitab-kitab dan juga murid-murid yang berkesinambungan sehingga ke masa kita ini, alhamdulillah. Para ulama Syafi`i yang muktabar semuanya bersambung sanad dan silsilah keilmuan dengan mereka, jadi kalau nak cari mereka pergi kat ulama mazhab, bukan kepada ulama khawarij seperti kata Tok Wan tadi.

Yang aku pelik sekarang, kenapa masih ada ustaz bila orang awam bertanya mengenai sesuatu hukum, maka jawapan yang diberi bersandarkan kepada pendapat Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim, sedangkan yang bertanya tu umumnya bermazhab Syafi`i. Sejak bila Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim atau al-Qardhawi jadi ulama sandaran dalam Mazhab Syafi`i ? Bawalah keterangan ulama-ulama Syafi`i kita, Imam Ibnu Hajar ke, Syaikh Ramli ke atau sebagainya. Ini yang menyebabkan orang awam keliru dan pening kepala. Ini yang jadi punca qunut jadi bid`ah, talqin jadi bid`ah, talaffuz bin niyyah jadi bid`ah.

Aku rasa pihak Mufti Pulau Pinang dengan Jabatan Agamanya sekarang kena buat pemantauan terhadap perkembangan dakyah pencinta dan pentaksub Ibnu Qayyim yang berpusat di sana. Siap buat dewan pengajian atas nama Ibnu Qayyim. Besar sangat ke jasa Ibnu Qayyim kat bangsa Melayu Islam kat rantau ini ? Jagalah amanah Mufti pertama Pulau Pinang di atas.

Thursday, December 29, 2005

Firasat Ulama Tentang Syaikhun-Najdi

Ikhwah, panutan kita al-Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Shohibur Ratib Habib 'Abdullah al-Haddad dalam kitabnya "Misbahul Anam" mukasurat 15 menceritakan seperti berikut:-
  • Aku telah diberitahu oleh seorang tua yang bersinar wajahnya kerana kesholehannya dan sudah melebihi 80 tahun umurnya, salah seorang pemuka kita keluarga Abu 'Alawi yang lahir dan membesar di Makkah dan kerap berulang alik ke Madinah. Nama beliau Musa bin Hasan bin Ahmad al-'Alawi berketurunan Sayyidina 'Uqail bin Salim, saudara Sayyidina Quthubus-Syahir asy-Syaikhul Kabir Abu Bakar bin Salim. Beliau berkata:- "Aku dahulu berada di Madinah belajar kepada asy-Syaikh Muhammad Hayat (as-Sindi al-Madani). Muhammad bin 'Abdul Wahhab juga berulang-alik ke majlis Syaikh Muhammad Hayat seperti murid-murid lainnya. Aku mendengar daripada orang-orang sholeh dan ulama, sebagai kasyaf daripada mereka, firasat mereka mengenai Muhammad bin 'Abdul Wahhab di mana mereka menyatakan bahawa dia akan sesat dan menyesatkan Allah dengannya orang yang dijauhkan dari rahmatNya dan yang dibinasakanNya" Dan demikian yang telah berlaku (yakni firasat mereka telah menjadi kenyataan) sehingga Syaikh 'Abdul Wahhab, bapa kepada Muhammad bin 'Abdul Wahhab, juga berfirasat sedemikian terhadap anaknya, dia telah menasihati dan mencelanya serta memperingati orang lain berhubung anaknya tersebut.

Di antara ulama yang mempunyai firasat sedemikian juga ialah Syaikh Muhammad Hayat as-Sindi dan Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi al-Madani asy-Syafi`i. Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan menceritakan berhubung firasat Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi dalam kitab-kitabnya dan perlu diketahui Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan mempunyai sanad riwayat daripada Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi seperti berikut:- Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan daripada Muhaddis Syam Syaikh Abdur Rahman al-Kuzbariy daripada al-Hafiz al-Hujjah 'Abdullah al-Kurdi al-Madani daripada al-Muhaddis al-Musnid Syaikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi al-Madani. Dalam isu Muhammad bin 'Abdul Wahhab tidak ada langsung Syaikh 'Abdur Rahman al-Kuzbari menolak kata-kata Syaikh Muhammad Sulaiman al-Kurdi dan beliau adalah tokoh utama dalam bidang periwayatan hadis yang terkenal dalam dunia Islam. Kesimpulannya, perawi-perawi tersebut adalah orang yang dipercayai dan tidak berbohong. Syaikh Sulaiman al-Kurdi bukan sahaja berfirasat mengenai Muhammad bin 'Abdul Wahhab, tetapi setelah zahir fitnah Muhammad bin Abdul Wahhab beliau telah ditanyai mengenainya dan membuat jawapan untuk menolak ajaran Muhammad bin Abdul Wahhab (insya-Allah, lain masa kita tulis jawapan beliau tersebut).

Ikhwah, jika cuma ada kitab yang ditulis Syaikh Sulaiman bin 'Abdul Wahhab al-Hanbali, saudara kandung Muhammad bin 'Abdul Wahhab, yang berjodol "Syawa`iqul Ilahiyyah", itu sudah cukup untuk membuktikan kesesatan Muhammad bin Abdul Wahhab dan sekaligus membuktikan kebenaran firasat para ulama dan sholihin di atas. Inikan pula faktanya bukan Syaikh Sulaiman sahaja yang menceritakan kesesatan Muhammad bin Abdul Wahhab tetapi ramai lagi ulama sehingga Habib Alwi al-Haddad pada mukasurat 3 kitab "Misbahul Anam" membuat kesimpulan bahawa kesesatan Muhammad bin 'Abdul Wahhab telah disampaikan oleh ramai ulama secara tawatur dalam tulisan-tulisan mereka daripada orang-orang yang tsiqah dari kalangan ulama-ul-akhyar (terpilih) dan selain mereka, yang telah melihat dengan matanya sendiri dan mendengar dengan telinganya sendiri akan kesesatan Muhammad bin 'Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya dan juga dari tulisan-tulisan, perkataan, perbuatan dan perintah Muhammad bin Abdul Wahhab dan pengikut-pengikutnya.

Firasat bukan hujjah, betul memang betul, tetapi jangan pula diketepikan mentah-mentah, apatah lagi jika ada qarinah lain membuktikan kebenaran firasat tersebut. Ingat Junjungan Nabi s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan Imam ath-Thobarani : "Ittaquu firasatal mu'min, fa innahu yandzuru bi nurIllah" (Takutilah firasat orang mukmin, kerana bahawasanya dia memandang dengan cahaya Allah).

Terpulanglah kepada kalian untuk berfikir dengan sewajarnya.

Monday, December 26, 2005

Penolakan Ulama terhadap Wahhabi


Ikhwah, sebenarnya ramai ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah dari 4 mazhab, termasuk mazhab Hanbali, yang telah menulis memperjelaskan kesesatan dan kekeliruan puak Wahhabi pengikut Ibnu 'Abdul Wahhab an-Najdi. Antaranya ialah:-
  1. "Misbahul Anam wa Jala`udz Dzalam fi Radd Syubah al-bid`i an-Najdi allati adhalla bihal 'awam" karangan Habib Alwi bin Ahmad bin Hasan bin Quthubul Habib Abdullah al-Haddad, beliau merupakan cicit kepada Imam al-Haddad yang masyhur.
  2. "As-Saiful-Batir li 'unuqil munkir 'alal akabir" juga karangan Habib Alwi al-Haddad;
  3. "As-Sarim al-Hindi fi 'unuqin-Najdi" karangan Syaikh 'Atha` al-Makki;
  4. "As-Sarim al-Hindi fi ibanat tariqat asy-Syaikh an-Najdi" karangan Syaikh 'Abdullah bin 'Isa bin Muhammad as-San`ani;
  5. "Tahakkum al-Muqallidin bi mudda`i tajdid ad-din" karangan Syaikh Muhammad bin 'Abdur Rahman bin 'Afaliq al-Hanbali, seorang ulama yang sezaman dengan Ibnu Abdul Wahhab dan telah mencabar keilmuannya sehingga Ibnu 'Abdul Wahhab membisu seribu bahasa;
  6. "Sawa`iqul Ilahiyyah fir raddi 'alal Wahhabiyyah" karangan Syaikh Sulaiman bin 'Abdul Wahhab al-Hanbali, saudara kandung Muhammad bin 'Abdul Wahhab;
  7. "Saiful Jihad li mudda`i al-ijtihad" karangan Syaikh 'Abdullah bin 'Abdul Lathif asy-Syafi`i;
  8. "As-Sawa`iq war Ru`ud 'ala al-Shaqi 'Abd al-'Aziz ibn Sa`ud" karangan Syaikh 'Afifudin 'Abdulah bin Dawud al-Hanbali;
  9. "Ad-Durarus Saniyyah fir raddi 'alal Wahhabiyyah" karangan Syaikhul Islam Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Makkah;
  10. "Fitnatul Wahhabiyyah" karangan Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan;
  11. "Khulasatul Kalam fi bayani 'umara` al-Balad al-Haram" karangan Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan;
  12. "Faydul Wahhab fi bayan ahl al-haq wa man dhalla 'an ash-shawab" karangan Syaikh 'Abdur Rabbih bin Sulaiman asy-Syafi`i;
  13. "al-Basha`ir li munkiri at-tawassul ka amtsal Muhammad ibn Abdul Wahhab" karangan Syaikh Hamd-Allah ad-Dajwi;
  14. "Al-Minha al-Wahhabiyyah fi radd al-Wahhabiyyah" karangan Syaikhul Islam Dawud bin Sulaiman al-Baghdadi al-Hanafi;
  15. "'Adzab Allah al-Mujdi li jununi al-munkiri an-Najdi" karangan Syaikh Muhammad 'Asyiqur Rahman al-Habibi;
  16. "Ghawtsul 'Ibad bi bayan ar-rasyad" karangan Syaikh Mustafa al-Hamami al-Misri;
  17. "Jalal al-Haqq fi kasyfi ahwal asyrar al-khalq" karangan Syaikh Ibrahim al-Hilmi al-Qadiri al-Iskandari;
  18. "Maqalat al-Kawtsari" karangan Syaikh Muhammad Zahid al-Kawtsari al-Hanafi;
  19. "Fajrul Shadiq fi ar-radd 'ala munkiri at-tawassul wal khawariq" karangan Syaikh Jamil Effendi Sidqi az-Zahawi al-Baghdadi;
  20. "Sa`adatud Darain fi al-radd 'ala al-firqatain al-Wahhabiyyah wa muqallidat az-Zahiriyyah" karangan Syaikh Ibrahim al-Samnudi al-Mansuri.

Inilah antara kitab-kitab yang ditulis berbagai ulama membahas kesesatan dan penyelewengan ajaran Wahhabi. Sebenarnya ramai lagi ulama dan banyak lagi kitab serta tulisan yang sedemikian. Ulama-ulama Jawi juga ada menyentuh berhubung kesesatan puak Wahhabi ini dalam tulisan-tulisan mereka seperti mantan Mufti Negeri Sembilan Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id al-Linggi al-Melayuwi dan Tuan Guru Haji 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin 'Utsman al-Fathoni dalam karangannya berjodol "Risalah Irsyadul Jaawiyyin ila Sabilil 'Ulama-il-'Aamiliin". Maka terpulanglah kepada kita hendak mempercayai ulama yang ramai atau mempercayai sahaja kata-kata Muhammad bin Abdul Wahhab an-Najdi dan pengikut-pengikutnya.

Allahummahdi ila sawaa-is sabil

Saturday, December 17, 2005

Wahhabi = Salafi = Ahlus Sunnah wal Jamaah???

Jawapannya biar kupetik dari fatwa Pehin Mufti Kerajaan Brunei Darussalam yang dibukukan dan diterbitkan oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam untuk renungan kita semua, buat pedoman dalam mengharungi kehidupan agama yang kian bercelaru, terpulanglah pada kalian untuk menerima atau menolaknya. Tapi bagiku, aku ada ikutan bertali-temali sehingga ke atas. Sekarang biar kupetik beberapa butiran fatwa tersebut yang terkandung pada mukasurat 155-156 di mana Pehin Mufti menulis:- Adalah mazhab as-Salafiyah yang dihidupkan oleh al-Allamah Ibnu Taimiyah dan yang dipakai serta diamalkan oleh al-Wahhabiyah itu bukan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia keluar dari mazhab yang empat. Mazhab as-Salafiyah berdasarkan Allah berjisim dan menyerupai makhluk. Fikiran Ibnu Taimiyah dan mazhab as-Salafiyah yang dibawanya itu dan yang diamalkan sekarang oleh al-Wahhabiyah di tanah Arab, telah diperangi oleh ulama Islam pada kurun keempat Hijriah, dan dilawan oleh ulama Islam sepanjang kurun Islam..............Membodohkan orang-orang Islam dan ulama Islam serta umat Islam seluruhnya adalah perbuatan dan kelakuan orang-orang Khawarij yang sesat dalam iktikad itu. Ia diikuti oleh agensi-agensi Wahhabiyah dan orang-orang pak turut yang dikelirukan oleh fahaman Wahhabiyah daripada pelajar-pelajar dan orang-orang yang suka mengikut fikiran baru dan apa saja yang baru dengan tiada memikir apa tujuan diadakan dan dari mana sember perkara baharu tersebut......Pada mukasurat 161, Pehin Mufti berpesan:-.......Dari itu sayugia orang-orang Ahli Sunnah Wal Jamaah berjaga-jaga dari kitab-kitab Ibnu Taimiyah dan pengikut-pengikutnya daripada Ibnu Qaiyeem dan lain-lain anak muridnya, sebagaimana telah dibentangkan oleh ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah zaman ini dan sebelumnya, dari penyeru-penyeru Wahhabiyah dan orang-orang yang terpengaruh dengan fahaman dan kelakuan Wahhabiyah daripada setengah-setengah ahli ilmu dan daripada penuntut-penuntut keluaran sekolah-sekolah dan universiti Wahhabiyah itu memburuk-burukkan amal ibadat yang dibuat oleh orang-orang Islam di sebelah sini di dalam masjid-masjid, surau-surau dan majlis agama dan ilmu Islam.

Saturday, December 10, 2005

I`tiqad Imam al-Haddad 2


Di atas adalah antara syair Imam al-Haddad dalam himpunannya berjodol "ad-Durrul Mandzum" kira-kira membawa erti:-
  • Jika kau ingin hidup bahagia sepanjang umurmu dan setelah mati, kuburmu dijadikan taman syurga;
  • Dan engkau dibangkitkan tatkala tiupan sangkakala dalam keadaan aman dari rasa takut, terancam, terusir dan dari kerugian;
  • Dan dihadapkan (kepada Allah) dalam kemuliaan dan keagungan, diberi khabar gembira oleh para malaikat dengan kejayaan dan ganjaran pahala;
  • Dan diberatkan timbangan amalanmu dengan amalan-amalan yang menggembirakan engkau di Padang Mahsyar;
  • Dan engkau melintasi sepantas kilat titian ash-Shirath, serta meneguk minuman dari telaga Nabi al-Mustofa yang suci;
  • Dan hidup kekal dalam syurga-syurga yang tinggi penuh keni'matan, mendapat bahagian untuk dekat dengan Tuhan yang Satu, Maha Esa dan Tunggal;
  • Dan engkau melihatNya dengan matamu dalam keadaan Dia Maha Suci dari bertempat, dari kaifiyyat, dari had dan batasan;
  • Maka perelokkan keyakinanmu, kerana sesungguhnya apabila keyakinan telah sempurna, yang ghaib akan nampak nyata tanpa diengkari;
  • Dan jadikanlah Asy'ariyyah sebagai pegangan i'tiqadmu, kerana sesungguhnya ia adalah sumber minuman yang suci bersih dari penyimpangan dan kekufuran;
  • Dan telah menyusun Quthubul Imam sandaran kita, 'aqidahnya yang merupakan penawar bagi segala marabahaya;
  • Dan orang yang kumaksudkan dengannya itu ialah satu-satunya yang disifatkan dengan gelaran Hujjatul Islam (yakni Imam al-Ghazali rhm.), maka sudah sepatutnya engkau berasa bangga.

Berpegang teguhlah kita dengan pegangan al-Asy`ariyyah ini kerana inilah pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah, pegangan para ulama kita dan pegangan Imam al-Haddad.

I'tiqad Imam al-Haddad

Ikhwah, puak Wahhabi dan kaum muda membid`ahkan orang yang belajar sifat 20, orang yang belajar ilmu tauhid menurut Imam Abul Hasan 'Ali al-Asy`ari. Bahkan ada ulama Wahhabi yang sanggup keluar fatwa kata pengikut Imam Asy`ari terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Berkurun lamanya datuk nenek kita kenal Allah, tahukan sifat-sifatNya menerusi kaedah pembelajaran sifat 20. Ulama-ulama kita karang kitab-kitab tauhid semua ikut kaedah tersebut. Perpustakaan ilmu tauhid Nusantara kaya dengan karya-karya sebegitu, ada 'Aqidatun-Najin, ada Sirajul-Huda, ada Wardatuz Zawahir, ada Faridah Faraidh dan banyak lagi. Semuanya Kitab Tauhid berteraskan sifat 20.
Imam al-Haddad dalam "Risalatul Mu`awwanah" berpesan:-
  • Hendaklah engkau membentengi pegangan kepercayaanmu (yakni i'tiqadmu), memperbaikinya dan memperkukuhkannya atas jalan kumpulan yang mendapat kejayaan, iaitu kumpulan yang terkenal antara berbagai kumpulan sebagai 'Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Ahlus Sunnah wal Jama`ah adalah orang yang berpegang teguh dengan jalan Junjungan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.anhum. Jika engkau teliti nas-nas al-Qur`an dan as-Sunnah - yang berhubung dengan keimanan - dengan pemahaman yang benar, fikiran sihat yang terbit dari hati yang bersih, serta engkau pelajari perjalanan hidup para salafus sholeh daripada kalangan sahabat dan tabi`in, nescaya engkau akan mengetahui dengan yakin bahawa kebenaran itu berada bersama kumpulan yang dikenali sebagai al-Asy`ariyyah yang dinisbahkan kepada asy-Syaikh Abul Hasan al-Asy'ari rhm. yang telah menyusun segala kaedah pegangan 'aqidah ahlul haq serta menyaring segala dalilnya. Inilah 'aqidah yang dipegangi oleh para sahabat r.anhum dan orang-orang selepas mereka daripada kalangan para tabi`in yang terpilih."

Jadi, sia-sialah golongan yang ingin menyesatkan golongan al-Asy`ariyyah dan al-Maturidiyyah kerana dua inilah Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sejati, bukan sempelan. Imam al-Haddad telah menyatakan bahawa kedua-dua golongan ini, adalah Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang selainnya Allahu a'laam. Mudah-mudahan kita selamat dari kesesatan yang bertopengkan tauhid dan sunnah.

My Ping in TotalPing.com

Total Pageviews